TENTERA TINTA

Flag Counter

Saturday, June 13, 2015

HALAWATUL USRAH

Suatu ketika sewaktu kali pertama aku menjejakkan kaki di salah sebuah Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan, saat itulah aku mula mengenali erti berdikari kerana sebelum ini aku tidak pernah berenggang daripada keluarga. Dari darjah satu sehingga darjah enam kemudian sambung dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima aku hanya bersekolah di sekolah harian biasa berdekatan dengan rumah sahaja. Bukan sebab keputusan peperiksaan yang tidak layak untuk memohon ke sekolah berasrama penuh namun disebabkan kehendak ibuku yang menginginkan aku tetap bersekolah di sekolah yang berdekatan dengan rumah. Kata ibu biar di depan mata supaya senang dikawal. Aku pula hanya mengikut sahaja kata ibuku tanpa membantah kerana keyakinanku pada ketika itu teguh terhadap keputusan yang dilakukan oleh ibu untukku. Kepercayaanku bersauh kukuh pada setiap susun kata seindah rumi yang meniti di bibir ibuku.
Kejadian ini berlaku di kampus. Semester pertama pada selepas aku sudah kenal apa itu erti berdikari. Ya, berdikari yang jauh daripada keluarga. Pada mulanya aku agak kekok untuk menjalani kehidupan di kampus tanpa keluarga namun setelah beberapa minggu aku dapat menyesuaikan diri dengan suasana kampus yang jauh berbeza dengan suasana ketika aku bersekolah dahulu. Maklum saja ini kali pertama aku hidup dalam komuniti berasrama. Memang sungguh jauh berbeza daripada atmosfera komuniti keluarga kepada atmosfera komuniti kampus yang hanya dikelilingi dengan kawan-kawan. Aku cukup beruntung kerana dipertemukan dengan kawan-kawan yang memahami serta dapat menerima segala kelebihan dan kekuranganku seadanya.
Segalanya bermula pada suatu ketika aku sedang berbual-bual bersama beberapa orang teman di sebuah bilik salah seorang daripada mereka. Kejadian ini berlaku sejurus selepas cuti raya aidilfitri dan topik perbualan kami pada saat itu lebih tertumpu kepada sambutan aidilfitri bersama keluarga masing-masing. Akulah yang paling murai apabila bercerita bab-bab keluarga pastinya tidak tandus idea untuk aku berceloteh lebih-lebih lagi mengenai ibuku. Sedang rancak kami berborak panjang sekonyong-konyong pintu bilik diketuk berkali-kali diiringi dengan lafaz salam. Dari situ kami sudah tahu yang mengetuk pintu itu ialah orang Melayu kerana di kampus ini mahasiswa yang beragama Islam adalah semuanya berbangsa Melayu.
Jamal salah seorang rakanku membuka daun pintu. Apabila daun pintu habis dikuak jelas terlihat satu kelibat yang tidak asing lagi bagi kami. Seorang senior yang juga merangkap Presiden Biro Kerohanian kampus. Bagaimana kami mengenalinya? Semuanya pada suatu ketika minggu orentasi kami telah diperkenalkan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus. Pada waktu itu memang teruk kami selaku junior yang baru dikerjakan oleh senior-senior MPP namun tidaklah sehingga melampaui batas ketamadunan. Masih lagi aku ingat akan senior yang berkaca mata yang sedang berdiri di hadapanku itu kerana aku selalu berurusan dengannya ketika minggu orentasi untuk program kerohanian al maklumlah pada waktu itu aku merupakan penghulu minggu orentasi.
“Abang ada bawa kuih raya. Jomlah kita makan sama-sama di bilik sebelah.”
Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut seniorku itu. Kami lebih mengenalinya dengan panggilan Abang Pito. Kenapa Pito aku sendiri pun kurang akal akan hal itu. Apabila ditanya oleh apa Firdaus menjadi Pito dia hanya tersengih dan memberitahu itu adalah panggilan keluarga. Aku bersama Jamal, Fami dan Ainol hanya menurut sahaja Abang Pito ke bilik Syazwan dan Shahril. Siapa yang akan menolak jika diajak untuk makan. Aku fikirkan hanya Syazwan dan Shahril sahaja yang ada dalam bilik itu rupa-rupanya ada lagi kawan yang lain termasuklah Asqalani, Ibrahim, Isey dan Bustamin.
Pada malam itu aku dan rakan-rakan yang lain begitu teruja menikmati beraneka macam kuih raya yang dibawa oleh Abang Pito. Tanpa mengetahui agenda di sebalik kuih raya yang berbalang-balang itu aku hanya tahu memenuhkan perut sahaja saat itu. Sesekali ada juga selingan sesi perkenalan di antara kami bersama Abang Pito. Dalam kotak fikirku mungkin itu hanya sesi perkenalan biasa antara senior dan junior sahaja dan cerita pada malam itu hanya habis setakat itu sahaja fikirku. Rupa-rupanya dugaanku salah sama sekali kerana sesi pertemuaan pada malam itu tidak tamat setakat itu sahaja bahkan sesi jamuan kuih raya oleh Abang Pito itulah kisah permulaan aku dan kawan-kawanku direkrut masuk ke dalam usrah Abang Pito. Kami sepuluh orang sebagai adik-adik usrah manakala Abang Pito sebagai naqib. Pada awalnya ada juga cubaan aku untuk meloloskan diri daripada usrah Abang Pito. Pelbagai alasan cuba aku berikan bagi mengelakkan diri pada ketika itu namun apakan daya sudah ditakdirkan untuk aku menjadi salah seorang daripada ahli usrah Abang Pito.
“Dalam diri manusia itu ada fitrah, yang sentiasa inginkan kebaikan dan kebahagiaan. Namun ujian akan tiba untuk menguji sedalam mana cinta dan takwa kita kepada Yang Maha Pencipta.”
