TENTERA TINTA

Flag Counter

Wednesday, July 26, 2017

KEMBARA AMIR


Sebuah skrip teater kanak-kanak yang diadaptasi daripada cerita-cerita rakyat.
Olahan skrip oleh : Hang Nadim©2014                                                           

BABAK 1
Situasi seakan-akan si tanggang. Mungkinkah pisang akan berbuah dua kali? Apakah sejarah itu mungkin berulang?
MAK TEMAH
Amir! Amir! Amir! Anakku, jangan tinggalkan ibu sayang.
AMIR
Siapa Amir? Aku anak orang kaya, aku bukan anak kau. Pergi kau dari sini
AFIF
Ish, Geramnya aku. Sumpah saja dia mak cik.
AIZAT
Betul, betul, betul. Jangan sumpah jadi batu. Mak cik sumpahlah dia jadi emas ke, tak pun sumpah jadi makanan. Boleh saya makan.
MAK TEMAH
Ya Allah Ya Tuhanku, seorang ibu tidak akan tergamak mendoakan sesuatu keburukan kepada anaknya sendiri. Tetapi kau tunjukanlah kekuasaanMu supaya dia kembali ke pangkal jalan.
Petir berdetum, angin bertiup kencang. Amir tiba-tiba menjadi lumpuh separuh badan.
AMIR
Ibu. Ampunkan Amir. Amir banyak berdosa dengan ibu. Amir tak mahu masuk neraka.
SI IBU BERDOA
Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah dosa anakku. Kembalikanlah Amir seperti
sedia kala. Aku telah mengampuni dosanya kepada ku.
Petir berdentum lagi, angin bertiup kencang. Pokok bergoyang. Amir kembali ke asalnya.
AMIR
Ibu... ibu...  ampunkan Amir  ibu. Amir  dah insaf. Amir  tak akan ulang   kesilapan Amir  lagi. (sambil berlari dan berlutut meminta keampunan).
MAK TEMAH
Baiklah anakku, ibu ampunkan.. marilah kita pulang. Ibu masakkan makanan kegemaranmu.
AIZAT
Makanan? Saya laparlah, tapi mak saya masak lagi sedap.
BABAK 2
Mak Temah  sedang memberi ayam makan. Amir meminta izin untuk pergi mengembara.
AMIR
Ibu, Amir rasa Amir ingin pergi mengembara. Boleh ye ibu...
MAK TEMAH
Kamu mahu ke mana? Amir nak tinggalkan ibu lagi?
AMIR
Bukan begitu ibu, Amir cuma mahu mencari pengalaman hidup. Merantau ke negeri orang
untuk melihat keindahan alam.
MAK TEMAH
Pergilah Amir. Ingat asal usulmu dan jangan lupa tweet ibu.
(Latar belakang muzik, muzik perlahan...)
BABAK 3
Pengembaraan bermula.
Maka bermulalah pengembaraan Amir ke negeri orang dan mencari  pengalaman hidup di
tempat orang. Dalam perjalanan, Amir bertemu dua pendekar yang hendak bertarung
menunjukkan kehebatan masing-masing.
HANG TUAH
Hei, Jebat berani kau menderhaka kepada sultan!
HANG JEBAT
Aku bukan menderhaka sahabatku. Aku cuma mahu menegakkan keadilan untukmu. Aku
sangka kamu benar-benar telah dihukum.
HANG TUAH
Sultan itu payung rakyat wahai sahabatku.
HANG JEBAT
Sultan adil sultan disembah, sultan zalim sultan disanggah.
HANG TUAH
Jika begitu perkiraanmu, aku ke sini untuk membuat perhitungan..
HANG JEBAT
Pulau pandan jauh ke tengah, aku lupa pantun.  Haha. Aku gelak macam jin daa. Ayuh.....
Hang Jebat dan Hang Tuah segera angkat bat ping pong dan pertarungan pun bermula. (permainan ping pong)
AMIR
Assalammualaikum tuan hamba berdua.
HANG TUAH, HANG JEBAT
Waalaikumussalam
HANG TUAH
Apa hajat tuan hamba ke mari?
AMIR
Hamba sedang mengembara, bolehkah tuan hamba berdua tunjukkan hamba jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan?
HANG JEBAT
Oh mudah sahaja. Tuan hamba terus sahaja sehingga jumpa sebatang anak sungai. Kemudian tuan hamba ikut sungai mengalir. Maka akan tibalah tuan hamba di negeri Pulau Tiga Kanan.
