TENTERA TINTA

Flag Counter

Wednesday, May 14, 2014

SALAH MENDUGA (MENGENANG TERMINAL MEDAN GOPENG)


HARI ini merupakan hari terakhir aku di bumi timah untuk semester ini setelah selesai menjawab kertas ujian yang penghabisan. Bermakna hanya tinggal beberapa semester lagi untuk aku menamatkan pengajian di bumi timah. Aku dan kawanku Anuar melangkahkan kaki ke Terminal Bas Medan Gopeng seawal jam 7 petang lagi. Kata Anuar dia tidak sabar untuk balik ke kampung halaman kami dan oleh sebab itulah kami terpacak di terminal seawal jam 7 petang lagi. Aku hanya menurut Anuar sahaja kerana aku juga mempunyai perasaan yang sama seperti Anuar yang teramat rindu akan kampung halaman setelah 3 bulan berada di bumi rantauan. Riuh rendah suasana di Terminal Bas Medan Gopeng menyebabkan aku begitu teruja untuk pulang ke kampung. Sudah terbayang di fikiranku untuk tidur nyenyak di dalam bas Shamisha sepanjang perjalanan kami dari bumi timah ke bumi Cik Siti Wan Kembang.

   Aku begitu menghormati Anuar kerana sifatnya yang sentiasa bersederhana dalam setiap lakuannya. Pernah ibu bapanya menyuruh Anuar membawa kereta sendiri namun Anuar lebih selesa untuk menggunakan perkhidmatan bas seperti aku. Menurut Anuar perkhidmatan bas lebih senang berbanding memandu kereta sendiri.  Itulah Anuar yang aku kenal tidak pernah sesekali meninggi diri dengan tiket kekayaan keluarganya. Bagi Anuar yang kaya itu ibu bapanya bukan dia. Seorang kawan baik yang selalu mengingatkan aku jika terlalai atau gusar dialah tempat aku meminta nasihat. Anuar sememangnya kawan terbaik yang pernah hadir dalam hidupku. Aku berharap agar tanah perkebunan persahabatan yang kami lewati selama ini akan berkekalan sehingga ke hujung pernafasan kami. Walaupun kadang-kadang Anuar agak panas baran namun aku tetap selesa berkawan dengannya.

    Oleh sebab terlalu awal tiba di terminal, aku dan Anuar terlebih dahulu mengisi perut di gerai yang berdekatan dengan terminal. Anuar sungguh berselera sekali makan nasi goreng ayam untuk mengisi perut manakala aku pula hanya memesan semangkuk tom yam ayam sahaja kerana memang sudah menjadi kebiasaan bagiku menghirup tom yam sebelum menaiki bas ketika pulang ke kampung. Usai mengisi perut kami terus ke surau di terminal untuk menunaikan solat jamak mahgrib dan isyak.  Aku dapat melihat sungguh ramai orang yang memenuhi surau. Masing-masing hanya solat sendirian dan melangkau dua petak saf sehingga menyebabkan tiada ruang untuk kami bersolat. Ada juga yang usai bersolat tetapi masih lagi menunggu di dalam surau tersebut sehingga menyebabkan jemaah lain sukar untuk bersolat. Aku dan Anuar terus mengambil wuduk terlebih dahulu dan menunggu insan yang prihatin memberi ruang untuk kami menunaikan solat.

    “Anak nak bersolat? Mari sini, pak cik dan anak pak cik sudah selesai ni”

  Alhamdulillah. Ada juga ruang untuk kami menunaikan solat di celah-celah ramai orang yang berpusu di dalam surau ini. Terima kasih pak cik kerana telah memberikan ruang kepada kami untuk menunaikan solat. Semoga Allah merahmati pak cik.

Dingin angin malam yang menyentuh kulit nipis ini membuatkan aku menggigil kesejukan.  Aku dan Anuar dari tadi masih menunggu ketibaan bas di Terminal Medan Gopeng mula merasa bosan.  Jika diikutkan pada kertas tiket sepatutnya bas sudah tiba  tetapi entah kenapa bayangnya belum juga menempang di bayangan mataku. Anuar dari tadi hanya duduk berpeluk tubuh mula kelihatan gelisah dengan situasi ini  dan terus bingkas dari bangku menjenguk ke kaunter tiket. Aku melihat jam ditangan menunjukkan kami telah 15 minit tergendala. Sekonyong-konyong Anuar menghampiriku dan menepuk bahuku. Mukanya kelihatan masam mencuka. Aku mula berasa cemas apabila melihat Anuar berperi seperti itu.

