TENTERA TINTA

Flag Counter

Friday, February 4, 2011

SETIA SEORANG ISTERI (Isteri Pilihanku)

RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: “Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita solehah.” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global.

Berdasarkan al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.

Pertama, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

Kedua, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan.

Ketiga, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mencari kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia.

“Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad,” (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula simbol wanita dalam ibadatnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Khadijah pula simbol isteri setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat kepada ayahnya; isteri yang setia kepada suaminya serta ibu yang bijaksana membesarkan putera puterinya. Malah, dialah panduan segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang wajar dijadikan ikutan Muslimah.

Dalam memilih pasangan hidup, Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati.

Kriteria kesolehan isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana sifat itu, selain dituntut Islam, juga bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinsakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama.

“Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” (Riwayat Abdullah ibn Humaid).

Jelas di sini, aspek keagamaan dalam diri seseorang calon isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga. Ini kerana dengan agama yang bertapak kukuh dalam jiwanya, dia pasti akan taat kepada suaminya dalam semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

Isteri solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Ketika ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: “… perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa. Ini kerana keredaan suami menjadi anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.

Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya, selain penyejuk hati ibu bapa, biarpun ibu bapanya sudah meninggal dunia, melalui sedekah doa dan amalan kepada kedua-dua orang tuanya.

Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat, bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.

Pengetahuan agama dan nilai solehah inilah menjadi ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Sesungguhnya, fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga, begitu besar.

Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang; yang memelihara kehormatannya; yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya; yang menghormati suaminya; menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta; memelihara diri daripada pandangan orang lain; yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya.

“Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya; serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain.” (Riwayat Al Tausi).




Sekadar Selingan:

Wildan-Setia Seorang Isteri
Di sebalik redup mata mu
Tersimpan satu rahsia
Yang terbuku ruang hati mu
Di balik senyuman mu
Tersirat simpulan
Deritanya hanya kau yang tahu

Kau setia menanti
Kau setia mengharungi

Biarpun ribut badai melanda
Kau teguh berdiri
Walau deru angin menderu
Kau tetap di sisi

Setia mu kuhargai
Kaulah isteri yang ku sanjungi
Kerana kaulah bidadari
Permata di sanubari

Ku doakan agar kau kan bahagia
Ku doakan agar tiada lagi derita
Moga Tuhan kan merahmati mu
Di syurga yang selayaknya
Untuk seorang isteri yang setia


Hayati betul2 lagu ini...


InsyaAllah.....

Thursday, February 3, 2011

BERFIKIR SEJENAK (Tepuk Dada Tanya Iman???)

Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. hersabda; "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)".
H.R Termizi



Keterangan

Golongan yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah orangorang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasanalasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya sernata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri.
Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.

Thursday, January 27, 2011

Sudut Pidato Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu IPG Kampus Ipoh (Edisi Kedua)

Alhamdulillah...

Pada hari rabu, 26/01/2011 telah berlangsungnya sudut pidato bahasa Melayu untuk kali keduanya dengan tajuknya masih sama iaitu "perlukah kerja kursus dimansuhkan" dan unit yang diamanahkan untuk mengambil alih ialah unit PPISMP K3(BM/PJ/KS)...



Pada hari tersebut sudut pidato dipengurusikan oleh Siti Fatimah :


Pemidato pertama telah mengupas isu ini dengan begitu mendalam sekali iaitu diamanahkan kepada Muhammad Syazwan bin Samsor Kahar(Ustaz):


Seterusnya, pemidato kedua yang begitu meyakinkan iaitu Shawati binti Wahab:


Tidak juga dilupakan kepada senior-senior yang menyokong sudut pidato ini bersusah-payah turut serta bangun awal-awal pagai untuk menghadiri sudut pidato ini walaupun kelas di blok seri siantan namun masih boleh meluangkan masa bersama-sama... orang yang dimaksudkan ialah:
1. Mohd Hafizuddin bin Mohd Rubai (Ni Na) (PISMP G1)
2. Ali Husni bin Mohd Azahari (PPISMP G2)
Beri Tepukan untuk kedua-dua senior bahasa Melayu yang cemerlang ni..
hehehe


Sambutan untuk kali kedua ini sememangnya lebih mendapat sambutan daripada minggu yang sebelumnya... Diharapkan agar sokongan ini akan berterusan dan mampu memartabatkan bahasa Melayu di IPG Kampus Ipoh...
Insya Allah...


Terima Kasih buat yang sudi hadir....


Pencinta bahasa Melayu...


BERSAMBUNG...


Saturday, January 22, 2011

Sudut Pidato Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu IPG Kampus Ipoh (Edisi Pertama)

Asalamualaikum...


kali ini dianku abadi ingin bertinta lagi....
edisi ini adalah semata-mata perkongsian aktiviti terbaru Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu IPG Kampus Ipoh.

