TENTERA TINTA

Flag Counter

Friday, April 19, 2013

SEKUMAN YANG MENCACATKAN


 Assalamualaikum
Seringkali kita terjerumus dengan perasaan ‘syok sendiri’ semasa menulis karangan. Kita selalunya memandang enteng dengan perkara-perkara yang boleh mencacatkan hasil penulisan yang dikarang. Walaupun hanya kesalahan yang kecil, namun tetap menunjukkan ketidakpekaan kita terhadap mutu penulisan itu sendiri. Walau pada hakikat kita tahu akan yang sekuman yang mencacatkan itu 
tetapi oleh kerana sikap ‘syok sendiri’ yang 
 .akan menjeratkan
Terdapat pelbagai kesalahan tatabahasa yang boleh mencacatkan
 hasil penulisan karangan kita. Apabila banyak kesalahan tatabahasa yang dilakukan dalam penulisan karangan secara tidak langsung akan menjejaskan markah karangan kita. Jadi, jangan sesekali kita memandang enteng terhadap kesalah-kesalahan berikut:-

1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat / sebagai penanda wacana

Kesalahan

 - Namun, Tetapi, Malah, Manakala


Sepatutnya

- Namun begitu, Akan tetapi
- Penanda Wacana : …..malah..…, …..manakala….. (ditulis untuk mengabungkan dua ayat)


2. Ayat tergantung 

Kesalahan

 - Bak kata pepatah….. (ditulis pada awal ayat)


Sepatutnya

- …..bak kata pepatah….. (ditulis dalam ayat)


3. Kesalahan ejaan

Kesalahan

 - …..bah kata peribahasa…..


Sepatutnya

- …..bak kata peribahasa…..
- ‘bah’ membawa maksud kepada ‘ banjir’


4. Penggunaan kata kerja dengan imbuhan

Kesalahan

 - memberi kasih sayang
- kata kerja tidak berimbuhan perlu diikuti objek bernyawa


Sepatutnya

- memberikan kasih sayang
- kata kerja berimbuhan perlu diikuti objek tidak bernyawa


5. Ayat tergantung kerana tiada subjek

Kesalahan

 - Ini menunjukkan…..


Sepatutnya

- Hal ini menunjukkan….
- Perkara ini menunjukkan…


6. Penggunaan subjek

Kesalahan

 - Ini kerana…..


Sepatutnya

- Hal ini kerana…..


7. Penggunaan penanda wacana dan kata hubung

Kesalahan

 - Justeru itu…..
- digunakan sebagai penanda wacana


Sepatutnya

- justeru…..
- kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’

8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif

Kesalahan

 - mempunyai banyak pilihan…..
- ‘banyak’ bukannya objek
- ‘banyak’ merupakan kata bilang tak tentu
- Objek mesti terdiri daripada kata nama


Sepatutnya

- mempunyai pilihan yang banyak…..


9. Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’

Kesalahan

 - Ayah saya ialah seorang polis
- ‘ialah’ perlu diikuti dengan kata nama


Sepatutnya

- Ayah saya adalah seorang polis
- ‘adalah’ perlu diikuti dengan kata adjektif atau kata sendi nama


10. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda

Kesalahan

 - Salah satu langkah untuk mengatasi masalah pencemaran alam   sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran.

 
Sepatutnya

- Salah satu langkah untuk mengatasi masalah pencemaran alam   sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Kempen ini perlu diadakan secara besar-besaran.


11.Penggunaan kata sendi ‘di’

Kesalahan

 - …..di kalangan…..

 
Sepatutnya

- …..dalam kalangan…..
- kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah


12. Pengejaan kata majmuk

Kesalahan                          

 - ibubapa

 
Sepatutnya

- ibu bapa
- Kata majmuk mesti dieja terpisah kerana mendokong dua maksud yang berbeza.


Kesimpulannya, menulis karangan tidak semudah yang disangka kerana penulisan karangan bukan boleh ditulis secara sesuka hati seperti penulisan kreatif. Penulisan karangan memerlukan penulis mematuhi hukum tatabahasa yang telah ditetapkan. Ketelitian adalah merupakan elemen yang amat penting dalam menulis karangan. Oleh itu, amalan ‘syok sendiri’ harus dihindari semasa proses menulis karangan. Kesalahan tatabahasa dalam karangan boleh diibaratkan sebagai setitik nila yang akan merosakkan susu sebelanga.



