TENTERA TINTA

Flag Counter

Sunday, August 21, 2016

KARYA CILIK 2.0


Di sebuah daerah tinggal seekor arnab yang bernama Sang Arnab. Sang Arnab sangat berani dan gagah. Sejak dari kecil lagi Sang Arnab bercita-cita untuk menjadi angkasawan. Angkawasan adalah satu kerja yang sukar dan perlu mempunyai keberanian yang tinggi untuk menjadi angkasawan. Dengan itu Sang Arnab bertekad untuk melaksanakan cita-citanya itu. Sang arnab belajar bersungguh-sungguh untuk mecapai cita-citanya menjadi angkasawan. Setiap hari Sang Arnab mencari ilmu sejak dari tadika hinggalah ke peringkat kolej. Sang Arnab selalu mendapat markah tertinggi dalam semua subjek yang dipelajarinya.
            Pada suatu ketika Sang Arnab teringat perbualannya dengan Sang Gajah. “Sang Gajah, apakah cita-cita kamu?” tanya Sang Arnab. “Cita-cita saya adalah menjadi guru.” Jawab Sang Gajah. “Bagus cita-cita kamu itu Sang Gajah” kata Sang Arnab. “Kamu pula Sang Arnab?” soal Sang Gajah pula. “Cita-cita saya adalah menjadi angkawasan” jawab Sang Arnab. “Beranikah kamu untuk melaksanakan cita-cita itu?” Tanya Sang Gajah lagi. “Saya mesti berani” balas Sang Arnab yakin.
            Sang Arnab menyertai kursus selama beberapa tahun dalam jurusan angkasawan. Di situ Sang Arnab belajar dan membuat latihan untuk menjadi angkasawan. Sang Arnab dapat mencuba unuk menaiki roket. Sang Arnab menaiki roket bersama Sang Monyet. Sang Monyet banyak membantu Sang Arnab mengendalikan roket tersebut. Sang Arnab dan Sang Monyet dilatih cara menggunakan gas oksigen, topi keselamatan, jaket keselamatan dan alat-alat yang lain.

            Sang Arnab dan Sang Monyet belajar dengan bersungguh-sungguh dan menyahut cabaran untuk menjadi angkasawan yang berjaya. Akhirnya Sang Arnab dan Sang Monyet berjaya meletakkan bendera di bulan. Selepas itu, Sang Arnab dan Sang Monyet mendapat sijil Keberanian Angkasawan pertama. Sang Arnab berpuas hati kerana telah berjaya menjadi angkasawan yang pertama dalam kalangan haiwan. Sang Arnab cukup gembira lantas dia berbisik dalam hati “sayalah angkasawan yang berani dan berjaya”.

Wednesday, August 17, 2016

KARYA CILIK 1.0


Di sebuah desa, ada seorang pemburu. Dia memburu bersama helangnya. Tugas helangnya ialah dia perlu terbang dan mencari mangsa di dalam hutan. Pemburu akan marah jika helangnya tidak menjumpai sebarang mangsa.

   Pada suatu petang, helang terjumpa seekor arnab. Mengikut reaksi helangnya, pemburu tahu bahawa helangnya telah menjumpai mangsa. Arnab berasa seperti ada yang tidak kena lalu arnab itu memandang ke atas dia mendapati ada seekor helang bengis sedang mengejarnya. Arnab itu terus berlari dengan pantas kerana dia tahu pasti pemburu sedang memburunya.

   Arnab itu pun berlari dan terus berlari sehingga tiba di tepi sungai lalu arnab itu berhenti. Arnab itu resah kerana tidak boleh menyeberangi sungai. Akhirnya, pemburu pun berjaya menangkap arnab itu setelah penat mengejarnya tadi.

    Setelah penat mengejar arnab itu, pemburu berasa sangat haus lalu dia pergi ke tepi sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan. Apabila  pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan tiba-tiba helangnya menepis tangan pemburu menyebabkan air dari tangan pemburu jatuh ke tanah. Pemburu itu sekali lagi mencedok air sungai itu namun, burung helang menepis tangan pemburu untuk kesekian kalinya.