 “Nampaknya kita terpaksa tidur di sini malam ni. Petugas kaunter kata bas rosak dalam perjalanan ke sini. Bas gentian pun sudah tiada untuk malam ni. Paling cepat pun pagi esok baru bas lain akan sampai” jelas Anuar kepadaku.

“Ni la sebab aku malas nak ambil bas Shamisha banyak sangat masalahnya, remeh dan menyusahkan orang saja. Kalau ikutkan hati aku memang dah lama aku saman syarikat bas ni. Dah banyak kali kita kena macam ni dulu lewat sampai sekarang tergendala pulak. Argh! Bengang aku” rungut Anuar sambil mengempalkan penumbuknya.

Anuar memang agak panas baran sedikit sifatnya. Sejak dua tahun aku berkawan dengannya memang aku sudah masak akan panas barannya itu. Tetapi kali ini aku terpaksa bersetuju dengan Anuar kerana aku juga turut berasa berang dengan situasi sebegini. Namun terpaksa juga bersabar kerana sabar itu adalah sebahagian daripada iman dan sifat amarah itu akan membawa kepada pertelingkahan. Lagipun ini baru pengalaman pertama aku terpaksa tidur di terminal bas. Bersesak-sesak penumpang yang terkandas memenuhi ruang surau yang berhampiran dengan kaunter. Aku dapat melihat pelbagai ragam manusia yang menunjukkan sifat dalaman mereka yang sebenar. Ada anak kecil yang menangis di riba ibunya. Ada yang membentak-bentak petugas kaunter dan ada juga yang tidak renggang dengan telefon bimbit sentiasa sahaja melekat di telinga.

Aku dan Anuar masih melekat di atas bangku. Jam baru menunjukkan pukul 10.45 malam. Sekonyong-konyong datang seorang lelaki yang kusut masai melalui hadapan kami sambil tersengih-sengih. Aku meneliti raut wajah lelaki tadi dengan begitu teliti. Seketika itu juga situasi setahun yang lepas telah menerjah ingatanku.

“Tolong nak. Isteri pak cik sedang dirawat di hospital akibat barah hati dan untuk pembedahan memerlukan kos puluhan ribu ringgit. Jadi pak cik mohon sumbangan ikhlas anak berdua untuk isteri pak cik. Tolong nak!” rayu seorang lelaki.

Aku menjeling ke arah Anuar. Memang tampak kesihan melihat keadaan lelaki itu. Anuar juga tampak begitu. Aku menghulurkan sekeping not merah manakala Anuar mengeluarkan dua keping not RM 50.  Anuar memang seorang yang sangat sensitif bab-bab begini. Dia memang berasal dari keluarga yang berada jadi tidak hairanlah jika dia menderma sebanyak itu setakat dua keping not RM 50 memang tidak jadi masalah buatnya.  Tetapi bukan itu yang dipersoalkan. Pasti! Anuar bukan saja hendak menunjuk-nunjuk akan tetapi setiap perinya sememangnya tulus dan ikhlas. Walaupun dia hidup dalam keluarga serba mewah namun dia langsung tidak loket dan tinggi diri. Itulah sifat Anuar yang aku kenal selama ini. Disebabkan itu juga aku sangat menghormati Anuar sebagai kawan baikku.

Lelaki itu pun beredar dari kami. Dia terus gigih mencari sumbangan demi menyelamatkan nyawa isterinya yang sedang terlantar. Aku begitu kagum melihat usahanya tanpa asa memenuhkan tabung dana untuk isterinya yang tercinta. Bagi aku lelaki sebegini adalah suami yang sangat bertanggungjawab  kerana zaman sekarang tidak ramai suami yang sanggup berkorban demi isterinya. Yang sanggup bersusah payah, berhujan panas demi isteri. Inilah lelaki yang patut dicontohi oleh suami-suami diluar sana. Jika aku berada ditempat lelaki ini belum tentu aku mampu untuk berkorban sedemikian. Sungguh luar biasa pengorbanan lelaki itu pada kaca mataku peribadi.