Saturday, April 13, 2013

BINGKISAN PANTUN


Assalamualaikum.

Di sini aku titipkan sekuman soalan pantun yang bertemakan alam sekitar. Untuk sesiapa yang nak guna dipersilakan. Bingkisan ini hanya sekadar secalit idea yang korang boleh kembangkan untuk menyediakan pantun tema-tema lain. 

Pantun 1:
Tanda noktah di frasa akhir
Ditengah pula di tanda koma
Persada dunia negara terukir
Hijau menghilang apakah punca?

Pantun 2: 
Redup-redup pohon rambutan
Buahnya gugur ke dalam perigi
Hidup ceria tanpa gangguan
Mengapa masih ada denggi?

Pantun 3: 
Ke ufuk paksina berdagang suasa
Ukiran Champa karya nan indah
Alam sejahtera harmoni sentosa
Apakah bukti kita endah?

Pantun 4: 
Pohon mengkudu teduhan kelekatu
Pawana menyisir lambai gahara
Rakyat berpadu watan bersatu
Berhasilkan alam kekal sejahtera?

Pantun 5: 
Kejora meniti indah nan sarat
Pulang camar merempuh angkasa
Hampa hati kesihatan melarat
Alam tercemar siapa yang cakna?

Pantun 6: 
Anak watan si penutur jati
Si polan tiba menjadi petualang
Hutan kini kian menyepi
Siulan fauna ke mana menghilang?


Pantun 7: 
Kejora jingga kerlip di raudah
Samudera biru berlaman segara
Sisa sampah buat tak endah
Apakah bukti alam dicinta?

 Pantun 8:
Hampar sejadah di dini hari
Sujud malam bangun berdoa
Hidup kita sudah harmoni
Kenapa alam perlu dijaga?

Pantun 9: 
Bunyi gitar lagu klasik
Langkah manis di malam pesta
Di dalam sungai di buang toksik
Apakah jenis manusia kita?




Tuesday, February 19, 2013

MELAKAR PELANGI


NAMA yang cikgu panggil ini, sila berdiri.” Bergema-gema suara cikgu Firas, Guru Disiplin merangkap cikgu mengajar mata pelajaran Sejarah di Tingkatan 3 Bakti. Mencerlang biji mata cikgu itu memandang anak muridnya yang selalu buat masalah. Iwan menelan air liur dengan payah. Tubuhnya menggeletar, mukanya merah menahan malu. Dia tahu apa nasibnya sebentar lagi.

“Iwan! Lagi-lagi nama awak sahaja yang dipanggil. Lagi-lagi markah awak paling corot. Apa masalah awak ni Iwan? Kawan-kawan awak semua dapat markah yang bagus-bagus, Cuma kamu seorang sahaja yang gagal dalam kelas ini. Takkan soalan senang macam ni pun awak tak boleh nak jawab?”

Suara cikgu Firas bergema lagi di dalam ruang bilik darjah yang senyap sepi. Semua pelajar memang takut dan hormatkan cikgu Firas yang bengis dan serius orangnya.

“Err…cikgu…sa…sa…”

Iwan tergagap-gagap. Renungan tajam cikgu Firas menusuk jauh ke dalam anak matanya. Dia tertunduk. Butir mutiara jernih mula bertakung. Sebenarnya dia tiada jawapan bagi soalan yang diajukan kepada dirinya,  dia juga tidak mengerti apa masalah yang sedang dia hadapi. Mengapa dia selalu gagal untuk mata pelajaran Sejarah sedangkan mata pelajaran yang lain dia memperolehi keputusan yang cukup bagus. Bukannya dia jenis yang tunausaha, dalam kelas juga tumpuannya penuh perhatian. Namun, belum ada teori yang dapat membongkar misteri yang sedang dihadapi oleh Iwan ketika ini.  

“Sekarang berdiri di luar kelas! Sampai habis waktu cikgu mengajar. Cikgu tidak gemar ada pelajar yang lembab dalam kelas ini. Setiap kali ujian nama awak sahaja yang akan disebut. Pelajar lain jangan ikut seperti Iwan, asyik gagal ujian sahaja! Faham semua?

