TENTERA TINTA

Flag Counter

Sunday, September 30, 2012

SEJARAK DUA JARI



MASIH tergiang-giang di halwa telinga Rashidah pada nostalgia lampau. Walau telah sepuluh tahun dia meninggalkan tempat itu tetapi debunga kenangan yang tertanam tetap subur mekar dalam ingatan Rashidah. Dari jauh iris mata Rashidah seolah-olah memerhati seorang kecil yang sedang bermain bergelak ketawa. Sesekali renungan tajam itu seakan-akan menembusi dibalik tirai memori silam.

      Terkenang Rashidah akan kisah kecilnya yang juga pernah menghuni Teratak Harapan Ihsan. Melilau-lilau tajaman iris mata Rashidah meneliti setiap penjuru tempat yang pernah mengajarnya erti kehidupan. Langkah Rashidah mula tercipta dengan senyuman yang lebar dia mula mendekati kanak-kanak yang berusia lima tahun itu. Sekoyong-koyong si  cilik itu menanggis sebak barangkali kelibat wanita itu telalu polan baginya. Lalu si cilik itu cuba mendapatkan Umi Aziah yang juga merupakan pemilik Teratak Harapan Ihsan.
Umi Aziah dipeluk erat oleh si ciik itu sehingga bertunas  rasa hairan sejurus melihat  si anak kecil itu menanggis teresak-esak. Belum sempat Umi Aziah menutur bicara tiba-tiba Rashidah muncul didepannya. Umi Aziah seolah-olah terpinga,  lalu memori cuba mengigati raut wajah Rashidah dengan penuh khusyuk.

     “Umi ingat saya lagi? Saya anak umi.. ini Rashidah umi”. Jelas ukiran kegembiraan terpahat pada raut wajah Umi Aziah yang cuba menahan sebak di dada.

      Namun mutiara suci lambang kegembiraan itu tetap gugur mencucuri pipi. Lalu Rashidah mengesat butir-butir mutiara suci itu yang mengalir deras dipipi Umi Aziah.

     “Umi tersangat-sangat rindu akan kamu” bisik Umi Aziah pada Rashidah  lalu dipeluk agam Umi Aziah akan Rashidah.

      Ain seakan terpingga-pingga kurang mengerti agaknya akan sebuah pertemuan almaklum umur baru mencecah lima tahun. Lalu dikenalkan oleh Umi Azizah akan  Rashidah pada Ain. Diusap-usap belakang Ain dengan perlahan-lahan seakan membodek si kecil itu.

        “Umi bangga dengan kejayaan kamu sekarang nak” puji Umi Azizah terhadap Rashidah.

        Sebagai seorang novelis muda memang banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh Rashidah apatah lagi dengan cabaran dunia penulisan masa kini bak cendawan tumbuh selepas hujan. Rashidah atau lebih dikenali sebagai nama pena Gadis Melayu dalam  kalangan  novelis dan pengemar karyanya. Kini tika masanya keras keringat Rashidah akan dicurahkan bagi membantu Umi Aziah menguruskan Teratak Harapan Ihsan. Umi Aziah hanya mampu melahirkan rasa kesyukuran kerana Rashidah ingin bersamanya untuk menguruskan Teratak Harapan Ihsan.

       Pagi hening memecah sunyi melodi alam beralun indah diiringi kicauan unggas  seakan riang berpesta. Dari jauh terlihat kelibat si anak kecil berlari mendapatkan Rashidah.

         “Akak marilah sarapan dengan Ain” ajak Ain sambil menarik tangan Rashidah.

 Anak-anak lain juga ikut sama dan ditarik-tarik kedua-dua tangan Rashidah dengan begitu agam. Rashidah tergamam kerana walau satu hari tiba namun anak-anak disitu seolah akrab dengannya. Jauh dari sudut penjuru pintu iris mata Rashidah terpancing dengan gelagat kelibat seorang kecil yang menyendiri. Rashidah seakan terpanggil untuk mendekati si anak kecil itu.

          “Adik kenapa sendirian ni?” budak itu berlalu pergi tanpa memaling muka.

         Tiba-tiba Ain menyapa “Aiman memang begitu akak, selalu suka bersendirian”.

