TENTERA TINTA

Flag Counter

Sunday, March 29, 2015

Jenin ; Angan Kosong atau Imagi Berisi?

Angan vs Impian
Sebut sahaja nama Jenin sudah pasti ramai yang mengetahui kisahnya. Watak Melayu kerjanya setiap hari petik buah kelapa namun watak ini mempunyai satu tabiat yang gemar berangan di atas pokok kelapa untuk berjodoh dengan puteri sehingga akhirnya watak itu mati jatuh dari pokok kelapa dek angan-angan. Itu kisah Jenin yang sering digembar-gembur oleh wangsa sehingga apabila ada seseorang yang berangan sedikit diejek itu sebagai angan si Jenin. Namun apakah kisah di sebalik kisah Jenin yang tidak kita ketahui?
Jika kita teliti daripada kisah Jenin sudah tentunya sudah lama berlaku. Mat merupakan nama timbangan Jenin sehingga ada juga yang menyebut nama Jenin sebagai Mat Jenin. Mat merupakan nama Melayu yang sinonim pada zaman penjajah. Satu lagi bukti yang menyatakan Jenin hidup di zaman penjajah adalah dari sudut pekerjaannya yang petik buah kelapa. Umum mengetahui bahawa pada zaman Jepun penduduk di tanah Malaya dipaksa panjat pokok kelapa jika tidak akur maka padah menimpa.
Memang tidak dinafikan Jenin seorang yang gemar berangan. Namun tahukah anda di sebalik kisah Jenin yang sebenarnya? Kita sering sahaja mendakwa angan yang terlalu tinggi itu sebagai angan-angan Jenin. Akibatnya sehingga kini kita akan dihantui rasa takut untuk berangan setinggi gunung. Jika dilihat dari segi luarannya memang falsafah angan Jenin ini dimitoskan untuk mengingatkan kita supaya tidak terlalu kuat berangan seperti yang telah didakwa. Itu yang didakwa bahawa Jenin mati kerana angan kosong tapi hakikatnya watak itu mati dibunuh oleh penjajah.
Kenapa Jenin mati dibunuh?
Pada zaman penjajah watak Jenin boleh dikatogerikan sebagai seorang yang bijak. Apa bukti Jenin itu seorang yang bijak? Jika dikaji kisah Jenin yang sebetulnya watak ini sememangnya mempunyai perancangan hidup yang begitu teliti.iaitu pelannya daripada hasil petik kelapa dia ingin beli banyak ayam sehingga membiak menjadi ladang supaya bebas daripada kepompong khadam dan menjadi seorang pengusaha. Itulah dia punya destinasi kejayaan, tapi belum sempat watak itu mengarang strategi lebih awal dimatikan oleh penjajah. Hanya impian yang berkubur dengan nisan angan-angan itulah hakikat Jenin yang cuba dimitoskan oleh penjajah. 
            Di sebalik angan-angan watak itu berjaya melihat masa depan. Melalui angan-angan maka tercipta keinginan yang amat mendalam terhadap sesuatu perkara yang diimpikan itu. Dengan keinginan itu pula akan bertunas rasa ingin berusaha ke arah suara impian. Dengan terdetiknya dihati ingin berusaha maka akan wujudnya perancangan kepada strategi yang bersauh pada kekuatan angan itu tadi. Apabila perancangan dikemudi dengan kaki tangan maka akan tercipta satu rasa yang digelar mahu berjaya. Begitulah yang berlaku kepada watak Jenin iaitu angan yang berisi telah dicantas oleh penjajah dan itulah hakikat sebenarnya yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu. 
            Menyekat kemajuan bangsa Melayu adalah salah satu agenda penjajah sejak dari dahulu lagi. Salah satu bukti keberhasilan agenda penjajah itu adalah dengan pembunuhan terhadap Jenin. Sehingga kini kesannya masih menjadi fenomena dan tidak kerterlaluan jika ditakrifkan kesan ini sebagai fobia kepada bangsa Melayu itu sendiri. Sejak dari dahulu sehingga sekarang orang kita seolah-olah takut memasang angan-angan atau takut untuk bercita-cita tinggi dek terlalu fobia dengan mitos kisah Jenin yang kononnya disebabkan angan-angan watak itu mati. Namun hakikatnya kisah itu adalah angkara penjajah semata-mata. Ternyata penjajah berjaya menakutkan kita dengan manipulasi cerita Jenin.
 Jom Jadi Jenin
Solusinya, angan-angan itu tidak salah jika diiringi dengan usaha sekali. Namun yang menjadi salahnya adalah angan-angan kosong yang tidak diiringi dengan usaha iaitu angan hanyalah sekadar angan. Dalam islam pun mengajar supaya kita berusaha untuk mencapai kejayaan malahan pepatah yang berbunyi usaha tangga kejayaan turut menyokong kupasan mengenai percaturan menuju mercu kejayaan. Jadi, amat signifikan jika kita mengikut jejak Jenin dengan memasang angan-angan kerana dengan angan-angan kita akan melakukan perancangan. Waima kejayaan tokoh sekarang ini pun dicetuskan melalui angan-angan.
            Walaubagaimanapun, angan yang dipasang mestilah berisi bukan sekadar angan kosong tanpa sebarang tindakan usaha atau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Apabila angan disulami dengan strategi  maka akan berputik usaha berganda kemudian bakal mekar naurah kejayaan. Insya-Allah. Tidak dinafikan bahawa angan-angan kadang-kadang akan memakan diri sendiri jika yang dibentuk dalam set minda itu hanyalah angan kosong dan begitulah sebaliknya angan yang dibentuk dalam set minda itu angan berisi maka hasilnya akan termanifestasi positif. Begitulah juga jika watak Jenin terus hidup Insya-Allah angan yang dirancang rapi itu akan berjaya, kerana itu adalah lebih baik daripada tidak merancang langsung.

            Kesimpulan, pilihan ditangan kita sama ada untuk membina acuan set minda angan kosong atau imagi yang berisi. Jika pilihan kita adalah imagi berisi jadi apa lagi jom jadi Jenin. Ayuh sama-sama kita ubah set minda ke wilayah wawasan.