“Faham!!!” semua pelajar menyahut serentak.
Iwan menerima hukuman. Dia terpaksa berjemur di tengah panas terik. Tiada sesiapa pun datang membantu, dia diejek oleh teman-temannya. Terasa bagai ada batu besar yang sedang menghempap dirinya saat ini. Kepalanya terasa begitu berat, tubuhnya mula menggeletar dan kakinya tidak utuh bertahan lagi.

Sekaya, seindah, setinggi itulah impian yang diharapkan oleh Iwan untuk peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bakal menjengah hanya beberapa bulan sahaja lagi. Keluar dari kepompong kemiskinan itulah puncak yang ingin ditawan. Dia tahu keluarganya miskin dan atas alasan itu jugalah dia ingin berjaya dalam pelajaran sehingga menyambung pelajaran ke luar negara. Namun mata pelajaran Sejarah telah menghantui kotak fikirnya beberapa bulan ini. Iwan cuma mampu berharap dan berdoa semoga akan muncul keajaiban yang akan kunjung tiba nanti.

“Eee… tak malu! Setiap hari kena jemur luar kelas! Buat malu kelas 3 Bakti aje!”
“Dahlah miskin! Lembab pula, lain yang cikgu ajar lain yang kau jawab. Menyusahkan orang lain aje!”

Aizat dan Amir mengutuk dan mencebik bibirnya ke arah Iwan yang baru sahaja duduk di tempatnya, setelah berjemur di luar kelas. Dia hanya tunduk. Mengumpul buku-buku di atas meja lalu dimasukkan ke dalam beg kain yang buruk dan lusuh warnanya. Butir mutiara jernih bertakung lagi di tubir mata. Memang dia miskin, memang dia selalu gagal dalam mata pelajaran Sejarah tetapi kenapa dirinya asyik dihina dan dicaci oleh teman-teman sekelas? Bukan itu kehendaknya. Dia sudah menjawab sehabis baik untuk mata pelajaran Sejarah namun sudah memang nasibnya untuk gagal. Iwan menangis di dalam hati.

“Hei Iwan, daripada kau asyik dijemur setiap hari di luar sana tu, lebih baik kau berhenti sekolah aje. Tolong mak kau jual kuih. Tak menyusahkan kami semua dalam kelas ini, tahu tak! Ini kelas bijak pandai bukan kelas untuk anak orang miskin yang lembab macam kau! Tak sedar diri!”

Aizat bercekak pinggang di tepi meja Iwan. Bibirnya tercebik-cebik. Semakin galak menghina dan mencaci Iwan yang diam membisu. Air matanya menitis di pipi. Kata-kata penghinaan dari Aizat bukan pertama kali dilemparkan kepadanya. Malah setiap kali dia melangkah kaki ke dalam kelas 3 Bakti. Apa yang mampu Iwan lakukan hanyalah diam dan bersabar sahaja.

Iwan membawa wajah sugul sehingga sampai ke rumah. Puan Mila perasan akan kelakuan anak tunggalnya itu. Kebiasaannya Iwan akan terus ke dapur, tetapi hari ini Iwan terus masuk ke bilik tanpa sepatah kata. Puan Mila menghampiri Iwan dan merebahkan punggung di sebelah Iwan.

“Kenapa anak emak ni? muram sahaja ini, Iwan ada masalah di sekolah ke?” soal Puan Mila sambil menggosok kepala Iwan.

Iwan masih membisu, dia tidak mampu untuk menjawab pertanyaan embuknya itu. Iwan mengeluarkan kertas ujian Sejarah dan diberikan kepada embuknya. Puan Mila meneliti kertas ujian tersebut dengan penuh teliti. Sekoyong-sekoyong butir mutiara jernih gugur membasahi pipi embuknya itu. Lantas Puan Mila berlalu meninggalkan anak tunggalnya itu tanpa sebarang bicara. Iwan berasa hairan dengan tingkah embuknya itu. Ini bukan kali pertama, sebelum ini juga begitu setiap kali dia menunjukkan ketas ujian Sejarah kepada embuknya lantas itu juga embuknya akan menitiskan butir mutiara jernih. Dia berasa musykil sekali dengan tingkah embuknya itu. Adakah embuknya menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya? Jika ibu bapa lain yang melihat kertas ujian tersebut pasti akan marah dan mendenda anaknya. Tetapi hal sebaliknya berlaku kepada Iwan.