       “Oh begitu rupanya, tidak mengapalah jom kita sarapan”. Ajak Rashidah sambil memegang bahu Ain.

     Selepas usai bersarapan Rashidah mendapatkan Umi Aziah dan bertanya akan budak yang seakan bermasalah itu. Terkebil-tebil anak itu melihat dari luar akan percakapan antara Umi Aziah dan Rashidah. Rashidah sekali lagi cuba mendekati budak si pendiam itu  namun sekali lagi sia-sia apabila budak Aiman lari bagai lipas kudung. Sesekali bisik hati kecil Rashidah mencari akal untuk mendekati si anak kecil introvert. Mengerti Rashidah akan kerenah anak-anak introvert yang amat sukar untuk bergaul dengan orang lain dan suka memendam rasa seorang diri.

     Melihat telatah si anak kecil introvert itu terlintas akal Rashidah untuk mentintakan sebuah novel berkisahkan kehidupan anak-anak di Teratak Harapan Ihsan. Kali ini Rashidah bertekad tekun untuk menyiapkan novel keduanya dalam tempoh yang singkat berbanding novel sulungnya yang telah menjengah pasaran awal bulan lepas.

       “Akak buat apa tu?” Sergah si Ain dari belakang. “Eh Ain... akak tengah siapkan novel terbaru akak ni”. “Ain bila besar  nak jadi apa?” soal Rashidah kepada Ain seolah-olah cuba memancing si anak kecil itu.

      “Ain nak jadi penulis novel macam akak lah. Lepas itu Ain nak tolong akak dan Umi jaga Teratak Harapan Ihsan” jawab si kecil Ain.

        “Pandai Ain.. ha macam inilah adik akak” puji Rashidah sambil tangan mencubit hidung si anak kecil itu.  

         Lantas si anak kecil itu memeluk agam Rashidah yang mendamba kasih sayang seorang ibu. “Ha anak Umi berdua ni buat apa ni? umpat Umi ya?” sergah Umi Aziah yang memang suka menyakat anak-anak Teratak Darul Ihsan.

          “Tak ada apa-apa Umi kami cuma berbual kosong” jelas Rashidah.

      Belum sempat untuk Umi Aziah mendekati kedua anaknya itu tiba-tiba jasad Umi Aziah rebah menyembah bumi. Dengan perasaan terkejut Rashidah dan Ain terus tergamam langkah kelu. Terbujur kaku jasad Umi Aziah di pembaringan lantai. Lantas diangkat Umi Aziah dan di bawa ke Hospital.

         Di balik tirai ruangan menunggu terkebil-kebil kelibat Rashidah berwara-wiri yang pada wajahnya gusar memikirkan keadaan penyakit yang secara tidak semena-mena menjengah umi kesayangan mereka penghuni Teratak  Harapan Ihsan. Sedang atma Rashidah bercampur baur sekoyong-koyong keluar kelibat seorang lelaki bertubuh gempal bersuit putih menghampiri Rashidah dengan menampilkan raut wajah yang agak bermuram durja. 

          “Bagaimana keadaan umi saya doktor?” soal Rashidah berdebar-debar.

     “Cik Rashidah kami telah mencuba sedaya upaya, kami minta maaf kerana tidak dapat menyelamatkan ibu saudari”.  

        Mendengar pengucapan tersebut helaan nafas Rashidah tersekat-sekat seolah ada beban yang besar cuba menghalang saluran pernafasannya itu.  Tidak disangka umi kesayangan mereka telah pergi menghadap Yang Maha Pencipta. Berlinangan butir mutiara suci menitis  di pipi Rashidah lalu di gapai tangan Ain yang sedang meraung meratapi kepergian umi tercinta. Lantas di peluk tubuh kecil Ain seolah untuk menenangkan si anak kecil itu  yang sedang bertanggis kedukaan.

         Seorang demi seorang meninggalkan tanah perkuburan yang baru usai urusan pengkebumian beberapa minit lepas. Namun hanya seorang kelibat anak kecil lelaki sahaja yang masih setia memegang nisan pusara yang baru didirikan sebagai tugu. Jelas sekali wajah hiba Aiman yang seakan tidak merelakan pemergian Umi Aziah.

      “Sudahlah Man, umi sudah pergi tinggalkan kita dik.. jangan ditanggisi lagi, kita mesti redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan mati juga, akak janji akak akan jaga kamu semua” bisik Rashidah memberi kata-kata semangat kepada Aiman yang selalunya tidak seorang pun yang cuba memahami perasaan si anak introvert itu.

        Pada suatu malam ketika asyik Rashidah mengemas bilik Umi Aziah tiba-tiba dia terlihat satu sampul surat di bawah bantal tempat tidur Umi Aziah lalu di robek dan di baca seluruh isi kandungan surat tersebut.

 Kehadapan anakanda Umi yang tercinta.
Di saat anakanda Shidah membaca surat ini mungkin umi sudah pergi jauh dari kalian semua.Sebenarnya Umi ada satu rahsia mahu beritahu Shidah,  satu rahsia yang Umi simpan  selama ini. Umi sebenarnya menghidap penyakit luekimia yang tiada harapan untuk sembuh lagi. Andai umi pergi dulu, umi berharap agar Shidah mesti sambung perjuangan umi menguruskan Teratak Darul Ihsan.Umi berharap agar Shidah dapat menguruskan Teratak Darul Ihsan ini bila Umi sudah tiada nanti. Umi tahu Shidah mampu melakukannya.
Salam sayang Umi Aziah.

     Setelah membaca warkah terakhir dari Umi Aziah sekali lagi tubir mata Rashidah tiris lalu mengalir mutiara suci begelinangan membasahi pipi. 

     “Ya Allah besar sungguh tanggungjawab ini. Adakah aku mampu melakukannya Ya Allah, bantulah hambaMu ini dalam melaksanakan tanggungjawab yang semega ini Ya Allah.. Hanya kepadaMu ku meminta... Sesungguhnya hambaMu ini adalah insan yang kerdil dan tidak berdaya tanpa pertolonganMu.  Amin ya rabbal alamin” baris butir doa bergema diruangan bilik  yang sunyi tika dini hari. 

       Berminggu-minggu selepas kematian Umi Aziah, Aiman masih lagi termenung. Rashidah cuba mendekati Aiman lalu merebahkan punggung disisi Aiman. Rashidah memandang wajah Aiman sambil membelai kepala Aiman.

       “Akak tahu Aiman tertekan selepas kematian ibu bapa kandung Aiman dan sekarang Umi pula meninggalkan kita buat selama-lamanya. Akak faham perasaan Aiman, akak juga pernah mengalami keadaan separti Aiman. Jadi akak mahu Aiman lebih sabar dan tabah mengharungi lautan kehidupan. Ingat Man, kita sebagai manusia perlu redha dengan qadak dan qadar yang telah ditentukan Allah. Kun fayakun jika Allah menghendaki sesuatu perkara itu maka jadilah ia. Ingat itu Man, perjalanan kehidupan Aiman masih panjang lagi. Jadi Aiman mesti bangkit untuk terus berjaya dalam kehidupan. Tapi jangan lupa untuk selalu mendoakan ibu dan ayah Aiman di alam sana, sesungguhnya doa anak yang solah adalah bekalan buat ibu dan ayah kita di alam sana. Aiman fahamkan?” jelas Rashidah panjang lebar untuk memberi pengertian kepada Aiman. 

      Aiman hanya menganggukan kepala  tanpa sebarang kata dan mengukir secebis senyuman. Rashidah membalas kembali senyuman tersebut lalu mendakap Aiman begitu agam.  Dalam hati Rashidah menghembus lega kerana mungkin sahaja Aiman telah mengerti apa yang cuba disampaikan olehnya itu.

      Setahun berlalu, kini Rashidah teguh berpegang  pada amanah menjaga Teratak Harapan Ihsan. Rashidah duduk berehat serambi Teratak Harapan Ihsan sambil iris matanya liar memerhati gelagat anak-anak jagaannya yang sedang berkejaran di laman teratak tersebut. Sambil mata melilau tetapi jari jemarinya tetap setia menekan butang abjad pada dada komputer ribanya.  Novel kelima yang dikarang oleh Rashidah sejak setahun lalu kini hampir ke garisan penamatnya. Kini hanya tinggal  beberapa aksara saja untuk si penulis muda ini khatimahkan babak-babak dalam novel terbarunya ini.  