Fikiranku kembali ke ruang nyata. Ku lihat masih ramai yang sedang berpusu-pusu di hadapan perkarangan terminal akibat tersangkut bas. Aku sekonyong-konyong sahaja teringat akan kisah setahun dahulu yang melibatkan aku dan Anuar ketika bas kami terlewat tiba daripada waktu yang sepatutnya. Wajah lelaki 40-an umur yang aku kagumi kerana menjadi pahlawan kepada isterinya yang sakit itu terbayang-bayang di mataku. Sangkaanku barangkali lelaki itu sudah mendapat dana yang secukupnya untuk membantu isterinya yang sakit itu dan mungkin juga isteri lelaki itu telah sembuh dan mereka kembali hidup bahagia sebagai sepasang suami isteri. Begitu beruntung si isteri tersebut kerana bersuamikan lelaki yang sungguh bertanggungjawab seperti itu. Aku tabik dengan lelaki itu!

Pujianku terhadap lelaki yang ku temui di sini setahun lepas amat menggunung tinggi. Bagiku pujian itu tidak terlalu berlebihan buat si pahlawan sejati. Lelaki itu memang patut diberi pujian atas usaha yang sungguh luar biasa. Dalam situasi sebegini entah mengapa hatiku mula rasa tersentuh dengan kisah-kisah yang sungguh menyayat hati seperti kisah seorang lelaki 40-an umur yang datang merayu-rayu supaya membantunya melengkapkan dana pembedahan isterinya pada setahun yang lalu. Sungguh tidak aku menyangka kejadian setahun yang lalu tiba-tiba sahaja mengetuk pintu hatiku saat ini. Sungguh sayu bila memikirkan nasib lelaki tersebut dan membuatkan aku penasaran ingin mengetahui lanjutan kisah lelaki tersebut. Doaku moga-moga isterinya telah sembuh dan mereka dapat kembali mengecapi kebahagiaan. Amin.

“Kau mengelamun apa ni? aku tengah bengang ni boleh pulak kau mengalamun ya”

Tiba-tiba aku terkejut dek sapaan Anuar. Aku hanya tersengih malu apabila semua orang di sekeliling melihat ke arah kami. Memang agak keras suara Anuar menegurku sehingga semua orang di sekeliling memerhati kami. Aku mula menyusun kata untuk menjelaskan kepada Anuar mengenai lelaki 40-an umur yang kami jumpa setahun yang lalu di tempat yang sama kami duduk ketika ini.

“Kau ingat tak pada pak cik yang minta dana untuk pembedahan isteri dia di sini setahun yang lepas?” soalku.

“Yang mana ye?” Anuar membalas seolah-olah kebingungan.

“Alah. Yang kau derma sampai RM 100 tulah” jelasku.

“Oh yang tu. Ingat, agak-agak macam mana keadaan isteri dia sekarang ye?” jawab Anuar.

Aku hanya terdiam kerana aku juga belum pasti akan kondusi sebenar kes lelaki 40-an usia tersebut. Yang aku pasti hanya mengharapkan yang terbaik buat insan yang semulia dia yang sanggup berkoban apa sahaja demi kesembuhan isteri tercinta.

“Hei. Kau mengelamun lagi ye?”

“Eh. Tak adalah aku cuma teringat dekat pak cik tu je. Entahlah aku pun tak tahu keadaan isteri dia sekarang. Tapi harap-harap moga isteri dia sihat seperti sedia kala hendaknya”

Sedang aku dan Anuar sedang rancak berbual mengenai lelaki 40-an umur yang kami temui setahun lepas tiba-tiba lelaki yang kusut masai itu tiba lagi menempang di hadapan kami. Kali ini lelaki itu berhenti tepat di samping kami dan tanpa diduga lelaki itu duduk di sebelah Anuar. Aku mula rasa cuak apabila lelaki yang tuna waras itu mula merapati lantas memeluk Anuar sambil menangis.

“Tolong nak. Isteri pak cik sakit di hospital”

Aku dan Anuar terkejut besar apabila mendengar ayat sebegitu meloncat keluar dari mulut lelaki tuna waras itu. Aku yakin memang tidak salah lagi yang lelaki tuna waras itu ialah lelaki 40-an umur yang sama kami temui dahulu. Tetapi masih aku bingung oleh apa telah menyebabkan lelaki itu berkeadaan tuna waras seperti itu. Mungkinkah isterinya masih sakit? Atau mungkin isterinya telah meninggal dunia? Pelbagai persoalan yang sedang bermain di fikiranku. Semakin kusut benakku apabila memikirkan punca lelaki yang ku anggap sebagai pahlawan sejati dahulu telah menjadi seorang lelaki yang tuna waras ketika ini.