“Hei Iwan berhenti kejap. Aku ada perhitungan dengan kau” muncul satu suara. Tanpa berlengah, tangan Iwan diheret oleh dua pelajar yang sangat dikenalinya, Aizat dan Amir. Memang mereka berdua sangat iri akan Iwan.

“Kau hendak bawa aku ke mana?” soal Iwan
“Ikut sahajalah. Jangan banyak songeh!” gertak Aizat.
“Kau tahu kenapa kami panggil kau ke sini? Kau ingat kami nak kawan dengan kau hah! Mimpi sahajalah. Aku sudah meluat tengok muka kau di sekolah ini. Sudahlah miskin, lembab pula. Kau ingat kau layak nak jadi kawan kami?”

Pang!

Satu tamparan hinggap di pipi Iwan.

“Aduh!” Iwan meronta untuk melepaskan diri daripada cengkaman Aizat dan Amir.

“Berhenti! Lepaskan dia!” muncul satu suara yang tidak dikenali.

Aizat dan Amir lari bertempiaran setelah mendengar suara yang tidak dikenali itu. Iwan cuba untuk bangun berdiri. Habis seluarnya terkena tempias kotoran akibat didorong oleh Aizat. Iwan terpingga-pingga melihat budak perempuan didepannya itu. Nampaknya wajah itu cukup asing buatnya. Iwan cuba menggingat lagi namun memorinya langsung tidak menyimpan data berkenaan jasad  asing yang berdiri tegak dihadapannya.

“Saya Husna, tapi awak boleh panggil saya Yuna sahaja. Saya pelajar baru di sekolah ini” tutur budak perempuan asing itu lagi memperkenalkan diri.

“Sa..sa..ya Iwan. Pelajar tingkatan 3 Bakti” jawab Iwan sambil melemparkan secebis senyuman kepada Husna.

“Betul ke? Kalau begitu kita satu kelaslah. Cikgu telah menempatkan saya ke kelas 3 Bakti” jelas Husna lagi. Iwan dan Husna berjalan beriringan menuju ke kelas.

Suasana kelas 3 Bakti gegak gempita. Memang menjadi lumrah institusi persekolahan apabila ketiadaan guru dalam kelas maka suasana akan bertukar menjadi seperti pasar raya. Memang kebiasaan begitu, hanya seorang dua sahaja yang bijak menggunakan masa terluang begini yang majoritinya hanya berjimba. Bunyi derapan kaki berdetak. Semakin dekat, semakin hampir!.. Derapan itu tidak asing lagi buat pelajar kelas 3 Bakti. Semuanya lari bertempiaran ke bangku masing-masing.

Cikgu Firas memasuki kelas 3 Bakti. Suasana kelas kembali sepi, tiada siapa yang berani membuka mulut kerana mereka amat masak akan fi’il cikgu dispilin mereka itu. Seperti biasa sebelum cikgu Firas mengajar tajuk baharu dia akan menyoal kembali murid-muridnya berkaitan dengan tajuk yang telah diajarnya. Dia memanggil secara rawak dan kebetulan nama Iwan dipanggil untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Iwan agak tergagap-gagap untuk menjawab soalan yang diajukan oleh gurunya itu.

“Hah! Kan saya sudah pesan baca dulu bab ini. Kamu ni memang mencabar kesabaran saya. Setiap kali mata pelajaran Sejarah mesti kamu gagal untuk menjawab soalan yang diajukan. Setiap kali peperiksaan Sejarah nama kamu juga yang mendapat keputusan tercorot. Kamu ni memang lembab! Saya sudah ajar beberapa kali pun masih tidak dapat jawab soalan yang senang begini. Sekarang kamu berdiri diluar kelas!” bentak cikgu Firas  sambil menampar meja.