   Akibatnya, pemburu itu sangat marah lalu dia memanah burung helang kesayangannya itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepi hulu sungai. Pemburu berlari ke arah helangnya.
“Mengapa kamu memanah saya? Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan pun.” Kata helang sebelum menutup mata.
“Saya minta maaf helang”. Setelah meminta maaf, pemburu sedar mengapa helangnya menepis tanganya itu adalah kerana terdapat seekor ular sawa yang telah mati dan bisa ular sawa itu telah menular meracuni sungai itu.

    Selepas kejadian itu, pemburu kembali ke pondoknya. Dia melihat gambar-gambar kenangannya bersama helang yang telah mati itu. Pemburu berasa sebak lalu menitiskan air mata. Pemburu amat kesal dengan sikapnya yang terburu-buru dan cepat marah itu. Dia berazam untuk berubah.


   Pemburu telah meninggalkan pondok yang penuh dengan kenangan telah terkubur bersama helang kesayangannya. Dia telah berhijrah ke bandar demi mengejar impian barunya untuk menjadi seorang doktor haiwan yang baik.

Tuesday, August 16, 2016

PEMBELAJARAN ABAD KE-21 ; AKTIVITI PERMAINAN BAHASA

Assalamualaikum.


Pembelajaran abad ke-21 merupakan elemen yang penting dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Oleh itu, menjadi kewajiban bagi setiap guru untuk melengkapkan diri dalam merealisasikan suasana pembelajaran abad ke-21 yang bukan sekadar berasaskan penggunaan Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK) semata.

Masukan kali ini aku akan kongsikan beberapa aktiviti permainan bahasa untuk menarik minat murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam kelas. Aktiviti-aktiviti yang aku senaraikan ini merupakan aktiviti yang biasa aku gunakan dalam kelas sewaktu aku mengajar subjek Bahasa Melayu. Ada aktiviti sedia ada dan ada juga aktiviti yang aku ambik daripada permainan dalam Super Spontan. 

Aktiviti Permainan Bahasa 

1. Main Peranan
   - Murid diberi tanggungjawab untuk memegang watak atau bermain        dengan peranan.
   - Murid akan membuat persembahan dengan memainkan watak                berdasarkan tajuk PdP semasa.
   - Aktiviti ini memerlukan sedikit masa untuk membuat persediaan.

2. Kerusi Panas
   - Aktiviti susulan selepas murid membuat bacaan tentang sesuatu        topik. 
   - Seorang murid akan duduk di atas kerusi yang disediakan dan          menjadi 'pakar' atau 'watak' 
   - 'Pakar' atau 'watak' akan menjawab segala soalan berkaitan          topik yang dilontarkan oleh murid lain.(Masteri)
3. Mestamu
   - Melagukan sajak tanpa muzik.
   - Murid berbincang dalam kumpulan dengan memilih lagu kegemaran        mereka untuk melagukan sajak.
   - Murid membuat persembahan di hadapan kelas.

4. Pemberita Kepala Tiga
   - Tiga orang murid dipilih ke hadapan.
   - Murid membaca teks bacaan dengan nada pembaca berita.
   - Seorang murid akan membaca satu patah perkataan sahaja secara        berselang seli sehingga ke perkataan terakhir dalam teks            bacaan.
   - Murid membaca perkataan yang salah akan dikeluarkan dan diganti      dengan murid yang lain.

5. Sketsa Ayat Penyata
   - Menguji kretiviti dan ketangkasan murid berbicara.
   - Murid diberikan satu topik.
   - Empat orang murid dipilih ke hadapan.
   - Murid hanya boleh bertutur menggunakan ayat penyata sahaja.
   - Jika murid menggunakan selain daripada ayat penyata maka murid 
     itu akan dikira teringkir dan diganti dengan murid lain.