        Sesekali diperhati gelagat Aiman yang merupakan sumber inspirasinya dalam menulis novel terbaru ini. Tersenyum sendiri apabila melihat telatah Aiman yang dahulu amat payah untuk menutur sepatah bicara macam mutiara melekat-lekat pada anak tekak si anak kecil itu. Tetapi kini alhamdulillah si Aiman telah mula menunjukkan perubahan yang positif apabila semakin mudah untuk bergaul dan mula ceria sifatnya.
Dia tahu bahawa tugasnya amat berat dalam merubah seorang anak introvert itu sehingga sekarang Aiman dapat menemui konsep kendiri yang positif. Kini Aiman dapat bergelak ketawa atas dorongan yang diberikan oleh Rashidah selama ini.

       Kini tiba masa yang dinantikan oleh Rashidah iaitu hari pelancaran novel terbarunya yang bertiara Sekaya Impi yang telah berjaya dilancarkan di  Shah Alam. Seorang demi seorang pengunjung sama ada dari yang berpangkat mahupun yang tiada pangkat menyerbu menghampiri Rahsidah mengucapkan tahniah atas perlancaran novel kelimanya dan ada juga yang meminta tandatangan Rashidah pada naskah novel masing-masing. Rashidah hanya mampu mengukir senyuman di bibir namun jauh di sudut sanubari Rashidah terkenang akan Umi Aziah yang telah setahun pergi meninggalkan mereka.
Dari jauh anak-anak Teratak Harapan  Hikmah menghampiri kakak kesayangan mereka itu, lalu si Aiman terus mendakap agam akan tubuh Rashidah.

      “Terima kasih akak kerana sabar dengan kerenah Aiman selama ini, akak dah berjaya ubah Aiman jadi seorang yang ceria sekarang ni... Aiman sangat terhutang budi pada akak” tiba-tiba mencurah-curah gelinangan butir mutiara suci menitis di pipi Rashidah.

         “Kenapa akak nangis ni?” sapa Aiman dengan raut cemas.

      “Tiada apa-apa sayang, akak menanggis sebab akak gembira dan akak bangga dengan kamu semua. Novel kelima akak ini adalah hadiah kakak buat adik-adik semua. inilah tanda kasih-sayang akak pada kalian, dan akak berjanji akak akan menjaga dan mengasihi kalian  hingga ke akhirnya”. Mendengar akan kata-kata Rashidah tadi anak-anak yang lain turut menghampiri lantas memeluk Rashidah.

        Dua batu  nisan di pusara Umi Aziah digenggam erat oleh Rashidah.

     “Walau umi sudah tiada dengan kami namum kenangan indah bersama umi tetap akan kami ingat sampai bila-bila, umi akan tetap sentiasa dekat di hati kami. Shidah berjanji akan mempertahankan Teratak Harapan Ihsan hingga akhir hayat Shidah”.

        Kini dia tekad akan menjalankan amanah yang dipikul. Dia tahu anak anak-anak yatim di teratak itu amat memerlukan kasih sayang serta perhatian seperti insan yang lain. Hatinya tidak rela melihat anak-anak itu terbiar kerana dia juga pernah berada di tempat mereka semua.

        “Jika bukan aku siapa lagi?” bisik hati Rashidah tekad.

        Derapan kaki Rashidah berlalu pergi meninggalkan tanah perkuburan itu diiringi bersama sinar baru  buat Teratak Harapan Ihsan.

         Sabda Rasulullah saw, “Barangsiapa meletakkan tangannya di atas kepala anak yatim dengan penuh kasih sayang, maka untuk setiap helai rambut yang disentuhnya akan memperoleh satu pahala, dan barangsiapa berbuat baik terhadap anak yatim, dia akan bersamaku di Jannah seperti dua jari ini.”

TAMAT~

p/s : dimuatkan dalam ruangan majalah tunas cipta edisi november 2012 dengan tajuk sekaya impi



No comments: