Dakwah
itu satu perkara yang sangat mulia dan sangat dituntut dalam islam bagi
menyebarkan dakwah islamiah mahupun gerak kerja tarbiah ke arah kebaikan dengan
syarat orang yang mahu melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiah ini haruslah
memiliki cukup ilmu yang mencakupi seluruh aspek kehidupan duniawi mahupun
ukhrawi agar fahaman yang dibawa itu tidak mengelirukan orang yang menerima dakwah
itu.
Dakwah tanggungjawab
siapa?
Islam itu mudah. Cukup sekadar kita melakukan perintah
Allah swt dan meninggalkan segala larangan Allah swt. Berdakwah bukan sehingga
memudaratkan diri dan keluarga. Ramai yang salah tafsir tentang konsep dakwah
sebanarnya kerana bagi mereka berdakwah itu perlu keluar berbulan-bulan
sehingga ada yang lupa tanggungjawab terhadap keluarga. Itu salah sebenarnya,
cukup sekadar apa yang kita termampu.
Menyebar kebaikan tanggungjawab
semua bukan sekadar tanggungjawab individu tertentu sahaja. Dalam erti kata
lain semua pihak berperanan dalam mengalas tugas menyebar kebaikan. Oleh itu,
setiap apa kebaikan yang dilakukan itu sudah pasti saham kemuliaan akan
dikecapi oleh individu atau pihak tertentu yang mengambil tanggungjawab
mengalas gerak kerja dakwah seumpamanya. Walau sekecil manapun kebaikan yang
dilakukan sudah pastinya akan diberi ganjaran pahala. Waima, agama manapun di
dunia ini mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan serta menegah umatnya
melakukan kemungkaran. Justeru, tiada alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab
dakwah.
Apa kita boleh buat?
Tiada syarat untuk melakukan kebaikan yakni semua yang
bernama manusia layak menerima dan memberi kebaikan dan semulia manusia adalah
manusia-manusia yang banyak memberi kebaikan. Dalam tidak sedar sebenarnya
banyak kebaikan yang boleh kita buat untuk membantu gerak kerja dakwah dalam
kehidupan seharian kita. Cuma selama ini kita tidak tahu caranya sahaja. Nabi
pernah berpesan sampaikan dariku walaupun satu ayat. Lihat betapa senang untuk
kita menambah amal kebaikan walaupun dengan hanya mengajarkan orang lain satu
perkara kecil yang berfaedah dan apa yang kita ajarkan itu diamalkan maka
ganjaran pahala itu berterusan mengalir buat kita.
Tidak kira siapa pun kita selagi hayat dikandung badan
sudah pasti kita mampu lakukan sesuatu untuk membantu gerak kerja dakwah. Bermula
dengan diri sendiri kita amalkan ajaran islam dengan sebaiknya iaitu dengan
melakukan suruhan Allah swt dan meninggalkan segala larangan Allah swt. Itu
merupakan permulaan yang baik buat kita meneruskan langkah yang seterusnya
iaitu menyebar kebaikan. Untuk menyebar kebaikan terlebih dahulu kita mesti
beramal dengan kebaikan.
Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menyebar
kebaikan sebenarnya dan salah satu daripadanya adalah dengan memperbetulkan
yang salah. Sebagai contoh, kita boleh menegur orang sekeliling kita dengan
memperbetulkan kesilapan mereka. Menegur di sini bukanlah menegur secara kasar
tetapi kita perlu menegur secara berhikmah agar yang menerima teguran itu tidak
akan terasa hati. Begitulah yang sebaiknya bukan kerana dalam ghairah kita
melakukan kebaikan jangan pula lupa pada tatasusila.
Kesimpulan
Melakukan kebaikan itu adalah tuntutan manakala menyebar
kebaikan itu pula keperluan. Setiap kebaikan yang dilakukan ataupun disebarkan
itu adalah merupakan cabang dakwah yang dituntut dalam islam malahan
sememangnya menjadi keperluan dalam masyarakat kita. Dakwah untuk semua dan
peranan semua jadi tiada istilah bahawa tugas berdakwah itu merupakan
tanggungjawab orang tertentu sahaja. Kita semua ialah da’i yang
bertanggungjawab menyebar kebaikan terhadap orang sekeliling kita dengan syarat
selagi mana di garis yang benar maka selagi itulah dakwah akan terus bersinar.