Iwan kesekian kalinya bangun dari bangku dan terus menuju ke luar kelas dengan merah padam mukannya. Kali ini bukan malu diketawakan sama teman-teman yang lain tetapi malu apabila pelajar baru kelasnya melihat dia dibentak dan didenda oleh cikgu Firas. Sudah pasti pelajar baru akan memandang serong terhadapnya. Budak yang miskin, ditambah pula dengan lembab sudah pasti budak bandar seperti itu tidak akan sanggup berkawan dengan budak lembab sepertinya. Iwan sekali lagi menghitung dirinya.

Kesekian kali juga dia dipulau oleh rakan-rakannya yang lain. Lebih-lebih lagi Aizat dan Amir semakin galak lagak mereka mertertawakan Iwan. Oleh apa mereka hasad akan Iwan, jika tidak membuli memang tidak sah hidup mereka sehari-hari itu. Yang asyik menjadi magsanya ialah Iwan. Itulah yang menambahkan gelora di jiwa Iwan, mana tidaknya hampir tiap hari dimaki oleh cikgu Firas dan dibuli pula oleh dua samseng sekolah. Iwan semakin hampir berputus asa untuk meneruskan sekaya seindah setinggi yang diimpikannya itu.

Pena yang lancar menulis tak seperti hatiku,
Yang gugup untuk mara ke sana,
Demi mencapai…

Iwan melabuhkan punggung  atas ambin buluh di depan rumahnya. Dia merenung jauh mengenangkan masalah yang sedang dihadapinya. Iwan masih lagi dilema dengan   permasalahan yang sedang menimpa dirinya. Setiap masalah pasti ada puncanya. Itulah yang cuba dibongkar oleh Iwan. Fikirannya melayang jauh bersama desiran angin yang bertiup perlahan.

“Assalamualaikum Iwan” sekonyong-konyong satu suara menyapa. Lamunan Iwan terus terbantut.
“Waalaikumusalam. Eh Yuna, duduklah” sahut Iwan sambil mempersilakan Husna menyertainya.
“Kenapa muka Iwan masam sahaja ni? Iwan ada masalah ke? atau Iwan tak suka Yuna datang sini?” tutur Husna dengan nada yang rajuk.
“Eh! Tak bukan begitu. Iwan suka Yuna datang sini. Iwan tak apa-apa mungkin letih aje” balas Iwan mempertahankan dirinya.
“Yuna tahu Iwan ada masalah. Yuna tahu Iwan menghadapi masalah dalam pelajaran. Masalah Iwan ni sama seperti masalah Yuna semasa di sekolah rendah dahulu. Cuma yang berbeza Yuna mengalami masalah disleksia tetapi Iwan sukar nak ingat fakta-fakta Sejarah. Yuna datang ke sini untuk membantu Iwan mengatasi masalah ini” jelas Husna menyuntik kembali sinar harapan kepada Iwan.
“Macam mana Yuna nak bantu Iwan ni? cikgu sendiri pun cakap Iwan ni memang lembab” soal Iwan meragukan kenyataan Husna yang barusan.
“Setiap permasalahan yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaiannya. Yuna akan bantu Iwan untuk menangkap segala fakta-fakta Sejarah dengan berbantukan melodi. Ini merupakan terapi muzik. Kita boleh guna melodi yang sedia ada cuma kita gubah liriknya berdasarkan nota-nota Sejarah atau kita juga boleh mencipta melodi sendiri dengan menggunakkan alat muzik. Contohnya begini, cuba Iwan dengar baik-baik ya” jelas Husna panjang lebar.

Husna terus mencapai gitar yang dibawa bersamanya dan terus memainkan melodi ciptaannya sendiri sambil menyanyikan beberapa lagu yang telah diubah suai berdasarkan sukatan mata pelajaran Sejarah.

“Suruhanjaya Reid mencadangkan membentuk kerajaan persekutuan
Pemberian kuasa autonomi kepada negeri dalam bidang tertentu
Keistimewaan raja-raja Melayu
Menteri besar menjadi ketua di negeri
Perwujudan satu bangsa Persekutuan Tanah Melayu
Ditubuhkan pada 21 Mac 1956
Untuk merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
Dianggotai oleh lima orang
Suruhanjaya ini dinamakan sempena nama pengerusinya bernama Lord William Reid
Yang lain Sir Ivor Jennings
Sir William Mac Kell
Tuan B.S. Malik
Dan Tuan Abdul Hamid..”