Buat kali pertamanya berlangsungnya sudut pidato bahasa Melayu di IPG Kampus Ipoh iaitu bertarikh keramat pada 19/01/2011 bersamaan hari rabu.


Sambutan menggalakan... hehehe

Sebagai pembukaan dimulakan dengan tajuk " Perlukah kerja kursus dimansuhkan?? " yang ditugaskan kepada unit PISMP J3(Major BM) iaitu Muhammad Hasif Fadzil sebagai Pengerusi majlis:


Pemidato Pertama : Muhammad Syamsuri Omar (Dato' MB Perak)






Pemidato kedua iaitu kaum hawa : Fatimah Az-Zahra


Syukur Alhamdulillah, Program yang julung-julung kalinya ini berjalan lancar...
diharapkan agar lebih mendapat sambutan pada minggu-minggu berikutnya yang akan berlangsung pada setiap hari rabu jam 7.30 am-8.00am...


PELATIH IPIP :
Pastikan anda tidak terlepas pengisiannya!!!




BERSAMBUNG...


Wednesday, January 5, 2011

Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik Pengajaran (PISMP Sem 1)

KAEDAH DAN TEKNIK

Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan secara umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.

Lantaran itu, jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi, sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi. Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam hutan, kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan senapang, memanah, menjerat, menikam atau menombak.

Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu, bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik. Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga harus dikawal supaya tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut sebagai teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang pula adalah amat berbeza.

Untuk menjelaskan lagi hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh memburu harimau. Kalau kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah maka teknik-tekniknya adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu panah, gerakan tangan untuk membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan menarik nafas.

Dalam zama atom ini, sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah memanah tidak begitu berkesan. Jadi walau pun seorang pemanah itu betul-betul mahir dan telah menguasai segala teknik memanah dengan seratus perstus, maka kemungkinan besar ia dimakan oleh harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang dipilih adalah kurang sesuai walaupun teknik-teknik kaedah itu adalah baik.

Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan tercapainya matlamat kaedah yang diingini.

KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN

Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tindkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.

Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada apda sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.

Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerrakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.

Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan, bahasa yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi.

Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.

Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai teknik-teknik demostrasi.

Sebagai kesimpulan, bila kita sebut teknik pengajarankita mesti bertanya teknik pengajaran untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai teknik-teknik yang tertentu.

PENDEKATAN

Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertianyang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.

Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.

Suatu lagi contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau pendekatan konvensyenal (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip sains yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensyenal, kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan informal serta dengan pemerhatian.

PENDEKATAN PENGAJARAN

Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan meyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cra fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.

Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.

Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.

Pendekatn yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala pengajran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.

Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia menggunakan perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar mengikut tema-tema tertentu.

Akhirnya dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adlah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavouris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.

Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.

STRATEGI

Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Seseorang panglima tentera harus memikirkan strateginya untuk mempertahankan kedudukannya atau menyerang kubu musuhnya.

Sebagai contoh, katakanlah perang tercetus di antara Malaysia dan Singapura. Seorang panglima Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menyerang dan menawan Singapura terpaksa merancang strategi peperangannya. Dia harus memikirkan apakah pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk menyerang pihak musuh. Adakah kita menggunakan tentera udara atau tentera laut? Adakah kita mengebom sasaran-sasaran pertahanannya terlebih dahulu sebelu menghantar angkatan tentera darat diikuti oleh angkatan tentera laut. Susunan serta urutan kaedah yang dirancangkan mengikut kekangan logistik adalah disebut sebagai strategi peperangan.

Andaikan kita menggunakan contoh memasak ikan semula. Kalau kita ingin memasak seekor ikan yang agak besar (5 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya kita dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa, tenaga erta sember yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak ikan tersebut. Umpamanya adalah kita menggoreng kepalanya, merebus ekornya, memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya dalam sup, menjerut telurnya dan sebagainya. Kaedah manakah yang kita buat terlebih dahulu? Pendekatan timur atau barat yang patut diikuti untuk memasak? Rancangan yang lengkap ini boleh disebut sebagai strategi memasak.

Bagaimana dengan strategi memburu harimau pula? Kita telah membincangkan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memburu harimau. Jadi bagaimanakah rancangan kita untuk menggabungkan kaedah-kaedah tersebut seupaya harimau itu dapat diburu dengan mudah. Adakah kita memagar kawasan yang didiami oleh harimau dan menahan jerat pada kawasan-kawasan tertentu. Apabila harimau telah terjerat, barulah kita menembaknya. Atau perlukah kita menghadkan makanan harimau untuk melapar dan meletihkannya kemudian membunuhnya dengan lebing.