AMIR
Terima kasih tuan hamba berdua... bolehlah tuan hamba meneruskan urusan tuan hamba.
Amir meneruskan perjalanannya untuk mencari negeri Pulau Tiga Kanan.
BABAK 4
Amir meneruskan perjalanannya. Tiba di satu kawasan Amir berhenti berehat dan duduk bersandar di batu yang sangat besar. Sedang Amir berehat dan terlena, Amir dikejutkan dengan satu suara.
BATU BELAH
Sedap kau bersandar kat aku. Hoi.. hoi.. malu kat orang.
AMIR
(Amir tercengang dan terpingga-pingga) Siapa tu? Kat mana?
BATU BELAH
Aku kat belakang kau ni. Akulah batu belah batu bertangkup.
AMIR
Hah? Kaulah batu yang makan mak pekan yer?
BATU BELAH
Betullah tu. Tapi itu dulu.. sekarang aku dah insaf..kenapa kau berada di dalam hutan ini. Dari
mana nak ke mana?
AMIR
Hamba  hendak pergi ke negeri Pulau Tiga Kanan untuk mencari ilmu. Hamba berhenti sekejap
untuk berehat.
BATU BELAH
Baik kau pergi cepat sebelum aku telan kau. Dah lama aku tak makan orang.
AMIR
Baiklah batu belah kata dah insaf.. daaa......
Amir meneruskan lagi pengembaraannya.
BABAK 5
Amir meneruskan lagi pengembaraannya sehingga sampai di sebatang anak sungai yang dikelilingi pokok Sakura.
AMIR
Agaknya inilah sungai yang dikatakan dua pendekar itu tadi.  
Tanpa membuang masa Amir telah menyeberangi anak sungai itu. Setelah berhempas pulas meredah anak sungai maka tibalah Amir di negeri Pulau Tiga Kanan. Amir meletakkan kuda kepangnya di tempat parkiran. Kemudian dia masuk ke kedai tujuh sebelas untuk membeli minuman. Keluar dari kedai Tujuh Sebelas, tiba-tiba kuda kepangnya telah hilang.
AMIR
(Cemas tercari-cari) Mana? mana? dimana dia sayang hey si kudaku?  
Itu gua. Itu gua. Mungkinkah kudaku di sana?
Apabila Amir memasuki gua itu, dia telah ternampak kelibat kuda kepangnya. Amir menghampiri kuda kepangnya. Tiba-tiba muncul satu lembaga hitam cuba menghalangnya daripada mendekati kuda kepang itu.
LEMBAGA HITAM
Hey, budak. Kalau kamu mahukan kuda ini serahkan semua hartamu kepadaku. (gelak besar).
AMIR
Baiklah lembaga hitam. Aku akan serahkan semua hartaku asalkan kamu memberi kuda itu kepadaku kembali.
LEMBAGA HITAM
Haha. Manusia begitu senang diperdaya. Kamu ingat aku akan lepaskan kamu begitu saja. Tidak, wahai manusia. Kamu akan menjadi santapanku hari ini.
AMIR
Tolong! Tolong! Ibu Amir tak nak dimakan oleh raksasa hodoh ni.
LEMBAGA HITAM
Apa kau cakap? Raksasa hodoh? Tengok ni kacak apa aku ni. (melihat cermin). Dah kemari kau mahu kenyang sebulan aku makan kau ni. Nyum Nyum Nyum.
AMIR
Tak nak! Ibu tolong Amir. Amir menyesal langsung tak tweet ibu sepanjang Amir keluar. (menangis ketakutan).
Tiba-tiba Amir dikejutkan oleh ibunya untuk bangun ke sekolah. Rupa-rupanya Amir hanya bermimpi...
MAK TEMAH
Amir! Amir! Bangun nak.
AMIR
Mak. Amir takut. Ada raksasa nak makan Amir. Habis semua harta Amir dia ambik.
MAK TEMAH
Kamu mimpi tu nak. Dah pegi mandi, nanti lambat pegi sekolah pulak. Aizat dan Afif dah tunggu dekat luar tu. (Aizat dan Afif tersengih seperti kerang busuk).
Amir terpingga-pingga. Jauh di sudut hatinya dia bersyukur kerana semua yang dialaminya itu hanyalah sekadar mimpi. Amir berjanji kepada ibunya bahawa dia tidak akan menjadi budak nakal lagi.