Husna menyanyikan lagi berdasarkan lirik yang telah digubah. Kali ini dia membuat rakaman audio lagu nyanyiannya itu. Setelah selesai proses rakaman audio tersebut Husna telah memberikannya kepada Iwan sebagai alat bantu untuk Iwan belajar Sejarah dengan lebih mudah. Kali ini Husna yakin Iwan dapat menginggati fakta Sejarah dengan berkesan. Iwan menguntum sejambak senyuman apabila menerima rakaman audio dari Husna. Dia tahu Husna telah dikirimkan untuk membantunya mengapai sekaya seindah setinggi yang diimpikannya.

Pertempuran peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah  telah langsai. Semua pelajar tingkatan 3 menghembuskan nafas lega buat seketika.  Iwan berasa cuak apabila cikgu Firas melangkah masuk ke kelas 3 Bakti. Cikgu Firas menjeling ke arahnya. Iwan dapat merasakan bagai ada sesuatu yang tidak beres. Pasti ujian kali ini dia gagal lagi. Pasti! Iwan membuat andaian awal apabila melihat situasi tegang ini. Aizat dan Amir senyum sinis kepada Iwan. Dia kenal benar akan isyarat itu pasti dirinya akan dijadikan bahan ejekan si samseng berdua itu lagi.

“Iwan datang ke hadapan” arah cikgu Firas.

Derapan kaki Iwan begitu berat melangkah. Kini dia bertentang dua mata dengan cikgu Firas. Iwan merapatkan kelopak mata dia sudah bersiap sedia untuk diomel dan didenda lagi. Sekonyong-konyong dia merasakan bagai dirinya dipeluk agam. Iwan membuka matanya perlahan-lahan dan berasa hairan dengan fi’il cikgu Firas yang memeluk dirinya itu. Ini kejadian aneh buatnya. Tapi mesti ada penjelasan fikir Iwan.

“Cikgu mahu minta maaf dengan kamu Iwan kerana selama ini cikgu berkasar dan menghina kamu. Ibu kamu telah menceritakan segalanya kepada cikgu yang kamu mempunyai masalah kesukaran untuk menggingat fakta akibat dari hentakan di kepala semasa kamu dan arwah ayah kamu kemalangan satu masa dulu dan doktor telah juga telah mengesahkannya” cikgu Firas menerangkan situasi sebenar.

Iwan tersentak seketika. Tidak disangka embuknya menyimpan rahsia yang begitu besar. Kini baru Iwan sedar oleh apa embuknya sering menitiskan butir mutiara jernih setiap kali melihat kertas ujian Sejarahnya. Iwan menarik nafas lega bukan sahaja kerana misteri masalah pembelajarannya terbongkar malah dia juga kini berjaya mengatasi masalah tersebut dan kali ini dia tidak lagi gagal dalam ujian Sejarah malah prestasi mata pelajaran Sejarahnya meningkat secara mendadak.

Iwan memandang ke arah Husna lantas mengutum senyuman sebagai tanda ucapan terima kasih. Husna membalas senyumannya itu. Pelajar-pelajar lain termasuk samseng berdua itu hanya diam seribu bahasa melihat drama  pada pagi itu dan ada juga yang menitiskan butir mutiara jernih kerana tidak dapat menahan sebak di dada.

Jika bukan kerana Husna yang memperkenalkan teknik terapi muzik kepadanya mungkin dia masih belum dapat mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapinya itu.  Penderitaannya kini sudah berakhir. Dia terus berazam untuk terus mengenggam sekaya seindah setinggi yang diimpi-impikan selama ini.
Cikgu Firas melepaskan Iwan dari pelukkannya. Dia berasa begitu bersalah tehadap Iwan kerana telah menghukum secara membabi buta dan untuk menebus kesalahannya itu dia berjanji  akan membantu Iwan mencapai sekaya seindah setinggi yang diimpikan.



 (Tunas Cipta Februari 2013)

~ Cerpen ini juga merupakan prolog untuk novel aku yang masih tahap penilaian proposal oleh pihak penerbit.



Sunday, February 17, 2013

CUBAAN SUARA

Assalamualaikum.