“Jangan dilayan sangat orang tua penipu tu” sekonyong-konyong suara seorang lelaki pertengahan 30-an umur bergema. Manakala lelaki tuna waras kelam kabut melarikan diri apabila melihat lelaki tersebut tercegat di hadapan kami.

“Apa maksud abang?” soalku kebingungan.

“Kalau adik nak tahu orang tua inilah yang berpura-pura dengan mengutip derma kononnya untuk pembedahan isteri dia. Padahal isteri dia tidak sakit pun dulu. Dia sengaja menipu agar semua orang simpati kepada dia. Sebulan lepas isteri dia betul-betul meninggal dunia akibat menderita penyakit sama seperti yang direka oleh orang tua penipu tu” terang lelaki pertengahan 30-an umur panjang lebar.

“Macam mana abang boleh tahu?” soal Anuar. Aku turut mengangguk ingin kepastian.

“Mengapa pula tidak tahu. Dah orang tua tu jiran sebelah rumah abang.  Semua orang kampung abang tahu yang dia kaki penipu. Sebab tu dia lari tadi bila nampak abang tegur kamu berdua”

Aku dan Anuar saling berpandangan setelah mendengar penjelasan daripada lelaki pertengahan 30-an umur itu. Sungguh mengejutkan apabila lelaki yang aku sanjung selama ini sebenarnya merupakan seorang penipu.  Ternyata dugaanku selama ini terpesong sama sekali daripada apa yang aku fikirkan. Sungguh aku terkilan dengan diri sendiri kerana begitu mudah terharu dengan usaha pembohongan lelaki yang hanya pentingkan diri sendiri sehingga menghalalkan segala cara demi kesenangan tanpa berusaha untuk mencari rezeki yang halal.

“Geramnya aku. Berani dia tipu aku dulu. Kalau aku jumpa pak cik tu lagi pasti penumbuk aku ini akan hinggap di muka dia” omel Anuar begitu marah.

“Sabar Nuar. Jangan ikutkan sangat amarah kau tu. Pak cik tu sudah pun terima balasan. Allah dah bayar cash dosa dia di dunia ini. Tak payahlah kita nak hukum dia lagi dengan keadaan dia macam tu. Kita maafkan saja dia dan ikhlaskan saja duit yang pernah kita dermakan kepadanya. Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang sabar dan memaafkan kesalahan orang lain” pujukku menenangkan lautan gelora dihati Anuar.

Insiden yang telah menimpa aku pada malam ini telah membuka mataku agar lebih berwaspada dalam menduga sesuatu perkara. Sesungguhnya pengajaran yang telah ku cicip pada malam ini pastinya akan menemani aku pulang ke kampung halaman pada esok hari. Walaupun aku sedikit kesal kerana perjalanan kami pulang ke kampung tergendala namun dalam pada itu aku juga bersyukur kerana aku pasti ini adalah takdir yang telah ditentukan oleh Allah Taala supaya aku dan juga Anuar bertemu dengan kebenaran mengenai pembohongan oleh lelaki yang telah ku anggap sebagai pahlawan sejati sanggup berkorban demi isteri yang ternyata hanyalah sandiwara demi kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang yang telah menyedarkan aku daripada memuji perlakuan yang sememangnya salah dari segi undang-undang apatah lagi agama. Terima kasih Ya Allah kerana telah membuka pintu kebenaran dan membuka pintu hatiku daripada terus memuji orang yang salah.
Alhamdulillah…

TANAH YANG KU PIJAK INI


Tanah yang ku pijak
Bawah pimpinan yang bijak
Mentadbir dalam jihad
Teduhan rakyat berharap

Pusaka cik siti wan kembang
Tanah lembayung Al-Quran
Pemimpin berjiwa kebanyakan
Sunnah erat pegangan

Tanah yang ku pijak ini
Kaya dengan budi pekerti
Sultan dan ulama’ bersatu hati
Bergandingan kemudi negeri
Rakyatnya saling toleransi

Membangun bersama Islam
Pemimpin dan rakyat mesra bersalam
Mengenggam erat syariat Islam
Berlembut lidah siang dan malam


Tanah yang ku pijak ini
Hidup aman dan harmoni
Jangan ada yang kotori
Bahkan sekali menjadi duri
Tanah ini menjadi saksi
Berkat redha Illahi.