“PERGI kau orang tua, aku tak ada ibu macam kau. Mata kau
buta, kau hanya akan menakutkan anak-anak aku. Pengawal tolong usir perempuan tua ini” .
“Sampai hati kau usir ibu kamu sendiri nak. Ibu faham kalau
kamu tak mahu mengaku aku ibu kamu, tapi kamu mesti ingat yang aku yang
melahirkan dan membesarkanmu dengan tulang empat kerat ini. Ingat!!! si buta ini
yang lahirkan kau ke dunia.”
“Arghhh!!! Tak usah kau nak berbasi-basi lagi orang tua. Aku
tahu kau hanya mahu duit aku bukan, aku dah masak benar dengan taktik macam ni.
Dah pergi kau dari sini orang tua, aku tak mau tengok muka kau yang hodoh ni
lagi. Kau akan mencemarkan saujana rumah aku sahaja.”
“Malik ini ibu kamu
kau jangan nak kurang ajar.”
“Ni satu lagi orang tua cacat nak memekak kat rumah aku
pagi-pagi buta ni.”
“Dahlah Yam jom kita balik, Malik dah tak nak mengaku kita
ibu bapa dia dah, kita ni orang miskin.”
“Tak apa bang yang penting kita tahu Malik sihat dan selamat,
itu dah cukup buat saya.” Maka berlalu kelibat sepasang orang tua meninggalkan
laman rumah yang besar dan tersegam indah itu tanpa meninggalkan sebarang
jejak.
“Siapa tu bang?” tiba-tiba menyapa suara Izzah bergema.
“Tak ada siapa-siapa, tadi ada pengemis tua datang minta sedekah
je” Malik cuba mengelak.
“Muka abang nampak pucat je ni, abang tak sihat ya?” soal
Izzah lagi.
“Tak. tak ada, abang cuma penat je” balas Malik ringkas.
Malik menyandar atas kerusi empuk di ruangan pejabatnya
sambil merebahkan kepalanya. Dibenaknya masih tergiang-giang akan suara
pertengkarannya dengan ibu bapa kandungnya tadi.
“Adakah aku kertelaluan dengan ibu
dan ayahku tadi?” bisik hati kecil Malik sendirian.
“Ah!!! Tidak! aku tak boleh terus fikirkan benda remeh
temeh begini, kalau semua orang tahu yang ibu aku buta dan ayah aku cacat pasti
aku akan di hina. Aku tidak boleh terus begini, aku mesti lupakan mereka dan
aku mesti buang mereka jauh-jauh dari memori hidup aku. Kalau tidak pasti aku akan jatuh miskin
seperti mereka. Aku tidak mahu hidup susah seperti dulu lagi. Aku tak mahu
ditertawa lagi, aku dah bosan.. arghhhhh!!!” bentak Malik sendiri.
Tok! Tok! Tok!..
Tiba-tiba bunyi ketukan dari luar yang menganggu lamunan
Malik..
“Masuk, hah! Erin ada apa?” soal Malik kepada setiausahanya.
“Bos, petang ni pukul dua jangan lupa kita ada meeting dengan wakil duta syarikat dari
Jepun di White Cafe” jelas setiausaha
Malik.
“Okey. Ada apa-apa lagi Erin?” soal Malik lagi.
“Setakat ni itu sahaja bos” jawab Erin lembut.
“Okey kalau tak ada apa-apa lagi awak boleh keluar” arah Malik.
***
Di sebuah pondok usang yang jauh dari kesibukan kota terkial-kial sepasang warga emas sedang duduk
di serambi. Yang lelaki berduduk di kerusi rotan sementara si isteri pula
sedang mengurut kaki si suami.
“Abang, kenapa anak kita sanggup perlaku kita sebegini
rupa?” rintih Mak Yam seolah terguris akan perilaku kasar anaknya pagi tadi.
“Tak tahulah Yam, abang tak habis fikir dengan anak kita.
Sejak dari dia mula bekerja langsung tak jenguk kita dekat sini. Mungkin dia
malu punya orang tua yang tidak sempurna
seperti kita ini” duga Pak Ali.
Tiba-tiba tersentak hati rapuh Mak Yam mendengar kata-kata
suaminya itu. Mentari semakin berlabuh menutup tirai senja. Mak Yam yang
terkedu hati dengan kata-kata suaminya tadi juga turut berlabuh pergi
meninggalkan suaminya di serambi pondok usang itu berseorangan.
Senja malam, suasana suram. Alunan hayya ala as solah berkumandang syahdunya suara muazzin bergema
lunaknya. Mak Yam dan Pak Ali seperti biasa bersiap-siap untuk menunaikan
seruan lima waktu di surau berhadapan dengan pondok usang mereka. Selepas usai
solat mahgrib bagi mengisi ruang antara solat isyak ustaz muda Asyraf tampil ke hadapan mimbar
untuk memberi kuliah mahgrib yang bertajuk ‘Anak Derhaka’.
Mendengar tazkirah yang disampaikan oleh ustaz Asyraf yang
merupakan seorang ustaz termuda di daerah Kampung Baru dan juga merupakan
seorang lulusan Al-Azhar. Penuh dengan
ilmu-ilmu yang bermanfaat. Terkesan di hati Mak Yam dengan tusukan aksara yang
diucapkan oleh ustaz Asyraf dalam bait-bait ungkapan dalam tazkirah anak
derhaka yang diungkapkan sebentar tadi.
Sukar untuk Mak Yam melelapkan mata dek terpana memikirkan panahan
aksara yang keluar dari mulut ustaz muda beberapa jam lepas. Fikiran Mak Yam
begitu terganggu dek lakuan anaknya Malik seolah melemparkan derhaka kepada
mereka.
“Aku mesti pergi ke rumah Malik sekali lagi pagi esok” tekad
hati kecil Mak Yam.
Hari cerah kembali. Sinaran sang suria memancar bumi seolah
merestui hari itu. Seperti biasa Pak Ali pagi-pagi telah ke luar ke pekan di mana
tempat dia bekerja sebagai penjual sayur di kedai tauke Lee Seng. Mak Yam tekad
untuk bertandang ke rumah anaknya itu tanpa pengetahuan suaminya. Tiba di
perkarangan rumah Malik, Mak Yam terus
mengendap dari luar pintu pagar. Dari jauh terlihat seorang kanak-kanak kecil
yang sedang bermain di laman rumah tersebut lalu kanak-kanak tersebut mendekati
Mak Yam. Apabila melihat keadaan rupa Mak Yam kanak-kanak tersebut takut dan menangis sekuat hati seolah terserempak
seekor raksasa.
Malik terdengar suara tangisan anaknya itu dan terus
bergegas ke laman rumah bersama isterinya Izzah.
“Hei orang tua kau hanya menakut-nakutkan anak aku pergi kau
dari sini. Aku benci lihat muka kau” jerkah Malik sambil menunding jari ke arah
Mak Yam.
“Maafkan mak cik nak. Mak cik tak sengaja, mak cik tersalah
alamat sebenarnya” jelas Mak Yam dan terus berlalu hampa untuk kesekian kalinya.
Kali ini hati Mak Yam begitu terguris dengan kata-kata kesat anaknya itu.
Mak Yam terduduk di serambi pondok usangnya. Dalam kotak
fikirnya bercelaru. Masih lagi tergiang-giang dalam fikiran akan kejadian yang
bagai membakar hatinya. Bagai badai yang melanda gelora hati Mak Yam dek
tusukan tajam sumpah serakah Malik terhadapnya selaku ibu kandung Malik.
“Sampai hati Malik buat mak seperti ini” rintih hati kecil
Mak Yam.
Menitis butir mutiara jernih mengalir deras dipipi Mak Yam.
Amat terseksa jiwa batin Mak Yam apabila mengenangkan sikap anak tunggalnya
itu.
Allahuakbar bergema takbir mengisi
ruangan sunyi di pondok usang milik Mak Yam dan Pak Ali. Di lembaran sejadah baris butir doa
tersusun-susun mengisi gema.
“Ya Allah kau ampunkan dosa anakku terhadapku. Sesungguhnya
hamba amat menyayangi Malik anakku, Engkau tunjukkanlah jalan yang diredhai
kepada Malik agar dia bisa menerima hamba-Mu yang tidak sempurna ini sebagai
ibunya” baris butir doa tulus seorang ibu mengharapkan kepulangan anaknya satu-satunya.
Sementara di istana semegah indah Malik tiba-tiba tersedar
dari lena. Wajah Malik berpeluh-peluh jelas terpancar resah di hatinya.
“Astagfirullah al azim apa yang telah aku lakukan kepada ibu
bapa kandungku sendiri”. Malik menolog sendiri
takut akan mengganggu isterinya Izzah yang sedang lena asyik dibuai
figura mimpi.
Pagi-pagi lagi Malik memandu kereta mercedes miliknya. Berderu kereta tersebut membelah jalan raya
menuju ke destinasi yang bukan jalan ke pejabatnya. Kali ini mercedes Malik dipaksa melalui jalan
sempit. Perlahan-lahan derapan kaki
Malik menuju sebuah pondok usang yang menyimpan sejuta rahsia baginya. Kasut
ditanggalkan dan terus menuju ke serambi pondok usang tersebut. Pintu dibuka
perlahan-lahan lantas iris mata Malik meliar menembusi sebalik pintu tersebut.
Tiba-tiba bahu Malik ditepuk dari belakang.
Malik menoleh dan terus berlutut dikaki ayahnya yang cacat
itu.
“Maafkan saya ayah. Saya menyesal kerana selama ini saya
berbuat khilaf dengan mak dan ayah. Saya tahu saya anak yang derhaka. Ampukan
saya ayah” rintih Malik mendamba kemaafan dari Pak Ali.
“Sudahlah nak mak dan ayah sudah lama ampukan kamu Malik.
Cuma...”.
Belum sempat Pak Ali menghabiskan tuturnya, Malik terus mencelah.
“Cuma apa ayah? Mak mana ayah?” soal Malik mengukir seribu
persoalan.
“Mak kamu telah dijemput Allah, nak”
Malik terduduk kelu
tanpa sepatah kata yang mampu keluar hanya butir-butir mutiara jernih yang tak
bisa tertahan lagi apabila mendengar pengkhabaran tersebut.
“Nah! mak kamu ada titipkan warkah untuk kamu sebelum dia
meninggal” Pak Ali menghulurkan sepucuk surat kepada Malik.
Kehadapan
anakku,
Pondok
usang ini menjadi saksi, anjung ini menjadi bukti tempat kau bermain dan bergurau senda bersama ayahmu sewaktu ketika
dahulu.
Masih kau ingat itu lagi?
Mak tahu langkah Malik kelu, hati Malik pilu bila
kawan-kawan kamu mengejek kamu mempunyai mak dan ayah yang tidak sempurna.
Mak minta maaf nak kerana tidak dapat membuat hidup kamu
seperti anak-anak orang lain. Mak tahu mak dan ayah miskin. Kami tak
mampu untuk memberi kamu kemewahan kepada kamu seperti insan yang
lain.
Ada satu lagi rahsia yang selama ini mak dan ayah pendam
dari kamu. Sewaktu kamu umur lima tahun kamu dan ayah kamu telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dalam kemalangan tersebut ayah kamu telah kehilangan tangan kirinya seperti yang dapat kau lihat
sekarang dan doktor telah mengesahkan bahawa mata sebelah kiri kamu
akan buta kekal. Mak tidak sampai hati melihat keadaan kamu untuk membesar dengan tidak sempurna. Demi kasih mak kepada kamu
jadi mak telah menghadiahkan mata mak kepada kamu nak. Mak tak mahu kamu akan menjadi bahan ejekan kawan-kawan kamu apabila dewasa kelak. Sekarang kamu tahukan kenapa mata mak seperti ini?..
Maafkan ibu
nak kerana tidak sempurna di matamu selama ini. Selepas kamu membaca surat ini mungkin mak sudah tiada di dunia fana ini lagi. Mak ampunkan segala dosa kamu kepada
mak selama ini. Salam sayang bondamu..
“Mak!!! Jangan tinggalkan Malik”....
“Betul ke apa yang tertulis dalam surat ni ayah?” tanya
Malik inginkan kepastian.
“Betul Malik.. apa yang di coretkan oleh mak kamu dalam
surat itu memang benar. Mak kau telah hadiahkan matanya kepada kau Malik.. Mak
kau tidak tegar lihat kau hidup dalam keadaan yang tidak sempurna” jelas Pak
Ali lagi.
Malik mengenggam nisan batu sebagai tugu pusara Mak Yam
dengan begitu agam. Sesekali butir mutiara jernih jatuh menitis ke tanah kubur
yang masih merah.
“Maafkan Malik Mak, Malik banyak khilaf dengan mak.. Malik berdosa
dengan mak. Malik sedar Malik banyak sakitkan hati mak” rintih Malik dengan
nada sesal.
Air mawar dijirus, ditabur bunga di pusara sebagai tanda
kasih. Malik mendongak ke langit lantas menadahkan kedua-dua belah tangannya.
“Ya Allah sesungguhnya Kasih ibuku tidak bersyarat, ampunkan
hamba-Mu ini Ya Allah”.
Selangkah demi selangkah derapan keinsafan meninggalkan
pusara tersebut.
Firman Allah S.W.T
dalam surah Al Israa ayat 23 maksudnya:
“Dan tuhanmu telah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada
keduanya, atau kedua-keduanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun berkata ‘ah’, dan janganlah engkau menengking dan menyergah
mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan
santun)”...
Nota Kaki ~ cerpen pertama hasil nukilan aku
p/s : Jangan pernah derhaka kepada ibu bapa kita. Hargailah mereka selagi masih di hadapan mata kita.