Parodi semakin popular di laman youtube. 
Ramai yang memparodikan filem, lagu dan sebagainya lantas dimuat naik ke dalam laman youtube.

Apa itu parodi?
Parodi adalah dikaitkan dengan meniru gaya pengarang atau pencipta lain dengan cara yang melucukan atau menyindir.

Untuk entri kali ini aku nak kongsi dengan korang parodi yang telah aku buat. Sebelum ini aku ada gubah lirik lagu mainstream kepada lirik yang lebih mentarbiah tetapi bukan aku bagi orang lain yang nyanyi balik. Tapi lagu kali ini aku sendiri yang nyanyi. Kalo xsedap tu buat tuli telinga ajelah. Al-maklumlah aku ni bukan penyanyi tetapi hanyalah seorang penulis.. hehe 

Untuk mendengar bolehlah klik link dibawah:

Semoga lirik yang telah digubah dapat memberi ilmu dan iktibar buat anda semua.





Thursday, January 31, 2013

LEMBU PUNYA SUSU SAPI DAPAT NAMA

Assalamualaikum.

"Lembu punya susu sapi dapat nama"
Mesti korang pernah dengar peribahasa tu. Siapa yang xpernah dengar2 sila2 la pegi bukak kamus peribahasa tak pun pegi cari kat encik google. hihi

Untuk entri kali ini aku bukanlah nak jelaskan maksud peribahasa tetapi tiba-tiba aje aku terpanggil untuk menjelaskan penggunaan peribahasa ini.

Selalunya orang guna peribahasa lembu punya susu sapi dapat nama ni apabila seorang yang telah berbuat amar tetapi orang lain pula yang dapat ganjarannya.

Untuk kali ini aku nak cite sikit pasal aktiviti aku di dalam kelas sewaktu lecture sedang bagi kuliah kat depan aku dan kawan2 bersembang kat belakang. Aku ni jenis yang tak boleh beri tumpuan lama2 kepada sesuatu dan mulalah aku nak mengacau orang. 

Al kisahnya, aku kacaulah member kat depan aku lepas tu dia sedar orang kacau dia dan dia ingat member kat tepi yang kacau dia so dia terus marahlah member kat tepi dia tu. Kesian kat member aku tu tak pasal2 kena marah sebab aku yang punye angkara.

So, nak jadikan cerita aku pun berbisik kat member yang kena marah tadi, aku kata kat dia "lembu punya susu sapi dapat nama". Lepas je aku kata cm2 kat member yang kena marah tu dia terus gelak tak ingat dunia.

Sebenarnya mesej yang ingin aku sampaikan adalah kesalahan pengunaan istilah untuk mengambarkan sesuatu situasi. Tapi kalau untuk sekadar lawak dengan member2 aku rasa tak salah kot. Tapi untuk formal gunalah istilah yang betul dengan situasi.


Saturday, January 26, 2013

BANG, TONGKAT BANG!

Assalamualaikum.

Jika sebelum ini kebanyakan entri2 aku sebelum ini adalah berkaitan dengan fakta dan serius tulisannya. 

Mesti korang bosankan? asyik2 fakta, asyik2 serius je kan.
Untuk entri kali ni bukan untuk serius tetapi lebih kepada santai (poyo je).

Cerita ini mengisahkan aku dan jiran2 taman di tempat aku menyewa di UK (Ulu Kinta). 

Begini kisahnya:
Pada suatu hari, burung2 pun berkicauan pada hari itu, ada yang bekerja ada yang bersuka ria. Aku seperti biasa keluar merempit dengan  motorku, selang beberapa saat aku keluar dari pintu pagar rumah sekonyong-konyong aku terdengar budak-budak di taman rumah aku menjerit 'bang, tongkat bang!'.



Pada mulanya aku agak terpinga-pinga la jugak, mana idoknya tiba2 je budak2 tu menjerit sambil menunding jari ke arah aku. Lepas budak2 tegur cam2 aku pun terus la tengok bawah, rupa2nya tongkat motor aku tidak disisipkan dengan betul. Ish2 malu jugak la aku dengan budak2 dekat taman aku ni.