Untuk memenangi sesuatu pertanding badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlu menguasai segala kaedah untuk menghantar bola tangkis kepada lawannya tetapi a juga perlu merancangkan strategi permainan itu. Strategi permainan adalah seperti bermain secara defence pada pemainan pertama untuk meletihkan musuh dan kemudiannya menyerang dengan secara smash yang kencang pada pemainan kedua. Adakah dia sengaja bermain sebanyak 3 atau 2 pemainan sahaja. Jika pemain itu menguasai semua kaedah menghantar bole tangkis dengan sempurna tetapi strategi permainannya tidak sesuai mana ia akan ditawan. Oleh sebab itu, ada kalanya pasukan yang mahir dalam semua kaedah permainan dikalahkan sebab strategi permainan tidak sesuai.

STRATEGI PENGAJARAN

Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi pengajaran.

Sebagai contoh, untuk mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu digunakan. Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan kecil? Bila kita menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita gunakan pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi dan kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi pendekatan dan kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.

Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, dalam bilik darjah KBSR yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulang cergas. Guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.

Kita biasanya mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling baik sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu berlaku. Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian matlamat pengaajaran. Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan kaedah-kaedah lain.

KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum

Rujukan

Arbak Othman (1985) "Mengajar Tatabahasa", Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

Ee, Ah Meng (1987) "Pedagogi Untuk Bakal Guru", Fajar Bakti, Petaling Jaya.

Kamarudin Husin (1988) "Pedagogi Bahasa", Longman (M), Kuala Lumpur.

Kaye, Barrington (1970) "Participation In Learning", George Allen & Unwin, London.

Kemp, Jennold E (1987) "Corak Rancangan Pengajaran - Suatu Rancangan Untuk menggubal Unit Dan Kursus" Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

Raminah Sabran & Rahim Syam (1985) "Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia", Fajar Bakti, Petaling Jaya.

Tang, Chee Yee (1988) "Pandua Latihan Mengajar", Fajar Bakti, Petaling Jaya.

Thompson, Brenda (1974) "Learning To Teach", Sidgwick & Jackson, London.

Wragg, E.C. (1974) "Teaching Teaching", Douglas David & Charles Ltd., West Vancouver.


Monday, January 3, 2011

PROGRAM PISMP (Ambilan Januari 2011)

Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-NYA dapat lagi ku berceloteh di laman dianku abadi ini..

Hari ini merupakan hari pertama aku dan kawan-kawan melangkah ke satu lagi babak dalam meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, setelah selama tiga semester dalam program PPISMP akhirnya kami berjaya juga menjejakkan kaki ke gelanggang PISMP.

Namun begitu terdapat sesetengah dari kami yang terpaksa mengulang kertas ujian kerana gagal dalam ujian lepas bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Diharapkan kepada yang mengulang agar dapat memberi yang terbaik. Anda Mampu Melakukannya!!!

Sudah semestinya semester ini merupakan semesting yang paling sibuk bagiku kerana pada sester ini terpaksa menjalani program Bina Insan Guru (BIG) dan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), di samping menguruskan Persatuan Bahasa Dan Kebudayaan Melayu yang juga memerlukan khidmat keringat dariku..

Semoga aku dapat menempuh segala cabaran dan memikul amanah ini dengan sempurnanya..
Sekian dianku abadi mengundur diri buat celoteh kali ini..
diharapkan semua dapat input dari dianku abadi sedikit sebanyak...

Kalau ada sumur diladang,
boleh hamba menumpang mandi,
kalau ada umur yang panjang,
dianku abadi kembali lagi...

Thursday, October 28, 2010

DIANKU ABADI

Dirimu umpama dian yang menerangi, kegelapan dilubuk hati yang bercahaya, kini langkahku menuju kearah kejayaan..

Bait2 lagu dianku abadi diatas menjelaskan betapa pentingnya kewujudan seorang murabbi kepada kehidupan seorang insan.....



PENGORBANAN SEORANG GURU...



GURU insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

Oleh itu, guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Prof Mohd Kamal Hasan menjelaskan: “Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar.



Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur.”

Abdul Halim al-Muhammadi pula menjelaskan, guru ialah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak mencapai matlamatnya jika ejen yang menyampaikan tidak efektif. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan.


Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu. Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka mendidik serta membimbing pelajar mencapai kecemerlangan hidup. Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru, sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Kedudukan profesion perguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan. Justeru, pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmu disampaikan dalam kehidupan mereka. Itulah hadiah paling berharga bagi guru.

Segala penat lelah terbalas apabila melihat pelajar yang dididik serta dibimbing penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajaran seterusnya mencapai kecemerlangan. Justeru, guru perlu diberi penghormatan tinggi selari penghormatan diberikan Islam.

Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Allah.

Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Aspek pembinaan negara bangsa ini yang dijadikan tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Tema ini bermatlamatkan memperkasakan peranan guru dalam mewujudkan pembangunan modal insan. Pemilihan tema ini sesuai dan tepat dengan peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat.