TENTERA TINTA

Flag Counter

Thursday, October 24, 2013

PANDUAN MENULIS SAJAK

Assalamualaikum

"Satu peluru hanya mampu menembusi satu kepala, namun satu tulisan mampu menembusi ribuan malah jutaan kepala.."
-Sayyid Qutb

membaca, membaca, membaca & menulis
Kenapa frasa membaca perlu  tiga angka waima frasa menulis hanya satu angka sahaja?
 Sebelum menulis kita perlu membaca banyak karya orang lain contohnya untuk menulis satu sajak perlu membaca 40 sajak penulis sedia ada. 
  Untuk masukan kali ini aku nak berkongsi serba sedikit mengenai panduan untuk menulis sajak. Sebelum mula menulis ayuh sama-sama kita berkenalan dahalu dengan yang namanya sajak ini. Kata orang "tak kenal maka tak cinta"
   Sama juga dalam konteks ini mana bisa mahu menulis sajak jika tidak mengenal ciri-ciri sajak itu sendiri.

Apa Itu Sajak?
- Sejenis puisi moden.
- Berbeza dengan pantun, gurindam, seloka dan 
  sebagainya.   
- Ada ciri-ciri tersendiri.

Ciri-ciri Sajak
1. Mempunyai Tema
   Tema dalam sesebuah sajak meliputi:
    - Diri penulis 
   - Masyarakat
   - Remaja
   - Kasih sayang/cinta
   - Negara
   - Alam sekitar
   - Perihal seseorang/sesuatu 
   - Ketuhanan
2. Mempunyai Nada
   Nada dalam sajak menggambarkan perasaan 
   penulis. 
   Nada yang dipersembahkan dalam sesebuah 
   sajak meliputi:
   - Marah
   - Sedih
   - Rindu/nostalgia
   - Romantis
   - Sinis
3. Mempunyai Bentuk
   Bentuk sajak adalah bebas dan tidak 
   terikat.
   Antara bentuk yang terkandung dalam sajak:
   - Bilangan rangkap 
   - Jumlah baris
   - Jumlah suku kata dalam baris
   - Jumlah perkataan dalam baris
   - Rima akhir setiap baris

    Sudah kenal apa yang namanya sajak?
 Kalau sudah kenal ayuh kita berkarya bersama.

  Langkah 1 - Tentukan Tema
   - Sebelum menulis sajak, perkara pokok yang    
    perlu ambil cakna adalah pemilihan tema.
    Sebagai contoh, kita ingin mengutarakan  
    mengenai isu alam sekitar dalam sajak jadi 
   tema yang harus dipilih ialah alam sekitar.

 Langkah 2 - Kembangkan Tema
 - Setelah berpuas hati dengan tema yang 
   dipilih seseorang penulis perlu bergerak ke  
   fasa kedua iaitu proses mengembangkan tema. 
  Bagaimana tema dikembangkan?
  Caranya senang sekali, penulis cuma perlu  
  keluarkan perkataan yang berkaitan dengan 
  alam sekitar.
  Contohnya:
   - hijau,
   - flora,
   - fauna,
   - tanah,
   - sampah,
   - sungai..,
u/p : teknik langkah 2 inilah yang selalu aku gunakan dalam pengajaran aku ketika menjalani praktikum mengajar bahasa Melayu di sekolah. Tahun sasaran 3,4,5&6. Alhamdulillah murid-murid aku juga boleh berkarya dengan pendedahan teknik ini. Cuma yang tahun 3 agak perlahan momentum  penjanaan idea mereka. 

 Langkah 3 - Pilih Nada
 - Seorang penulis yang baik harus bijak 
   memilih nada yang sesuai untuk karya  
   sajaknya mengikut tema yang ingin 
   diutarakan.
   Contonya, aku memilih nada sinis untuk tema 
   alam sekitar. Sinis yang dimaksudkan ini 
   ialah satu simbolik kepada mengkritik sifat  
   sifat manusia yang tidak bisa menjaga alam 
   sekitar dengan baik.

 Langkah 4 - Mula Mencipta Sajak
 Seorang penulis sajak mesti genius dalam 
 menyulam kata/diksi supaya sajak yang 
 dihasilkan menjadi kata seindah rumi.
 Contoh sajak yang dihasilkan berdasarkan 
 langkah 1 hingga langkah 3:

   Tiada lagi hijau flora,
   Tiada lagi hilai fauna,
   Yang ada hanya sampah durja,
   Yang ada hanya tanah tanpa rata. 

    Dulu sungai mengalir indah,
    Tamak haloba rencana punah,
    Egois punca yang hijau musnah.

     Semua tampak kusam,
     Indah hijau berganti suram.

  Langkah 5 - Masukkan Tajuk
  Setelah selesai, bolehlah masukkan tajuk 
 untuk sajak yang telah dihasilkan tadi. Untuk  
 sajak ini aku tak nak bagi tajuk. Kalau 
 pembaca blog pemuisi-gemar mahu masukkan 
 tajuk sajak ini amat dialu-alukan. Anda boleh 
 nyatakan tajuk pilihan anda pada ruang 
 komenter yang telah disediakan. 

 Langkah 6 - Proses Mengedit
 Langkah ini amat penting kerana catatan 
 pertama kita tidak semestinya semua 
 betul.Jadi proses mengedit inilah akan 
 membantu anda menilai kembali hasil sajak 
 yang telah dihasilkan dan pada langkah inilah 
 akan ada proses penambahbaikan sebelum 
 dihantar kepada mana-mana penerbitan.
 Fasa ini penting bagi proses penerbitan. Hal 
 ini bertujuan bagi menyenangkan kerja editor 
 untuk menyunting karya anda. Risiko karya 
 anda diterima untuk diterbitkan juga amat 
 tinggi jika proses pengeditan dilakukan 
 terlebih dahulu.  

  Itulah serba sedikit ilmu penulisan sajak yang dapat aku kongsikan. Sekadar perkongsian, aku boleh menulis 20 buah sajak dalam masa 5 hari. Memang banyak kuantiti dan singkat waktunya tetapi belum tentu kualitinya terjamin jadi proses pengeditan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti sesebuah sajak yang dihasilkan. 
   Aku harap lepas anda baca masukan ini dapat memberikan sedikit ilmu untuk anda semua mula menulis. In Shaa Allah.
  Sesungguhnya, aku tidak mengharapkan balasan apabila anda semua berjaya menulis dengan bantuan panduan dalam blog ini. Cukup hanya sekadar anda menyebarkan ilmu ini kepada orang lain.
 Sebagai penulis pastikan kita mempunyai matlamat penulisan kita sendiri. Aku menulis atas dasar untuk tarbiah. Jadi setiap  karya penulisan aku pasti akan diselitkan dengan nilai-nilai tarbiah. Semoga anda juga begitu.
 Semoga anda semua dapat mencicip sedikit sebanyak ilmu untuk menulis sajak melalui laman pemuisi-gemar.
  In Shaa Allah untuk masukan yang akan datang aku akan kongsikan mengenai panduan untuk menulis cerpen pula. 
Selamat berkarya, asah pena kalian mulai  detik ini.
     Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Nabi s.a.w bersabda : "Sebaik-baik sedekah itu bahawa muslim itu belajar akan suatu ilmu kemudian dia mengajarkannya akan saudaranya yang muslim." - Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Tuesday, October 22, 2013

MITOS TULANG IKAN

Assalamualaikum

Semua orang pastinya  mempunyai  tabiat yang tersendiri. Begitu juga dengan aku yang juga mempunyai tabiat sejak dari kecil lagi. Nak tahu apa tabiat yang aku nak kongsikan dengan pembaca blog pemuisi-gemar?
   Aku suka gigit tulang ayam sehingga hancur. Ibaratnya gigi aku seperti pengisar. Kenapa aku suka gigit tulang ayam? sebabnya aku suka hisap sum-sum tulang ayam. Tak tahu apa itu sum-sum tulang ayam? benda yang warna merah dalam tulang ayam itulah dia.  
   Pernah suatu hari kawan aku berkata begini:
   "Kuat gigi kau gigit tulang ayam?"
   Aku hanya tersenyum dengan kata-kata itu.
   
   Satu perkara lagi setiap kali aku makan ikan pastinya aku akan patahkan tulang ikan tersebut apabila selesai makan. Ini juga satu tabiat aku sejak dari kecil lagi. Pasal tulang ikan aku ada kisahnya.
    Dulu masa kecil aku tinggal bersama moyang aku. Biasalah jika kita tinggal dengan orang-orang lama ni macam-macam pantang larangnya. Salah satunya pantang larang pasal tulang ikan.

       Kisahnya bermula begini, waktu aku kecil dahulu (umur 7 tahun kalau tak silap) aku suka makan nasi berlaukan ikan kembung goreng. Nak dijadikan cerita setelah habis santapan  mestilah hanya tertinggal sisa tulang itu dan disaat aku ingin buang tulang itu maka berlakulah dialog ini:
Versi Asal
    "Bakpo awe dop patoh dulu tule ike tu?" tegur moyangku.
     "Bakpo keno patohnyo?" soalku hairan.
     "Kalu awe dop patoh dulu tule tu nati dio jadi lipe" jelas moyangku.

Versi Alih Bahasa
   "Kenapa tidak patahkan dulu tulang ikan itu?" tegur moyangku.
     "Kenapa kena patahkan?" soalku hairan.
     "Kalau adik tak patahkan nanti tulang itu akan menjadi lipan" jelas moyangku.

   Jadi aku yang polos waktu itu ikut sajalah apa yang diperkatakan oleh moyangku. Maklumlah tulang ikan yang besar pastinya akan bertukar menjadi lipan yang besar juga. Itulah fikirku waktu kecil dahulu. Takut!
  Tabiat mematahkan tulang ikan ini masih lagi aku amalkan sehingga sekarang kerana sudah terbiasa dan menjadi rutin apabila aku makan ikan.
   Bila dah dewasa ni barulah aku dapat fikir apa sebenarnya rasional mitos "tulang ikan yang tidak dipatahkan akan bertukar menjadi lipan"  
  Perkara yang tersirat disebalik mitos tulang ikan sebenarnya apabila tulang ikan itu dipatahkan jadi lebih senang untuk kita menguruskan sisa tulang itu.   

 


Monday, October 21, 2013

5AHAJA AKU MENULI5

Assalamualaikum

    Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang akan terus abadi.Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti. -Saidina Ali r.a


Secara umumnya, menulis merupakan perlakuan menggunakan pen, pensel atau sebarang alat tulis bagi menulis atau menaip sebarang idea mahupun pernyataan. Namun begitu, definisi ini begitu umum dan bersifat mekanikal.

Definisi menulis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 1729), ialah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena seperti kalam,kapur,pensel dan lain-lain. Di samping itu, menulis juga bermaksud melahirkan perasaan (fikiran dan lain-lain) dengan catatan yang memakai huruf, membuat surat atau mengarang.

Menurut Paul Jennings pula dalam The Reading Bug, “Menulis adalah keperluan peribadi bukan kerana tugas di dalamnya tetapi ada kesenangan dan ada manfaat untuk kehidupan sehari-hari. Ada nilai yang tak ternilai dalam kegiatan ini.”

Sebenarnya, menulis bermaksud kegiatan simbol-simbol grafik yang disusun atur berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat. Tulisan pula merupakan bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi di samping sebagai alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan.

Penulisan kreatif adalah apa saja, di mana penulisnya menggambarkan buah fikir, gejolak perasaan, daya imaginasi dan daya kreaviti yang tentunya unik apabila penulis menceritakan dari pengalamannya yang tersendiri bukan sebaliknya hanya melaporkan peristiwa ataupun berita. Penulisan kreatif digarap dengan bahasa yang segar, menyusunan ayat yang indah lagi mencabar, dan berunsur murni. 

Aku seorang penulis kreatif yang baru berjinak-jinak mengukir makalah di gelanggang perdana. Aku menceburi bidang penulisan semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Jika di sekolah aku bermula dengan menulis lirik lagu nasyid dan kini aku telah melebarkan sayap dalam bidang penulisan dengan menulis puisi, cerpen dan novel.    

Aku juga punya impian dalam menulis, sama seperti penulis-penulis mampan yang lain. Untuk menjadi mampan seperti yang lain aku harus bekerja keras ke arah itu. 

Kenapa aku menulis? pernah juga persoalan ini muncul dalam minda beku aku sendiri.

   Aku menulis bukan kerana nama
~ Menulis untuk mengejar popular itu bukan  suara impian aku.

Aku menulis bukan untuk kaya
~ Menulis untuk harta bertimbun rimbun bukan gaya persembahanku. 

Aku menulis bukan untuk mengada
~ Ayat mengada itu bukan hasil tulisanku.

Aku menulis kerana ilmu
~ Oleh apa aku menulis?
jika ditanya padaku apa erti cinta
maka jawabku cinta itu ilmu
Cinta ada dalam buku.

Sebelum aku terjun ke bidang penulisan aku terlebih dahulu menyedikan falsafah penulisan aku sendiri. Boleh juga dikira sebagai pelan tindakan yang mengemudi aktiviti penulisan aku. Sebagai seorang penulis aku memilih bidang ini adalah bertujuan untuk mentarbiah dan berdakwah. Disamping penyamaian ilmu dalam setiap hasil karya aku (lirik lagu, puisi, cerpen,novel) mesti diselitkan dengan nilai tarbiah untuk mendidik jiwa pembaca @ audien ke arah melakukan perkara amar makruf.   

Walaupun nafas ini sudah tiada terhela lagi namun pena ini akan terus abadi.


“Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dan dari pahala-pahala mereka yang mencontohinya itu, sedang barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedrkitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu.” (HR Muslim)