Itulah bait ayat yang selalu diucapkan oleh Abang Pito setiap kali memulakan sesi usrah. Abang Pito akan cuba mengingatkan setiap adik-adik usrahnya untuk sentiasa bersikap positif jika dihujani dengan masalah. Sehingga kini jika aku dibebani dengan masalah yang berat bait ayat ini juga yang akan sentiasa tergiang-giang di telingaku mengigatkan bahawa ujian itu tanda Allah masih menyanyangi kita. Melalui usrah banyak mengubah cara hidupku selama ini yang hampir terkapai kelemasan dalam gelombang lautan cinta fana persona. Kehidupan berusrah banyak mengajar aku mengenai erti kehidupan seorang muslim yang sebenar dalam konteks patuh syariah. Apabila perilaku kita sedikit tersasar daripada landasan syariah maka akan ada orang yang akan menarik kita kembali kepada landasan yang betul. Itulah penting usrah yang bukan sahaja satu ikatan yang kosong malah ia menjadi satu ikatan bersaudara sesama ahli untuk saling mengingat-mengingati di antara ahli andai terleka dan alpa.
Pernah suatu ketika ada beberapa mahasiswa lain yang mengejek pertubuhan usrah yang kami sertai. Kata mereka menyertai usrah hanya akan membuang masa sahaja dengan nada yang menjengkelkan. Fami dan Ainol sememangnya bengang dengan kata-kata yang keluar dari mulut yang tidak ditapis itu. Namun Abang Pito lebih bijak memainkan peranannya sebagai naqib kami. Dia tidak mudah melatah dengan cakap-cakap orang sebaliknya dia sentiasa mengajar kami untuk bersangka baik walau apa jua keadaannya. Masih aku ingat ketika itu Abang Pito menceritakan mengenai kisah Rasulullah saw bersama seorang perempuan tua yang buta matanya. Melalui kisah itu Abang Pito cuba mendidik jiwa kami agar sentiasa berbuat kebaikan meskipun diri kita dicaci serta dihina sekalipun. Itulah peribadi Rasulullah saw yang tetap bersikap baik malahan memberi makan kepada perempuan tua buta itu walaupun Baginda tahu perempuan tua itu sering kali menghina Baginda. Sikap begitulah yang diterapkan oleh Abang Pito kepada adik-adik usrahnya.
“Kenapa dalam ramai-ramai mahasiswa dalam kampus ini, Allah pilih kalian untuk bersama abang?”
Satu persolan yang diajukan kepada kami selaku adik usrahnya. Daripada persoalan itulah yang telah memberi kefahaman buatku mengenai ketentuan Allah Taala. Dalam hidup ini, tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara yang lain pula. Sesungguhnya kehadiran Abang Pito dengan kuih raya pada awal permulaan pertemuan kami adalah telah diaturkan oleh Allah Taala supaya aku bertemu dan bergaul dengan orang baik-baik supaya aku juga turut menerima tempias kebaikan bersamanya. Aku sungguh bersyukur dipertemukan dengan naqib sebaik Abang Pito yang banyak mengajar aku erti kehidupan berlandaskan patuh syariah.
Bukan sekadar usrah yang biasa malah turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti termaksuklah beriadah dan mengembara bersama. Itu turut termasuk dalam silibus usrah bersama Abang Pito. Aku cukup selesa apabila beraktiviti bersama dengan pasukan usrahku yang diketuai oleh Abang Pito. Dengan gaya yang santai, pemikiran moden dan meraikan pandangan orang lain itulah telah menjadikan Abang Pito sebagai naqib yang disegani dan dihormati dalam kalangan adik-adik usrah bawah pimpinannya. Sifat begitulah yang perlu ada pada setiap pendakwah kerana keperluan berdakwah mesti selari dengan keseluruhan aspek kehidupan barulah orang yang didakwah itu dapat menerima gerak kerja dakwah dan tarbiah kita dengan penuh keraian.
“Abe Pito ado telefon aku tadi. Dio nok jupo kito semuo male ni. Demo ado maso ko?” soal Isey. Lamunan panjangku terhenti setakat itu. Dari lubuk hatiku yang amat merindui saat-saat berusrah bersama Abang Pito suatu ketika dahulu seperti melonjak-lonjak kegirangan untuk bersua dengan Abang Pito setelah lama tidak berjumpa.
“errr.. malam ni aku lapang saja” balasku ringkas.
“Eh, demo berange eh? Sapa kawe masuk bilik pun demo tok sedar. Lamo jugok la kawe nunggu jawape demo” usik Isey. Aku hanya tersenyum. Rakan sebilikku yang berasal dari Kelantan memang tidak lekang dengan dialek kenegeriannya itu. Walaupun kami berbeza dialek percakapan namun hal demikan tidak pernah merenggangkan hubungan kami malah perbezaan itu yang menjadikan kami sebagai sahabat baik.
Aku, Isey, Fami, Ainol, Jamal, Syazwan, Shahril, Asqalani, Ibrahim dan Bustamin adalah produk usrah Abang Pito yang akan sentiasa bersatu teguh berjuang menyebarkan Islam di kampus ini. Buktinya kami semua kini sudah bergelar naqib dan masing-masing sudah mempunyai adik-adik usrah sendiri dari kalangan junior-junior bawah kami. Walaupun Abang Pito sudah keluar ke arena pekerjaan namun usaha dakwahnya tidak pernah luntur kerana semangat berdakwah tetap bersamanya sehingga kini. Buktinya Abang Pito bukan sahaja Jurutera di syarikat tempat dia bekerja malahan dia juga dilantik sebagai Penasihat Syariah di syarikat tersebut.
Aku tidak akan berdiri pada tempat aku yang sekarang ini jika tidak kerana Abang Pito yang banyak memberi galakan dan motivasi untuk aku terus berubah. Perkenalan aku dengan Abang Pito telah menjadi asab kepadaku untuk lebih mencintai majlis ilmu. Sesungguhnya keterlibatan aku dalam aktiviti usrah telah banyak memberi makna kepada kehidupan seharianku. Setiap kali menghadiri usrah aku dapat merasai kemanisan yang selama ini tidak dapat aku kecapi. Sungguh luar biasa aura usrah yang mampu menimbulkan rasa kejelengkitan sesama ahli mahupun bersama naqib. Betapa bertuah diriku dikelilingi dengan mereka yang bercas positif dan cas-cas itu juga turut mengalir ke salur darahku sehingga dapatku manifestasikan pada zahirnya kebaikan yang menyebarkan kebahagiaan.
Perjalananku ini baru bermula untuk terus menjadi seorang mukmim kelas pertama di sisi Tuhan. Insya-Allah sama-sama kita mengapai reda Allah dengan menyebarkan ilmu yang bermanfaat.
Apabila Allah memberikan kepadamu suatu ilmu yang baharu, maka hendaklah engkau menambahkan ibadah kepada-Nya. Janganlah engkau mengharapkan puji-pujian. Ilmu itu tak dapat menghiasi kamu sehingga kamu mengamalkannya.

Friday, June 12, 2015

SHIROKU YUKI




Pawana menghembus begitu dingin sekali. Hinggapan pada kulitku yang nipis ini membuatkan aku menggigil kesejukan. Jaket tebal yang melekat di tubuhku ini pun masih tidak mampu untuk menahan daripada angin menyentuh kulitku. Aku berdiri di sisi tingkap dan memandang ke arah luar. Alangkah begitu terkesima perasaanku saat ini apabila melihat tompokan putih tersandar di hamparan jalan dan melitupi atap rumah juga kenderaan.
Sejak pertama kali aku melangkah kaki di bumi matahari terbit, memang inilah fenomena yang diidamkan sedari hingusan lagi. Jika sewaktu usia mentah dahulu aku hanya dapat melihat di kaca televisyen sahaja tetapi sekarang ini semua itu di depan mata. Masih lagi ku ingat pernah sekali aku meminta kepada ayahku supaya membeli benda putih itu di pasar raya. Lama juga babak itu berlarutan sehinggakan ayahku sendiri pusing kepalanya memikirkan penjelasan kepada permintaanku yang tidak masuk akal itu. Zaman kanak-kanak biasa dengan dunia khayalan katakan. Emping salji yang gugur dari langit begitu mempersonakan bagi mereka yang pertama kali merasai fenomena alam ini.
Indah! Permandangan yang begitu sukar untuk ditatap di Malaysia. Sejak berpuluh tahun baru inilah pertama kali aku dapat merasai pemandangan sebegini secara terus. Jika bukan kerana peluang untuk menyambung pengajian di sini rasanya tidak terdaya untuk aku sampai di bumi asing ini walaupun masih lagi dalam daerah bumi Asia. Aku mengucapkan lafaz syukur berkali-kali atas kurniaan-Nya yang tidak ternilai ini.
Hujan salji masih lagi galak di luar. Aku masih lagi merenung ke luar tingkap untuk menikmati panorama ini sepuas-puasnya. Jarum jam menunjukkan pukul tujuh pagi. Nazri dan Fahmi masih lagi diulik figura mimpi. Selepas menunaikan solat subuh berjemaah tadi Nazri dan Fahmi merebahkan kembali badan mereka di pembaringan tetapi aku yang begitu teruja dengan fenomena baru pertama kali menjengah di tubir mataku.
Perasaanku semakin membuak-buak untuk menerpa keluar menyentuh emping-emping salji yang masih galak jatuh ke bumi. Seluruh jalan sudah dilitupi salji yang memutih. Tanpa membuang masa aku terus menyarungkan sarung tangan bagi megelakkan tangan dari beku. Perlahan-lahan aku kuakkan daun pintu dan terus berlari ke luar menangkap butir-butir salji yang sedang berguguran.
Subhanallah!
Indah sungguh ciptaan tuhan. Pada mulanya gugur sebagai butir-butir tetapi apabila hinggap di tapak tanganku terus cair sedangkan yang aku pijak sekarang adalah hasil dari gabungan emping-emping salji yang gugur sehingga mampu melitupi semua yang ada di bumi.
Aku meraba sedikit demi sedikit timbunan salji yang semakin menebal di tanah. Sejuk! Walaupun bersarung tangan namun tetap sahaja dinginnya menyerap masuk ke kulitku.
“Amboi! berseronok sendirian nampak. Sampai hati tak kejutkan kami” sapa Nazri dari belakang kemudian diikuti dengan Fahmi.
“Kamu berdua tu yang tidur tak reti-reti nak bangun! Kalau aku letak bom pun belum tentu kamu berdua bangun kan? Daripada aku sakit hati kejutkan kamu berdua lebih baik aku main salji ni sendirian” balasku mencebik.
Nazri dan Fahmi saling berpandangan sesama sendiri. Mereka tahu apa yang aku cakapkan memang betul. Kalau sudah merebahkan kepala atas bantal alamatnya pesawat jatuh atas kepala pun masih tak sedarkan diri. Itulah tabiat dua sekawan ini sejak dari Malaysia lagi tidak pernah nak ubah-ubah sehingga membawa ke sini. Kedua-duanya masih membisu seolah mati akal untuk membalas peluru maut yang telah ku lepaskan sebentar tadi.
“Hmmm... Apa kata kita main perang bola salji” cadang Fahmi cuba mengelak.
Arus amarahku kembali surut. Fahmi sememangnya pintar menjernihkan keadaan yang sedang tegang sehinggakan aku terlupa sepatutnya aku sedang mengomel mereka berdua. Demi salji aku terus lupakan amarah. Maklumlah pertama kali dapat bermain dengan salji. Kami mula mengepalkan timbunan putih itu membentuk bola dengan begitu banyak di samping membina kubu masing-masing. Kerana terlalu gembira melontarkan bola salji sehingga tidak terperasan sekeliling orang bermata sepet sedang memandang jakun ke arah kami.
Namun ada juga yang tersenyum melihat telatah kami. Barangkali mereka faham akan pengalaman pertama kami bersua dengan fenomena sebegini. Brrr! Sejuk saja terasa apabila ketulan bebola salji melekat di muka. Hasil dari tamparan itu kami beralih pula membuat orang salji. Sungguh seronok dapat membina orang salji yang semegah di depan rumah. Walaupun agak keanak-anakan tapi masih lagi dalam kawalan. Kami tahu berseronok pun biarlah berpada-pada.
Nazri yang tampak gembira mula gelisah. Entah apa yang sedang di fikirkannya. Nazri mula termangu. Hilai tawaku mati begitu sahaja. Keseronokkan yang ku rasakan beberapa detik lalu kini rungsing mula mengambil tempat di hatiku. Tidak pernah sebelum ini si Nazri membuat perangai seperti ini. Mungkin ada masalah. Aku perlu siasat semua ini.
“Hei kau nak main lagi tak nak ni?” soal Fahmi menepuk bahuku. Aku terdiam seketika, tersentak dek sapaan Fahmi.
“Cuba kau tengok Nazri, dia macam ada masalah saja” aku cuba menerangkan kepada Fahmi mengenai perangai pelik Nazri.
“Alah. Kau ni pun touching sangatlah. Tak ada apa-apalah mungkin dia rindu keluarga di Malaysia tu” Fahmi membalas meyakinkanku bahawa Nazri betul-betul berkeadaan baik.
Namun jauh di sudut hatiku masih mempunyai rasa curiga dengan fi’il Nazri sebentar tadi. Jam di tanganku menunjukkan hampir pukul sepuluh pagi. Sedar tidak sedar hampir tiga jam kami bertiga bermain salji. Maklumlah pengalaman pertama merasai suasana bersalji, pasti sedikit ralit dengan perubahan fenomena ini. Aku menangkap gambar sebanyak mungkin sebagai kenangan pertama bersua dengan yang namanya salji.
Salji masih lagi turun dengan lebatnya. Sekonyong-koyong Nazri meluncur keluar laju saja pergerakannya. Aku makin curiga dengan sikapnya selepas dia menerima sepucuk surat daripada seseorang yang tidak dikenali ketika kami seronok bermain salji tadi. Aku mula penasaran adakah surat itu yang menjadi punca perubahan sikap kawanku itu. Apakah isi kandungan surat tadi? Aku tertanya-tanya sendirian. Aku tidak boleh terus begini aku mesti siasat perkara ini. Aku harus selesaikan gundah yang mengoncang jiwa ini. Aku tidak mahu pelajaran kawanku terkandas oleh masalah yang tidak berpunca.
Mahu sahaja aku ekorinya tapi sudah agak jauh dia berjalan meredah ribut salji. Kelibatnya juga lesap dari pandangan mataku secara tiba-tiba. Fahmi datang menyergahku dari belakang.
“Apa yang kau tengok tu. Mesti usha awek mata sepet ni?” sindir Fahmi.
Mataku masih lagi tertumpu pada sudut di mana hilangnya kelibat Nazri dari pandanganku tadi. Aku masih diam membisu tanpa menjawab sepatah pun soalan yang diaju oleh Fahmi sebentar tadi.
“Eh! Kau ni dah bisu ke? Argh!! Malaslah aku nak layan kau ni. Lebih baik aku main video games lagi bagus” tutur Fahmi lagi cuba memancing aku bersuara.
Fahmi terus masuk ke biliknya. Aku tahu mungkin saja Fahmi terasa hati. Namun biarlah begitu lama-lama sejuk juga hati dia nanti. Fahmi tidak menjadi kerungsingan buatku tetapi perangai aneh Nazri yang cukup merungsingkan hatiku sekarang ini.
Pintu dihempas sekuat-kuatnya. Aku yakin pasti itu Nazri. Aku ketuk pintu biliknya berkali-kali namun tiada tindak balas.
“Kau okey ke ni?” soalku.
Nazri hanya diam seribu bahasa. Mengapa entah sikapnya berubah begitu drastik sekali. Jika aku biarkan masalah ini berlarutan nanti akan timbul syak wasangka dalam persahabatan kami. Mungkin aku patut biarkan dia bersendirian dahulu. Bila hatinya sudah sedingin salji baru aku akan cuba untuk berbicara dengannya.
Suatu petang apabila aku berjalan untuk pulang ke rumah, tiba-tiba aku terlihat dua kelibat orang yang sedang berbincang serius. Mungkin saja sedang bergaduh. Terdetik di hatiku untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku di situ. Aku menyelinap di tepi dinding kedai-kedai supaya tidak diketahui oleh mereka. Gayaku bagai seorang pengintip yang sedang mengintip kes siasatan pada saat itu.
Aku masuk dengan lebih dekat. Dari belakang aku seperti kenal benar akan kelibat mereka itu. Seorang seperti Nazri dan yang seorang lagi seperti Takida Akira juga rakan sekelas kami. Tapi mengapa mereka boleh bercakap berdua sedangkan selama ini hubungan kami dan Akira sentiasa seteru. Bukan sahaja dengan kami malah kawan-kawan lain juga tidak suka akan sikap Akira yang bodoh sombong itu. Mesti ada yang tidak beres antara mereka berdua. Aku tahu benar sifat angkuh si Akira yang tidak mudah untuk sekutu dengan bangsa asing. Akira memang racist orangnya!
Nazri pula orangnya baran. Perasaanku agak cuak pabila memikirkan situasi tegang ini. Aku terus memerhatikan aksi mereka dari jauh. Jika semakin tegang aku mesti hentikan dengan segera sebelum bertambah rumit.
Akira berlalu meninggalkan Nazri seorang diri di tempat itu sambil jari telunjuknya menunjuk tepat ke arah muka Nazri. Aku tidak pasti apa yang mereka bualkan sebentar tadi namun satu yang ku pasti ialah pasti berkaitan dengan surat misteri yang di terima Nazri semalam. Nazri pula berlalu dengan wajah yang agak sugul menuju ke arah rumah sewa kami.
Bunyi derapan kakinya sudah tergambar betapa pilunya hati Nazri saat itu.
“Kau ni ada masalah ke? Aku tengok kau ni sejak tadi muram aje. Bercakap dengan kami pun tidak. Biasa kau yang paling murai antara kita” Sindirku memujuk Nazri untuk membuka mulut. Nazri terus diam membisu.
“Masalah apa lagi, ni mesti masalah perempuanlah tu. Mesti dia dah kena main dengan perempuan ni. Itulah lain kali kalau dah tahu tak pandai mengayat perempuan tu tak payahlah nak tunjuk hebat sangat” Fahmi mencelah seakan mencurah minyak pada api yang sedang marak menyala.
Nazri menjeling tajam ke arah Fahmi. Hatiku mula rasa gundah melihat situasi tegang ini. Nazri terus bangun dari sofa menghampiri Fahmi. Dia mengempalkan penumbuknya lantas diajukan satu penumbuk sulung ke muka Fahmi. Melihat keadaan itu aku bingkas bangun untuk meleraikan pertelingkahan antara dua sekawan itu sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Kau jangan nak masuk campur dalam urusan aku. Ingat!” Nazri bersuara dengan begitu baran.
Aku terkelu tidak mampu untuk berbicara melihat tindakan Nazri. Aku cuba menenangkan Fahmi. Aku tahu hati Fahmi bergelora dek tumbukan sulung Nazri ke mukanya. Fahmi mengusap-usap matanya yang lebam itu dengan cebisan kain.
“Budak Nazri ni memang dah melampau. Kau tunggulah aku akan kerjakan kau balik” Fahmi bersuara seakan tidak berpuas hati dengan tindakan Nazri.
“Aku tahu kau marah. Tapi salah kau jugak tadi cakap begitu. Mesti ada sebab mengapa dia pukul kau tadi. Mungkin dia ada masalah. Kita sebagai kawan dia mesti tolong dia” jelasku meredakan amarah Fahmi.
Sudah dua hari salji turun di bumi matahari terbit ini. Pengalaman pertama merasai kedinginan salji yang sepatutnya menjadi keriangan buat kami bertukar menjadi tragedi dengan perubahan sikap Nazri yang begitu mendadak. Fahmi dan Nazri masih memaling muka. Apa yang patut aku buat untuk menyatukan kembali dua sekawan ini. Aku bagai tersepit di tengah-tengah kerana yang seorang menghala ke ufuk daksina dan seorang lagi menghala ke ufuk paksina. Agak sukar untuk aku menyelesaikan pengsengketaan ini.
Perubahan pada diri Nazri mesti ada puncanya. Aku mesti korek isi kandungan surat misteri yang di terima Nazri tempoh hari. Aku mencari ke segenap penjuru biliknya. Sekeping surat berwana putih terselit di bawah bantal tidur Nazri. Aku terus menarik surat itu keluar lalu membaca isi kandungannya.
Nazri. Aku tidak suka kau rapat dengan Michiko. Ingat! Dia teman wanita aku. Jika kau berani mendekati dia lagi aku akan pastikan kau tidak akan dapat balik ke Malaysia lagi buat selama-lamanya... - Akira.
Kandungan surat tersebut telah menjawab seribu teka-teki yang bermain di mindaku selama dua hari ini. Inilah punca masalah yang dihadapi oleh kawanku Nazri. Cinta tiga segi!.. Itulah jawapan kepada teka silang kata antara Nazri, Akira dan Michiko. Patut saja Nazri seakan mengelak panggilan telefon dari Michiko. Rupa-rupanya berpunca daripada ugutan Akira. Aku memberi surat tersebut kepada Fahmi. Setelah Fahmi membaca seluruh isi kandungan surat tersebut sekonyong-koyong butir mutiara jernih deras menembusi tubir matanya. Fahmi seakan rasa bersalah kerana telah syak wasangka terhadap kawan sendiri. Fahmi juga berjanji akan turut membantuku menyelesaikan masalah Nazri.
Aku dan Fahmi berjumpa dengan Akira bagi menyelesaikan permasalahan ini. Walaupun kami tahu Akira seorang yang angkuh tetapi kami tetap akan menghadapi sebarang kemungkinan. Tidak akan sesekali sebelum berperang sudah gencatkan senjata.
Seperti yang di duga Akira memang tidak mahu bertolak ansur dan masih saja dengan keangkuhannya. Pada saat itu juga dia mengugut akan mencelakakan Nazri. Aku dan Fahmi terkejut besar dengan ancaman yang keluar dari mulut Akira sebentar tadi. Fahmi hampir sahaja menghunuskan penumbuknya ke muka Akira tetapi sempat ditahannya. Dipulas-pulas tangan Fahmi sehingga Fahmi meraung kesakitan. Aku tidak berdaya untuk menolong hanya mampu terlopong dengan tindakan ganas Akira itu.
Aku memapah Fahmi dan terus membawa ke rumah. Nasib baik tangan Fahmi tidak cedera teruk. Atmaku gundah memikirkan ugutan Akira sebentar tadi. Aku mesti cari Nazri sebelum Akira menemuinya. Sekonyong-koyong telefon rumahku berdering. Aku terus berlari mendapatkan telefon dan menjawab panggilan. Rupa-rupanya panggilan dari Mchiko yang menyatakan Akira sedang dirawat di Hospital Besar Takashimadaira Chuo kerana terlibat dalam kemalangan.
Aku dan Fahmi terus bergegas ke hospital setelah berkali-kali tidak dapat menghubungi Nazri. Rupa-rupanya Nazri sudah berada di hospital bersama Michiko. Nazri telah menceritakan segala-galanya kejadian yang telah berlaku. Akira dilangar kereta akibat sewaktu mengejarnya. Aku tahu pasti waktu itu Akira ingin mencederakan Nazri tetapi sebaliknya dia yang menjadi mangsa langgar lari.
“Aku nak minta maaf pada kamu berdua kerana merahsiakan masalah aku. Terutama Fahmi, aku banyak sakitkan hati kau. Kau maafkan aku ya” Nazri tiba-tiba memohon maaf atas kesilapannya sambil menitiskan air mata.
“Kami sudah maafkan kau. Kita kan kawan, takkan kami nak berdendam dengan kau pulak. Walaupun tumbukan kau agak berbisa dan masih meninggalkan kesan di muka aku ni tapi aku masih anggap kau kawan baik aku” Fahmi menutur kata sambil memeluk Nazri.
Aku hanya tersenyum melihat telatah mereka berdua.
Setelah beberapa hari Akira tersedar dari koma. Tangan dan kakinya masih berbalut. Nasib baik dia tidak mengalami lumpuh dan hanya cedera sahaja. Akira memandang ke arah kami berempat. Tangannya bergerak-gerak seolah ingin menutur sesuatu.
“Ak.u na.k min.ta ma.af kera.na te.lah menyusah.kan ka.mu se.mua. A.ku ta.hu Mic.hi.ko ti.dak cin.ta.kan a.ku. A.ku ber.salah den.gan ka.li.an se.mua teru.tama kau Naz.ri. A.ku min.ta ma.af san.gat-san.gat. A.ku men.yesal a.tas per.bua.tan a.ku se.la.ma i.ni. A.ku jan.ji se.le.pas i.ni a.ku ti.dak a.kan ang.kuh la.gi. A.ku ha.rap ka.mu se.mua da.pat te.ri.ma a.ku se.ba.gai ka.wan” tutur Akira tergagap-gagap. Badannya masih lagi lemah dan tidak mampu untuk bertutur dengan baik.
“Kami semua sudah maafkan kau. Kau jangan risau kami semua akan jadi kawan kau untuk selamanya” tuturku kemudian di sahut oleh Nazri, Fahmi dan juga Michiko.
Akira hanya tersenyum gembira. Butir mutiara jernih menembusi di balik tubir matanya sebagai tanda kegembiraan. Kami semua tersenyum riang gembira.
Aku bersyukur kerana akhirnya Aku, Nazri dan Fahmi dapat mempertahankan tanah perkebunan persahabatan yang kami semai sejak di bangku sekolah lagi. Akira juga telah insaf dengan sikapnya yang angkuh selama ini. Ini merupakan satu titik permulaan kami dalam menyemai sebidang tanah perkebunan persahabatan yang lebih utuh dan tidak akan goyah walau badai melanda tetap subur sebagai sebidang tanah perkebunan persahabatan yang dibaja agam.
Butir salji masih lagi menitis di luar tingkap. Biarlah persahabatan kami ini akan kekal menjadi seputih salji yang gugur. Kuntum-kuntum senyuman yang di lemparkan oleh Akira, Michiko, Nazri dan Fahmi membuatkan aku yakin hubungan persahabatan kami tetap akan bersih dan tidak akan bertukar hitam atau kelabu walau apapun yang akan terjadi selepas ini. Tetap sahaja seperti salji yang bertandang dengan warnanya yang putih. Itulah harapanku!
Seputih salju yang diimpikan
Membawa sinar harapan
Tuk terus melangkahkan
Kaki menuju ke suara impian…