6. Sketsa Tanda Tanya
   - Menguji kretiviti dan ketangkasan murid bersoal.
   - Murid diberikan satu topik.
   - Empat orang murid dipilih ke hadapan.
   - Murid hanya boleh bertutur menggunakan ayat tanya sahaja.
   - Jika murid menggunakan selain daripada ayat tanya maka murid 
     itu akan dikira teringkir dan diganti dengan murid lain.

7. Abjad Berantai
   - Menguji ketangkasan idea dan kreativiti murid.
   - Tiga/empat orang murid dipilih ke hadapan.
   - Murid diberikan satu topik.
   - Murid akan menyebut perkataan/frasa/ayat yang dimulakan dengan      sesuatu huruf secara berturutan.
     Contoh : Murid 1 : huruf A - Ayah dari mana?
              Murid 2 : huruf B - Baru balik dari kedai.
              Murid 3 : huruf C - Cantik kasut ayah. 
   - Jika murid melangkau huruf maka murid itu akan dikira                tersingkir dan diganti dengan murid lain.

8. Ganti Kata
   - Menguji ketangkasan idea dan kreativiti murid.
   - Tiga orang murid dipilih ke hadapan.
   - Murid diberikan satu situasi.
   - Murid akan membuat lakonan spontan berdasarkan situasi yang          diberikan.
   - Jika loceng berbunyi maka murid perlu menukar perkataan lain        sehingga loceng tidak berbunyi.

9. Dahi Kata
   - Menguji berfikir kreatif.
   - Tiga orang murid dipilih ke hadapan.
   - Murid diberikan satu situasi.
   - Setiap murid akan diikat satu perkataan di dahi masing-masing.
   - Murid akan bermain situasi sehingga salah seorang daripada          murid menyebut perkataan di atas dahi mereka sendiri. 


Sedikit perkongsian yang boleh diguna pakai oleh rakan-rakan guru untuk menjadikan aktiviti dalam kelas lebih menarik selain menggunakan Teknologi ICT. Kalau murid aku sendiri mereka lebih suka dengan aktiviti 'Pemberita Kepala Tiga'. Semoga sekuman perkongsian ini dapat memberi manfaat buat semua yang membaca masukan ini. Kalau suka jangan suka saja, maka sudi-sudikanlah kongsi maklumat tidak seberapa ini. :)

~sayangkan anak kita rotankan, sayangkan ilmu kita kongsikan~

Monday, August 15, 2016

AJARKAN AKU SETIA : GABUNGAN PADU AL-MANNA & USTAZ ELYAS ISMAIL

Assalamualaikum.

Masukan kali ini aku akan buat ulasan tentang lagu nasyid yang masih utuh menjuarai puncak carta nasyid IKIM.FM tak lain tak bukan lagu tersebut adalah lagu yang bertajuk Ajarkan Aku Setia nyanyian kumpulan Al-Manna menampilkan Ustaz Elyas Ismail.
AL-MANNA AJARKAN AKU SETIA

Lagu 'Ajarkan Aku Setia' hasil ciptaan oleh saudara Bazli UNIC manakala liriknya pula ditulis oleh Atie. Lagu ini mengisahkan tentang munajat cinta seorang hamba kepada Tuhannya. Menerusi susunan diksi lirik lagu ini dapat kita tafsirkan mengenai luahan rasa cinta seorang hamba di dalam munajat dan juga berkait rapat dengan hati seorang hamba yang sering berbolak balik sehingga kadangkala penat dengan mainan duniawi yang dikejar dan akhirnya berusaha untuk kembali kepada fitrah. 

Pada pandangan aku lagu ini mampu menarik minat pendengar terutamanya golongan remaja kerana melodinya yang begitu indah dan sedap untuk dijamu oleh halwa telinga tambah pula dengan sulaman lirik indah yang terjahit kemas telah menghidupkan lagi lagu 'Ajarkan Aku Setia'.