Itulah yang terjadi pada aku setiap kali menunggang motor pasti aku akan terlupa untuk menyisipkan tongkat dengan betul. Banyak kali dah jiran2 aku tegur tongkat motor aku yang tidak bersisip. Paling terbaru pak cik taman aku yang aku kenal dengan nama yoep tegur aku sebab tidak menyisip tongkat motor. Memang time2 malu yang amatlah tapi aku buat muka selamber jela. hehe

Di sebalik cerita aku ni aku nak katakan yang jiran2 kat taman rumah sewa aku ni bersikap peduli sesama dan budak2 kat taman ni pandai hormat dengan orang yang lebih tua usia tidak kira warna kulit. Walaupun begitu ada jugak sesetengah yang berperangai kurang baik, biasalah dalam hidup berjiran ni kan. Dalam setandan pisang tidak semestinya semua elok, mesti ada juga yang rosak. Tapi apa yang boleh aku katakan 98% jiran2 dekat sini boleh diharap untuk aku berjiran untuk sisa dua tahun lagi.

Wednesday, January 23, 2013

TEATER RAJA LAWAK

Assalamualaikum.


Semalam aku pergi menonton teater raja lawak di auditorium DBKL. Teater raja lawak ini adalah hasil karya dan arahan Zakaria Ariffin yang telah di ulang pentas beberapa kali dan pementasan pertama teater ini adalah pada tahun 1992.


(menunggu untuk masuk)

Teater raja lawak ini merupakan anjuran bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)yang menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Jalil Hamid sebagai pendukung watak Osman Bombay, Abon sebagai pendukung watak Husin Tak Bai, Imuda sebagai pendukung M.G Ramli, Eliza Mustafa (pensyarah muda Aswara) sebagai pendukung Juliah yang mengantikan Datin Tiara Jacquelina, Rasdi Daud sebagai pendukung watak promoter, Shariffah Mariam sebagai pendukung watak Sofea dan juga empat pelajar Aswara sebagai pendukung watak Rocker.

(para pelakon di atas pentas)

Antara semua watak dalam teater raja lawak ini watak yang paling aku suka ialah watak Husin Tak Bai yang didukung oleh pelawak Abon. Mengikut pengamatan peribadi aku, lakonan Abon sebagai Husin Tak Bai amat berkesan dan berjaya membuat aku ketawa dengan setiap tutur dan gerak gerinya. Tidak berlebihan jika aku katakan setiap babak Husin Tak Bai mempunyai punchline dimana-mana.

Satu pujian patut diberikan kepada penulis skrip dan pengarah teater raja lawak iaitu Zakaria Ariffin kerana beliau telah berjaya menyatupadukan pelbagai elemen yang utuh dalam satu persembahan teater. Dalam taeter ini menampilkan pelbagai elemen emosi seperti serius, lawak, marah, ketawa, dan juga diselitkan dengan nilai dan pengajaran yang mampu mendidik jiwa penonton.

(Osman Bombay menghembuskan nafas terakhir di samping Husin Tak Bai) 



Akhir kalam Salam Maulidur Rasul 1434 Hijrah
Terimalah  sebuah sajak hasil nukilan aku
 sendiri. Semoga terkesan dihati kita untuk
 sentiasa mengingati Rasulullah saw.


Inspirasi Abadi

Tika daku teringatkanmu tenangkan dihati
Mutiara jernih berderai  gugur membasahi pipi
Seringkali kerinduan ini bertamu tidak bisa ku bendung lagi
Ingin sesekali ku lakarkan rindu yang ku rasai

Sirahmu ku baca hayati indah kata-katamu
Ukhuwahmu dan sahabat begitu erat sekutu
Peribadi indah mulia akhlakmu
Sungguh kasihmu ku dambakan selalu

Antara yang berjuta kau terhebat
Selalu membela mengasihi umat
Kau rasul tercinta ikutan seluruh umat
Namamu  terpahat dihati kan tersemat

Walau kita tidak pernah bersua
Hati ini selalu merinduimu rasul mulia
Bibirku hanya bisa mengukir butir selawat mengubat rindu
Ingin sekali ku bersua denganmu
Walaupun sekadar hanya dalam mimpiku 

Ya Rasul.. Walaupun kau telah pergi
Namun kau tetap menjadi inspirasi
Kau tetap disini dihatiku
Kerna di atas namaku tertulis namamu