Sunday, March 29, 2015

Jenin ; Angan Kosong atau Imagi Berisi?

Angan vs Impian
Sebut sahaja nama Jenin sudah pasti ramai yang mengetahui kisahnya. Watak Melayu kerjanya setiap hari petik buah kelapa namun watak ini mempunyai satu tabiat yang gemar berangan di atas pokok kelapa untuk berjodoh dengan puteri sehingga akhirnya watak itu mati jatuh dari pokok kelapa dek angan-angan. Itu kisah Jenin yang sering digembar-gembur oleh wangsa sehingga apabila ada seseorang yang berangan sedikit diejek itu sebagai angan si Jenin. Namun apakah kisah di sebalik kisah Jenin yang tidak kita ketahui?
Jika kita teliti daripada kisah Jenin sudah tentunya sudah lama berlaku. Mat merupakan nama timbangan Jenin sehingga ada juga yang menyebut nama Jenin sebagai Mat Jenin. Mat merupakan nama Melayu yang sinonim pada zaman penjajah. Satu lagi bukti yang menyatakan Jenin hidup di zaman penjajah adalah dari sudut pekerjaannya yang petik buah kelapa. Umum mengetahui bahawa pada zaman Jepun penduduk di tanah Malaya dipaksa panjat pokok kelapa jika tidak akur maka padah menimpa.
Memang tidak dinafikan Jenin seorang yang gemar berangan. Namun tahukah anda di sebalik kisah Jenin yang sebenarnya? Kita sering sahaja mendakwa angan yang terlalu tinggi itu sebagai angan-angan Jenin. Akibatnya sehingga kini kita akan dihantui rasa takut untuk berangan setinggi gunung. Jika dilihat dari segi luarannya memang falsafah angan Jenin ini dimitoskan untuk mengingatkan kita supaya tidak terlalu kuat berangan seperti yang telah didakwa. Itu yang didakwa bahawa Jenin mati kerana angan kosong tapi hakikatnya watak itu mati dibunuh oleh penjajah.
Kenapa Jenin mati dibunuh?
Pada zaman penjajah watak Jenin boleh dikatogerikan sebagai seorang yang bijak. Apa bukti Jenin itu seorang yang bijak? Jika dikaji kisah Jenin yang sebetulnya watak ini sememangnya mempunyai perancangan hidup yang begitu teliti.iaitu pelannya daripada hasil petik kelapa dia ingin beli banyak ayam sehingga membiak menjadi ladang supaya bebas daripada kepompong khadam dan menjadi seorang pengusaha. Itulah dia punya destinasi kejayaan, tapi belum sempat watak itu mengarang strategi lebih awal dimatikan oleh penjajah. Hanya impian yang berkubur dengan nisan angan-angan itulah hakikat Jenin yang cuba dimitoskan oleh penjajah. 
            Di sebalik angan-angan watak itu berjaya melihat masa depan. Melalui angan-angan maka tercipta keinginan yang amat mendalam terhadap sesuatu perkara yang diimpikan itu. Dengan keinginan itu pula akan bertunas rasa ingin berusaha ke arah suara impian. Dengan terdetiknya dihati ingin berusaha maka akan wujudnya perancangan kepada strategi yang bersauh pada kekuatan angan itu tadi. Apabila perancangan dikemudi dengan kaki tangan maka akan tercipta satu rasa yang digelar mahu berjaya. Begitulah yang berlaku kepada watak Jenin iaitu angan yang berisi telah dicantas oleh penjajah dan itulah hakikat sebenarnya yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu. 
            Menyekat kemajuan bangsa Melayu adalah salah satu agenda penjajah sejak dari dahulu lagi. Salah satu bukti keberhasilan agenda penjajah itu adalah dengan pembunuhan terhadap Jenin. Sehingga kini kesannya masih menjadi fenomena dan tidak kerterlaluan jika ditakrifkan kesan ini sebagai fobia kepada bangsa Melayu itu sendiri. Sejak dari dahulu sehingga sekarang orang kita seolah-olah takut memasang angan-angan atau takut untuk bercita-cita tinggi dek terlalu fobia dengan mitos kisah Jenin yang kononnya disebabkan angan-angan watak itu mati. Namun hakikatnya kisah itu adalah angkara penjajah semata-mata. Ternyata penjajah berjaya menakutkan kita dengan manipulasi cerita Jenin.
 Jom Jadi Jenin
Solusinya, angan-angan itu tidak salah jika diiringi dengan usaha sekali. Namun yang menjadi salahnya adalah angan-angan kosong yang tidak diiringi dengan usaha iaitu angan hanyalah sekadar angan. Dalam islam pun mengajar supaya kita berusaha untuk mencapai kejayaan malahan pepatah yang berbunyi usaha tangga kejayaan turut menyokong kupasan mengenai percaturan menuju mercu kejayaan. Jadi, amat signifikan jika kita mengikut jejak Jenin dengan memasang angan-angan kerana dengan angan-angan kita akan melakukan perancangan. Waima kejayaan tokoh sekarang ini pun dicetuskan melalui angan-angan.
            Walaubagaimanapun, angan yang dipasang mestilah berisi bukan sekadar angan kosong tanpa sebarang tindakan usaha atau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Apabila angan disulami dengan strategi  maka akan berputik usaha berganda kemudian bakal mekar naurah kejayaan. Insya-Allah. Tidak dinafikan bahawa angan-angan kadang-kadang akan memakan diri sendiri jika yang dibentuk dalam set minda itu hanyalah angan kosong dan begitulah sebaliknya angan yang dibentuk dalam set minda itu angan berisi maka hasilnya akan termanifestasi positif. Begitulah juga jika watak Jenin terus hidup Insya-Allah angan yang dirancang rapi itu akan berjaya, kerana itu adalah lebih baik daripada tidak merancang langsung.

            Kesimpulan, pilihan ditangan kita sama ada untuk membina acuan set minda angan kosong atau imagi yang berisi. Jika pilihan kita adalah imagi berisi jadi apa lagi jom jadi Jenin. Ayuh sama-sama kita ubah set minda ke wilayah wawasan.                                                                                                                                 

Wednesday, May 14, 2014

SALAH MENDUGA (MENGENANG TERMINAL MEDAN GOPENG)


HARI ini merupakan hari terakhir aku di bumi timah untuk semester ini setelah selesai menjawab kertas ujian yang penghabisan. Bermakna hanya tinggal beberapa semester lagi untuk aku menamatkan pengajian di bumi timah. Aku dan kawanku Anuar melangkahkan kaki ke Terminal Bas Medan Gopeng seawal jam 7 petang lagi. Kata Anuar dia tidak sabar untuk balik ke kampung halaman kami dan oleh sebab itulah kami terpacak di terminal seawal jam 7 petang lagi. Aku hanya menurut Anuar sahaja kerana aku juga mempunyai perasaan yang sama seperti Anuar yang teramat rindu akan kampung halaman setelah 3 bulan berada di bumi rantauan. Riuh rendah suasana di Terminal Bas Medan Gopeng menyebabkan aku begitu teruja untuk pulang ke kampung. Sudah terbayang di fikiranku untuk tidur nyenyak di dalam bas Shamisha sepanjang perjalanan kami dari bumi timah ke bumi Cik Siti Wan Kembang.

   Aku begitu menghormati Anuar kerana sifatnya yang sentiasa bersederhana dalam setiap lakuannya. Pernah ibu bapanya menyuruh Anuar membawa kereta sendiri namun Anuar lebih selesa untuk menggunakan perkhidmatan bas seperti aku. Menurut Anuar perkhidmatan bas lebih senang berbanding memandu kereta sendiri.  Itulah Anuar yang aku kenal tidak pernah sesekali meninggi diri dengan tiket kekayaan keluarganya. Bagi Anuar yang kaya itu ibu bapanya bukan dia. Seorang kawan baik yang selalu mengingatkan aku jika terlalai atau gusar dialah tempat aku meminta nasihat. Anuar sememangnya kawan terbaik yang pernah hadir dalam hidupku. Aku berharap agar tanah perkebunan persahabatan yang kami lewati selama ini akan berkekalan sehingga ke hujung pernafasan kami. Walaupun kadang-kadang Anuar agak panas baran namun aku tetap selesa berkawan dengannya.

    Oleh sebab terlalu awal tiba di terminal, aku dan Anuar terlebih dahulu mengisi perut di gerai yang berdekatan dengan terminal. Anuar sungguh berselera sekali makan nasi goreng ayam untuk mengisi perut manakala aku pula hanya memesan semangkuk tom yam ayam sahaja kerana memang sudah menjadi kebiasaan bagiku menghirup tom yam sebelum menaiki bas ketika pulang ke kampung. Usai mengisi perut kami terus ke surau di terminal untuk menunaikan solat jamak mahgrib dan isyak.  Aku dapat melihat sungguh ramai orang yang memenuhi surau. Masing-masing hanya solat sendirian dan melangkau dua petak saf sehingga menyebabkan tiada ruang untuk kami bersolat. Ada juga yang usai bersolat tetapi masih lagi menunggu di dalam surau tersebut sehingga menyebabkan jemaah lain sukar untuk bersolat. Aku dan Anuar terus mengambil wuduk terlebih dahulu dan menunggu insan yang prihatin memberi ruang untuk kami menunaikan solat.

    “Anak nak bersolat? Mari sini, pak cik dan anak pak cik sudah selesai ni”

  Alhamdulillah. Ada juga ruang untuk kami menunaikan solat di celah-celah ramai orang yang berpusu di dalam surau ini. Terima kasih pak cik kerana telah memberikan ruang kepada kami untuk menunaikan solat. Semoga Allah merahmati pak cik.

Dingin angin malam yang menyentuh kulit nipis ini membuatkan aku menggigil kesejukan.  Aku dan Anuar dari tadi masih menunggu ketibaan bas di Terminal Medan Gopeng mula merasa bosan.  Jika diikutkan pada kertas tiket sepatutnya bas sudah tiba  tetapi entah kenapa bayangnya belum juga menempang di bayangan mataku. Anuar dari tadi hanya duduk berpeluk tubuh mula kelihatan gelisah dengan situasi ini  dan terus bingkas dari bangku menjenguk ke kaunter tiket. Aku melihat jam ditangan menunjukkan kami telah 15 minit tergendala. Sekonyong-konyong Anuar menghampiriku dan menepuk bahuku. Mukanya kelihatan masam mencuka. Aku mula berasa cemas apabila melihat Anuar berperi seperti itu.

 “Nampaknya kita terpaksa tidur di sini malam ni. Petugas kaunter kata bas rosak dalam perjalanan ke sini. Bas gentian pun sudah tiada untuk malam ni. Paling cepat pun pagi esok baru bas lain akan sampai” jelas Anuar kepadaku.

“Ni la sebab aku malas nak ambil bas Shamisha banyak sangat masalahnya, remeh dan menyusahkan orang saja. Kalau ikutkan hati aku memang dah lama aku saman syarikat bas ni. Dah banyak kali kita kena macam ni dulu lewat sampai sekarang tergendala pulak. Argh! Bengang aku” rungut Anuar sambil mengempalkan penumbuknya.

Anuar memang agak panas baran sedikit sifatnya. Sejak dua tahun aku berkawan dengannya memang aku sudah masak akan panas barannya itu. Tetapi kali ini aku terpaksa bersetuju dengan Anuar kerana aku juga turut berasa berang dengan situasi sebegini. Namun terpaksa juga bersabar kerana sabar itu adalah sebahagian daripada iman dan sifat amarah itu akan membawa kepada pertelingkahan. Lagipun ini baru pengalaman pertama aku terpaksa tidur di terminal bas. Bersesak-sesak penumpang yang terkandas memenuhi ruang surau yang berhampiran dengan kaunter. Aku dapat melihat pelbagai ragam manusia yang menunjukkan sifat dalaman mereka yang sebenar. Ada anak kecil yang menangis di riba ibunya. Ada yang membentak-bentak petugas kaunter dan ada juga yang tidak renggang dengan telefon bimbit sentiasa sahaja melekat di telinga.

Aku dan Anuar masih melekat di atas bangku. Jam baru menunjukkan pukul 10.45 malam. Sekonyong-konyong datang seorang lelaki yang kusut masai melalui hadapan kami sambil tersengih-sengih. Aku meneliti raut wajah lelaki tadi dengan begitu teliti. Seketika itu juga situasi setahun yang lepas telah menerjah ingatanku.

“Tolong nak. Isteri pak cik sedang dirawat di hospital akibat barah hati dan untuk pembedahan memerlukan kos puluhan ribu ringgit. Jadi pak cik mohon sumbangan ikhlas anak berdua untuk isteri pak cik. Tolong nak!” rayu seorang lelaki.

Aku menjeling ke arah Anuar. Memang tampak kesihan melihat keadaan lelaki itu. Anuar juga tampak begitu. Aku menghulurkan sekeping not merah manakala Anuar mengeluarkan dua keping not RM 50.  Anuar memang seorang yang sangat sensitif bab-bab begini. Dia memang berasal dari keluarga yang berada jadi tidak hairanlah jika dia menderma sebanyak itu setakat dua keping not RM 50 memang tidak jadi masalah buatnya.  Tetapi bukan itu yang dipersoalkan. Pasti! Anuar bukan saja hendak menunjuk-nunjuk akan tetapi setiap perinya sememangnya tulus dan ikhlas. Walaupun dia hidup dalam keluarga serba mewah namun dia langsung tidak loket dan tinggi diri. Itulah sifat Anuar yang aku kenal selama ini. Disebabkan itu juga aku sangat menghormati Anuar sebagai kawan baikku.

Lelaki itu pun beredar dari kami. Dia terus gigih mencari sumbangan demi menyelamatkan nyawa isterinya yang sedang terlantar. Aku begitu kagum melihat usahanya tanpa asa memenuhkan tabung dana untuk isterinya yang tercinta. Bagi aku lelaki sebegini adalah suami yang sangat bertanggungjawab  kerana zaman sekarang tidak ramai suami yang sanggup berkorban demi isterinya. Yang sanggup bersusah payah, berhujan panas demi isteri. Inilah lelaki yang patut dicontohi oleh suami-suami diluar sana. Jika aku berada ditempat lelaki ini belum tentu aku mampu untuk berkorban sedemikian. Sungguh luar biasa pengorbanan lelaki itu pada kaca mataku peribadi.

Fikiranku kembali ke ruang nyata. Ku lihat masih ramai yang sedang berpusu-pusu di hadapan perkarangan terminal akibat tersangkut bas. Aku sekonyong-konyong sahaja teringat akan kisah setahun dahulu yang melibatkan aku dan Anuar ketika bas kami terlewat tiba daripada waktu yang sepatutnya. Wajah lelaki 40-an umur yang aku kagumi kerana menjadi pahlawan kepada isterinya yang sakit itu terbayang-bayang di mataku. Sangkaanku barangkali lelaki itu sudah mendapat dana yang secukupnya untuk membantu isterinya yang sakit itu dan mungkin juga isteri lelaki itu telah sembuh dan mereka kembali hidup bahagia sebagai sepasang suami isteri. Begitu beruntung si isteri tersebut kerana bersuamikan lelaki yang sungguh bertanggungjawab seperti itu. Aku tabik dengan lelaki itu!

Pujianku terhadap lelaki yang ku temui di sini setahun lepas amat menggunung tinggi. Bagiku pujian itu tidak terlalu berlebihan buat si pahlawan sejati. Lelaki itu memang patut diberi pujian atas usaha yang sungguh luar biasa. Dalam situasi sebegini entah mengapa hatiku mula rasa tersentuh dengan kisah-kisah yang sungguh menyayat hati seperti kisah seorang lelaki 40-an umur yang datang merayu-rayu supaya membantunya melengkapkan dana pembedahan isterinya pada setahun yang lalu. Sungguh tidak aku menyangka kejadian setahun yang lalu tiba-tiba sahaja mengetuk pintu hatiku saat ini. Sungguh sayu bila memikirkan nasib lelaki tersebut dan membuatkan aku penasaran ingin mengetahui lanjutan kisah lelaki tersebut. Doaku moga-moga isterinya telah sembuh dan mereka dapat kembali mengecapi kebahagiaan. Amin.

“Kau mengelamun apa ni? aku tengah bengang ni boleh pulak kau mengalamun ya”

Tiba-tiba aku terkejut dek sapaan Anuar. Aku hanya tersengih malu apabila semua orang di sekeliling melihat ke arah kami. Memang agak keras suara Anuar menegurku sehingga semua orang di sekeliling memerhati kami. Aku mula menyusun kata untuk menjelaskan kepada Anuar mengenai lelaki 40-an umur yang kami jumpa setahun yang lalu di tempat yang sama kami duduk ketika ini.

“Kau ingat tak pada pak cik yang minta dana untuk pembedahan isteri dia di sini setahun yang lepas?” soalku.

“Yang mana ye?” Anuar membalas seolah-olah kebingungan.

“Alah. Yang kau derma sampai RM 100 tulah” jelasku.

“Oh yang tu. Ingat, agak-agak macam mana keadaan isteri dia sekarang ye?” jawab Anuar.

Aku hanya terdiam kerana aku juga belum pasti akan kondusi sebenar kes lelaki 40-an usia tersebut. Yang aku pasti hanya mengharapkan yang terbaik buat insan yang semulia dia yang sanggup berkoban apa sahaja demi kesembuhan isteri tercinta.

“Hei. Kau mengelamun lagi ye?”

“Eh. Tak adalah aku cuma teringat dekat pak cik tu je. Entahlah aku pun tak tahu keadaan isteri dia sekarang. Tapi harap-harap moga isteri dia sihat seperti sedia kala hendaknya”

Sedang aku dan Anuar sedang rancak berbual mengenai lelaki 40-an umur yang kami temui setahun lepas tiba-tiba lelaki yang kusut masai itu tiba lagi menempang di hadapan kami. Kali ini lelaki itu berhenti tepat di samping kami dan tanpa diduga lelaki itu duduk di sebelah Anuar. Aku mula rasa cuak apabila lelaki yang tuna waras itu mula merapati lantas memeluk Anuar sambil menangis.

“Tolong nak. Isteri pak cik sakit di hospital”

Aku dan Anuar terkejut besar apabila mendengar ayat sebegitu meloncat keluar dari mulut lelaki tuna waras itu. Aku yakin memang tidak salah lagi yang lelaki tuna waras itu ialah lelaki 40-an umur yang sama kami temui dahulu. Tetapi masih aku bingung oleh apa telah menyebabkan lelaki itu berkeadaan tuna waras seperti itu. Mungkinkah isterinya masih sakit? Atau mungkin isterinya telah meninggal dunia? Pelbagai persoalan yang sedang bermain di fikiranku. Semakin kusut benakku apabila memikirkan punca lelaki yang ku anggap sebagai pahlawan sejati dahulu telah menjadi seorang lelaki yang tuna waras ketika ini.

“Jangan dilayan sangat orang tua penipu tu” sekonyong-konyong suara seorang lelaki pertengahan 30-an umur bergema. Manakala lelaki tuna waras kelam kabut melarikan diri apabila melihat lelaki tersebut tercegat di hadapan kami.

“Apa maksud abang?” soalku kebingungan.

“Kalau adik nak tahu orang tua inilah yang berpura-pura dengan mengutip derma kononnya untuk pembedahan isteri dia. Padahal isteri dia tidak sakit pun dulu. Dia sengaja menipu agar semua orang simpati kepada dia. Sebulan lepas isteri dia betul-betul meninggal dunia akibat menderita penyakit sama seperti yang direka oleh orang tua penipu tu” terang lelaki pertengahan 30-an umur panjang lebar.

“Macam mana abang boleh tahu?” soal Anuar. Aku turut mengangguk ingin kepastian.

“Mengapa pula tidak tahu. Dah orang tua tu jiran sebelah rumah abang.  Semua orang kampung abang tahu yang dia kaki penipu. Sebab tu dia lari tadi bila nampak abang tegur kamu berdua”

Aku dan Anuar saling berpandangan setelah mendengar penjelasan daripada lelaki pertengahan 30-an umur itu. Sungguh mengejutkan apabila lelaki yang aku sanjung selama ini sebenarnya merupakan seorang penipu.  Ternyata dugaanku selama ini terpesong sama sekali daripada apa yang aku fikirkan. Sungguh aku terkilan dengan diri sendiri kerana begitu mudah terharu dengan usaha pembohongan lelaki yang hanya pentingkan diri sendiri sehingga menghalalkan segala cara demi kesenangan tanpa berusaha untuk mencari rezeki yang halal.

“Geramnya aku. Berani dia tipu aku dulu. Kalau aku jumpa pak cik tu lagi pasti penumbuk aku ini akan hinggap di muka dia” omel Anuar begitu marah.

“Sabar Nuar. Jangan ikutkan sangat amarah kau tu. Pak cik tu sudah pun terima balasan. Allah dah bayar cash dosa dia di dunia ini. Tak payahlah kita nak hukum dia lagi dengan keadaan dia macam tu. Kita maafkan saja dia dan ikhlaskan saja duit yang pernah kita dermakan kepadanya. Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang sabar dan memaafkan kesalahan orang lain” pujukku menenangkan lautan gelora dihati Anuar.