DARI CIKGU KITA BERMULA


Sebuah skrip teater bercerita sempena hari guru.
Skrip Oleh : Hang Nadim ©2016
PEGUAM
Hahaha. Akulah peguam. Putar belit akulah nombor SATU. Bila bicara selalunya akulah yang MENANG.
PENULIS
Belum cukup hebat. Aku lagi berpengaruh. Semua orang percaya buta apa aku tulis. Royalti tak payah cakap mencurah-curah macam air mengalir. Akulah yang digelar penulis TERLAJAK LARIS.
DOKTOR
Hampa semua tak cukup hebat lagi. Nin dia orang yang patut hampa semua banggakan. Bidang perubatan ceq la yang nombor SATU. (Mendabik dada).
AHLI PERNIAGAAN
Ate teman la ahli perniagaan. Satu Malaysia perniagaan teman PEGANG. Umrah tiap tahun teman buat belum lagi bab derma mahu juta-juta teman sedekah gitu je. Baru mike tahu betapa kaya raya teman ni.
PEGUAM / PENULIS / DOKTOR / AHLI PERNIAGAAN
Kamu pula siapa?
PENULIS
Cubalah kamu semua lihat pakaian dia. KUNO.
PEGUAM
Cuba tengok aku ni. Kacak itu sudah semestinya. Pemakaian sentiasa bergaya.
GURU
Saya hanyalah seorang cikgu biasa.
DOKTOR
Cikgu? Apa kelaih hang nak berkawan dengan kami yang hebat-hebat belaka ni. Hahaha. Aku gelak macam JIN daa..
AHLI PERNIAGAAN
Kami semua ni orang-orang ternama. Mike tu keroja cikgu aje. Mana nak setaraf dengan kami. Elok la mike tu pegi main jauh-jauh.
GURU
Bagaimana dan bagaimana mereka boleh lupa akan jasa seorang GURU seperti aku ini.
PEGUAM
Ah, Persetan sahaja kata-kata si GURU itu! Kita semua berjaya kerana usaha kita sendiri.
DOKTOR
Betul kata hang tu. Hampa tengok kita semua dari ataih sampai bawah semua berjenama. Cuba hampa tengok dia SELEKEH habaq hang.
GURU
Beginilah nasibku seorang guru yang dipandang hina oleh mereka-mereka. Tanpa mereka sedar dari mana bermula kejayaan yang mereka gembar gemburkan jika bukan dimula dengan didikan seorang insan yang bergelar CIKGU.
PENULIS
Eleh si guru ni nak berceramah pada kita pula. Kau sedar dirilah sumbangan kau tu kecil sahaja. Lainlah macam kami ni penyumbang utama pembangunan negara.
GURU
Barangkali mereka itu tidak sedar pengorbanan seorang guru yang sanggup bersusah payah mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang berjaya seperti ini. Ya tuan-tuan dan puan-puan cuba lihat memang mereka sudah kaya dan berjaya namun akhlak mereka-mereka ini tuan-tuan dan puan-puan boleh nilai sendiri.
PEGUAM / PENULIS / DOKTOR / AHLI PERNIAGAAN
Ya Allah. Ampunkan kami cikgu. cikgu Ampunkan kami…
SEMUA
Terima Kasih Cikgu. Kerna sesungguhnya dari cikgu kami bermula. Selamat Hari Guru.