Paduan vokal kumpulan Al-Manna dan Ustaz Elyas Ismail seakan 'kena' dengan rentak dan irama lagu 'Ajarkan Aku Setia'. Bagai fabrik yang dijahit kemas begitu ungkapan yang boleh disimpulkan untuk mentafsir lagu 'Ajarkan Aku Setia' kerana hasil gabungan antara komposer, penulis lirik, penyanyi untuk lagu ini diumpakan sebagai benang yang berkualiti yakni benang-benang itu tidak mudah tertetas. Begitu juga harapnya lagu ini akan menjadi siulan anak-anak muda masa kini. Aku harap lepas ni akan ada lagi gabungan Al-Manna bersama Ustaz Elyaz Ismail.

Secara keseluruhan aku bagi lagu 'Ajarkan Aku Setia' *****


LIRIK AJARKAN AKU SETIA.
Adakala aku tertanya
Tercari-cari bukti cinta
Yang ku kata untukMu saja
Tapi goyah bila tergoda

Selalu janji ku mungkiri
Cintaku bagai tiada erti
Sedang cintaku bukan palsu
Ku yakin Engkau Maha Tahu

Kadang cinta teguh di jiwa
Kadang hilang entah ke mana
Ajarkanlah aku untuk tetap setia

Walau ku sedarkan diriku
Takkan pernah kuat tanpaMu
Betapa Kau sangat ku perlu
Namun sering ku tinggalkanMu

Ketika segalanya indah
Ku lupa Kau selalu ada
Tapi bila resah menyinggah
Dan baru rinduku menjelma

Kadang cinta teguh di jiwa
Kadang hilang entah ke mana
Ajarkanlah aku untuk kekal setia

Saat hatiku mula rapuh
Saat tangisku mula luruh
Ku rayu agar Kau takkan pernah menjauh

Kadang cinta teguh di jiwa
Kadang hilang entah ke mana
Ajarkanlah aku untuk kekal setia

Saat hatiku mula rapuh
Saat tangisku mula luruh
Ku rayu agar Kau takkan pernah menjauh

Jangan Kau uji
Jangan Kau tinggal
Takkan ku mampu hidup tanpaMu
Akan ku cuba
Akan ku terus setia.

Lagu: Bazli UNIC
Lirik: Atie



Teruskan mengundi lagu 'Ajarkan Aku Setia' di www.ikimfm.my di ruangan undian carta & hanya boleh mengundi sebanyak 5 buah lagu sekali saja dalam seminggu.

Monday, August 8, 2016

HASIL KERJA MURID

Assalamualaikum. 
Hari ini aku nak cerita tentang aktiviti yang boleh dianggap bermakna bagi aku yang berjiwa tisu. Sepanjang aku jadi seorang Encik Guru aku selalu buat macam-macam aktiviti dengan murid-murid kelas yang aku mengajar terutamanya aktiviti yang melibatkan 'Frog Vle' yang lain tu biasa-biasa saja contohnya kerusi panas, pemberita kepala tiga, bacaan berirama, teater bercerita dan pelbagai lagi aktiviti yang aku buat. Namun, yang paling mampu menarik minat murid-murid aku adalah aktiviti pemberita kepala tiga. 

Minggu lepas aku adalah buat sedikit kelainan aktiviti semasa PdP yang pasti boleh menjana pemikiran kreatif murid-murid aku iaitu aktiviti membuat buku cerita kanak-kanak. Kebetulan pula pada waktu itu aku mengajar tajuk  buku cerita kanak-kanak untuk murid tahun 3. 

Hasilnya sungguh memberangsangkan.Mereka dapat memberi hasil kerja diluar daripada bayangan aku. Kalau korang tak percaya nah aku belanja satu contoh buku cerita kanak-kanak yang dihasilkan oleh salah seorang murid aku 







Itulah serba sedikit hasil kerja murid aku yang dapat dikongsikan dalam masukan kali ini. Panjang umur jumpa dalam masukan yang lain pula. 

 

Thursday, July 14, 2016

ANTOLOGI CERPEN ANUGERAH

Assalamualaikum.
Menampilkan antologi cerpen paling touching abad ini hasil terbitan Khairy Tajudin Resources. Anda pasti menyesal yang amat jika tidak berusaha untuk memilikinya. Apa tunggu lagi ayuh buat tempahan awal. Segala maklumat seperti yang tetera pada poster dibawah.