Insiden yang telah menimpa aku pada malam ini telah membuka mataku agar lebih berwaspada dalam menduga sesuatu perkara. Sesungguhnya pengajaran yang telah ku cicip pada malam ini pastinya akan menemani aku pulang ke kampung halaman pada esok hari. Walaupun aku sedikit kesal kerana perjalanan kami pulang ke kampung tergendala namun dalam pada itu aku juga bersyukur kerana aku pasti ini adalah takdir yang telah ditentukan oleh Allah Taala supaya aku dan juga Anuar bertemu dengan kebenaran mengenai pembohongan oleh lelaki yang telah ku anggap sebagai pahlawan sejati sanggup berkorban demi isteri yang ternyata hanyalah sandiwara demi kepentingan diri sendiri. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang yang telah menyedarkan aku daripada memuji perlakuan yang sememangnya salah dari segi undang-undang apatah lagi agama. Terima kasih Ya Allah kerana telah membuka pintu kebenaran dan membuka pintu hatiku daripada terus memuji orang yang salah.
Alhamdulillah…

TANAH YANG KU PIJAK INI


Tanah yang ku pijak
Bawah pimpinan yang bijak
Mentadbir dalam jihad
Teduhan rakyat berharap

Pusaka cik siti wan kembang
Tanah lembayung Al-Quran
Pemimpin berjiwa kebanyakan
Sunnah erat pegangan

Tanah yang ku pijak ini
Kaya dengan budi pekerti
Sultan dan ulama’ bersatu hati
Bergandingan kemudi negeri
Rakyatnya saling toleransi

Membangun bersama Islam
Pemimpin dan rakyat mesra bersalam
Mengenggam erat syariat Islam
Berlembut lidah siang dan malam


Tanah yang ku pijak ini
Hidup aman dan harmoni
Jangan ada yang kotori
Bahkan sekali menjadi duri
Tanah ini menjadi saksi
Berkat redha Illahi.

Monday, April 28, 2014

KEMBARA LUAR DIMENSI


Pada suatu hari burung-burung pun berkicauan pada hari itu. Ada yang bekerja, ada yang bergembira, dan ada juga yang  berlagak seperti Si Tanggang. Amir seorang muda remaja yang telah kaya raya tidak mengakui ibunya sendiri sebagai ibu kandung. Mak Temah amat berkecil hati lantas menadah tangan berdoa.

“Ya Allah Ya Tuhanku, seorang ibu tidak akan tergamak mendoakan sesuatu keburukan kepada anaknya sendiri. Tetapi kau tunjukanlah kekuasaanMu supaya dia kembali ke pangkal jalan.”

  Malangnya Amir tidak mempedulikan doa ibunya malah dia semakin galak menghina ibunya yang miskin hina itu. Petir berdentum, angin bertiup kencang. Amir tiba-tiba menjadi lumpuh separuh badan. Amir meraung kesakitan memanggil-manggil nama ibunya. Amir  benar-benar sedar dengan kesilapannya sehingga telah menitiskan air mata keinsafan. Mendengar rintihan anaknya itu, lantas Si Ibu berdoa untuk kesekian kalinya.

“Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah dosa anakku. Kembalikanlah Amir seperti sedia kala. Aku telah mengampuni dosanya kepadaku”

Petir berdentum lagi, angin bertiup kencang. Pokok bergoyang. Amir kembali ke asalnya. Amir berlari mendapatkan ibunya lantas berlutut memohon keampunan. Kerana kasihnya Si ibu telah mengampunkan Si Anak yang hampir-hampir saja menjadi Si Tanggang. Mak Temah mengajak Amir pulang ke rumah dan dalam keterujaan Mak Temah berjanji untuk memasak makanan kegemaran Amir iaitu telur ikan tembakul masak lemak.

Sedang Mak Temah memberi ayam makan. Amir meminta izin untuk pergi mengembara. Pada mulanya Mak Temah agak keberatan untuk melepaskan Amir pergi mengembara kerana takut Amir lupa diri lagi namun setelah dipujuk akhirnya Mak Temah merelakan jua kepergian Amir mengembara melihat keindahan alam. Sebelum Amir melangkah pergi ibunya telah berpesan supaya Amir sentiasa menghantar pesanan bergambar di laman sosial kepadanya.

Maka bermulalah pengembaraan Amir ke negeri orang untuk merasai banyak garam. Dalam perjalanan, Amir bertemu dua pendekar yang hendak bertarung menunjukkan kehebatan masing-masing. Jebat dan Tuah segera mengangkat raket badminton dan pertarungan pun bermula. Sedang pertarungan badminton di antara Jebat dan Tuah rancak berlangsung, tiba-tiba muncul Amir  dengan kuda kepangnya memberi salam.

Salam Amir disambut mesra oleh dua pendekar yang masih memegang raket badminton itu. Amir melemparkan sekuntum senyuman kepada dua pendekar itu lantas bertanyakan mengenai jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan. Dua pendekar yang segak bergaya berbaju Melayu itu kemudian menunjukkan arah jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan kepada Amir. Setelah mendapat arah jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan Amir telah meminta diri untuk meneruskan perjalanannya. Dua pendekar itu kemudiannya telah menyambung kembali pertarungan mereka yang tertunda tadi.

Amir meneruskan perjalannya untuk mencari negeri Pulau Tiga Kanan. Tiba di satu kawasan hutan yang agak redup Amir berhenti berehat dan duduk bersandar di batu yang sangat besar. Sedang Amir merebahkan badan dan terlena, Amir dikejutkan dengan satu suara.

“Sedap kau bersandar kat aku. Hoi.. hoi.. malu kat orang.”

Amir tercengang dan terpinga-pinga. Dia tercari-cari suara yang bergema itu sedangkan tiada sebarang kewujudan mahkluk berhampiran dengannya. Tiba-tiba suara itu mengaku bahawa dialah Batu Belah Batu Bertangkup yang telah memakan Mak Pekan. Batu Belah telah bertanya akan tujuan keberadaan Amir di dalam hutan itu. Amir telah menyatakan bahawa dia  hendak pergi ke negeri Pulau Tiga Kanan untuk mencari ilmu dan singgah sebentar untuk berehat.

Batu Belah telah menghalau Amir supaya segera beredar dari hutan itu dan mengugut untuk menelan Amir jika tidak segera beredar dari hutan itu. Amir tidak mahu ditelan kerana dia belum pun sempat menghantar pesanan bergambar melalui laman sosial kepada ibunya lagi. Lantas Amir beredar meninggalkan Batu Belah yang angkuh itu.

Amir meneruskan lagi pengembaraannya sehingga sampai di sebatang anak sungai yang dikelilingi pokok Sakura. Tiba-tiba dia teringat yang dua pendekar memberitahunya bahawa dia perlu menyeberangi anak sungai itu untuk ke negeri Pulau Tiga Kanan. Tanpa membuang masa Amir telah menyeberangi anak sungai itu. Setelah berhempas pulas meredah anak sungai maka tibalah Amir di negeri Pulau Tiga Kanan.

Amir meletakkan kuda kepangnya di tempat parkiran. Kemudian dia masuk ke kedai tujuh sebelas untuk membeli minuman. Keluar dari kedai tujuh sebelas tiba-tiba kuda kepangnya telah hilang. Amir menjadi cemas, dia tercari- cari kuda kepang kesayangannya itu di merata-rata tempat tetapi tidak berjumpa. Setelah puas mencari Amir telah menemui sebuah gua. Dia mengambil keputusan untuk berhenti berehat seketika di dalam gua itu. Apabila Amir memasuki gua itu dia telah ternampak kelibat kuda kepangnya. Amir menghampiri kuda kepangnya tiba-tiba muncul satu lembaga hitam menghalangnya daripada mendekati kuda kepang itu.

Lembaga hitam telah meletakkan syarat supaya Amir menyerahkan seluruh hartanya jika ingin mendapatkan kuda kepang itu kembali. Amir seperti telah dipukau dan dia hanya menurut sahaja permintaan lembaga hitam itu dengan menyerahkan segala hartanya hanya untuk ditukarkan dengan seekor kuda kepang sahaja. Malangnya lembaga hitam tidak tidak mahu melepaskan Amir pergi malah dia telah Amir sedar inilah balasan kerana dia tidak mengendahkan pesanan ibunya sebelum keluar dari mengembara tempoh hari.

Amir meraung sekuat hati memohon keampunan ibunya. Amir amat menyesal dengan perbuatannya yang mudah melupakan ibunya. Tiba-tiba Amir dikejutkan oleh ibunya untuk bangun ke sekolah. Rupa-rupanya Amir hanya bermimpi...

Kawan-kawan...  Pengajaran daripada cerita saya ini ialah kita wajib mentaati ibu bapa kita agar setiap perkara yang kita lakukan akan bersama keredhaan mereka kerana keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa kita.