TENTERA TINTA

Flag Counter

Tuesday, October 1, 2013

PROTOTAIP ISAREPO AISHAR

Assalamualaikum.

SKRIP TEATER KANAK-KANAK
ISAREPO AISHAR
“bukan sekadar kanak-kanak”

Watak-watak
Manusia                                                                                            
Aishar (Kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun)                             
Daiyan (Kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun)               
Raqy (Kakak kepada Aishar, berusia 12 tahun)                                   
Middad (Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun)                        
Seith Tan (Kanak-kanak lelaki Cina berusia 11 tahun)
Nathan (Kanak-kanak lelaki India berusia 11 tahun)
Raiqal (Kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun)
Amani (Kawan kepada Raqy, berusia 12 tahun)

Binatang
   Uteh (Anak Kucing II)
   Utam (Anak Kucing I)
  Mak Teh (Ibu Kucing)
   Pak Tam (Bapa Kucing)


Tempat
Rumah banglo, taman permainan

Masa
Dari pagi hingga petang

Pentas
Kedudukan pentas terbahagi kepada dua bahagian iaitu dalam pentas dan hadapan pentas. Bahagian dalam pentas menunjukkan setting ruang tamu rumah banglo, manakala bahagian hadapan pentas menunjukkan setting ruang hadapan perkarangan rumah banglo dan taman permainan.
______________________________________________

BABAK 1
Pentas terang menunjukkan waktu pagi. Suasana di sebuah rumah banglo. Lampu disorotkan kepada anak beranak kucing yang berada di suatu sudut. Aishar melangkah masuk ke pentas dengan membawa bekas makanan dan bekas susu untuk anak beranak kucing tersebut.

Aishar
Selamat pagi keluarga Uteh. Ishar ada bawa makanan dan susu untuk kamu semua ni. Marilah sini meow. (Sambil meletakkan bekas makanan dan bekas susu di bawah)

Keluarga Uteh
Meow! meow! meow! (menuju ke arah Aishar)

Aishar
Uteh mesti makan banyak-banyak tau. Nanti Uteh boleh jadi gemuk macam Utam. (sambil membelai Uteh)

Uteh
Meow! meow! meow! (Menyahut)

Aishar
Macam ni la baru Uteh. Petang nanti Ishar akan bawa keluarga Uteh bersiar-siar di taman.

Aishar
Sekarang ni Uteh, Utam, Pak Tam dan Mak Teh makan dulu ya. Ishar nak pergi mandi dulu. Kamu semua mesti makan kenyang-kenyang tau. (Menguntum senyuman ke arah keluarga Uteh)

Aishar
Mari kita mari kita
Bergembira tepuk tangan sama-sama
Kita menari sambil langkah kanan kiri
Goyang badan goyang kaki
Hoore hoore hip hip horee
Horee horee hip hip horee
Horee horee hip hip horee
(menyanyi mengikut lagu sudirman)

Sebelum derapan kaki Aishar melangkah keluar dari ruangan keluarga Uteh, tiba-tiba Raqy kakak kepada Aishar datang mencelah.

Raqy
Amboi-amboi seronoknya dia ya. Hah belailah lagi kucing kurap kamu tu. Nanti dapat penyakit berjangkit baru tahu. (bercekak pinggang sambil mencebik)

Aishar
Apa akak cakap ni? Keluarga Uteh ni bersih tau. Hari-hari Ishar mandikan kelauarga Uteh ni akak tau.

Raqy
Ah! Sudahlah kau budak kecik. Banyak cakap pula dia. Kau apa tahu, kau tu budak lagi.

Aishar
Huh. Macamlah dia tu besar sangat.

Raqy
Ish. Melawan pulak budak ni. Nasib baik mama dan papa izinkan kau pelihara kucing kurap ni, kalau tak dah lama akak buang kucing kurap kau ni.

Aishar
Budak bukan sebarang budak, ini budak tidak takut pada akak. Hahaha

Raqy
Grrr.. Geramnya aku dengan budak ni.

Aishar
Kejarlah akak. Ishar tak takut pun dengan geram akak tu.

Raqy
Ish. Budak ni kalau aku dapat siaplah aku kerjakan.

Aishar dan Raqy saling berkejaran di ruang tamu rumah yang disaksikan oleh keluarga Uteh. Tirai ditutup.
______________________________________________

BABAK 2
Di hadapan pentas. Pentas menunjukkan ruang hadapan perkarangan rumah banglo. Kelihatan keluarga Uteh sedang bermain-main di ruang hadapan perkarangan rumah bangle milik keluarga Aishar.

Pak Tam
Kesihan sungguh bapak tengok Ishar asyik kena buli dengan Raqy. Meow!

Mak Teh
Memang tak patut Raqy buat begitu pada Ishar. Walau apa pun Aishar tu adik dia juga. Ingat anak-anak ibu, kamu berdua jangan ikut perangai seperti Raqy tu. Meow!

Utam
Baiklah bu. Utam janji takkan ikut perangai Raqy tu. Utam kan sayang Uteh. Meow!

Uteh
Mahu saja Uteh gigit tangan Raqy tu. Berani dia buli Ishar, padahal Ishar sangat baik kepada kita. Meow!

Pak Tam
Ibu nya ingat tak masa mula-mula kita tinggal di rumah ini dulu. Pernah kita disepak terajang oleh si Raqy tu. Masa tu mahu saja kekanda cakar dia, nasib baiklah ada Ishar memujuk kekanda masa tu.

Mak Teh
Apa tak ingat bapak nya. Tengok ni masih ada lagi parut dekat kaki adinda ni. Sampai sekarang adinda tempang akibat hasil buatan Raqy.

Uteh
Bila masa bu? Adik tak ingat pun kejadian ini?

Mak Teh
Masa tu kamu berdua belum lahir lagi. Masa tu ibu sarat mengandungkan kamu berdua. Nasib baik kandungan ibu tak gugur masa tu.

Uteh
Ish-ish kesihan, kesihan..

Utam
Apalah adik ni. masa mula-mula ibu dan bapak tinggal di sini dulu memanglah kita tak wujud lagi.

Uteh
Adik berguraulah bang. Kita kan keluarga bahagia.

Utam
Boleh bergurau pulak..

Keluarga Uteh saling ketawa sesama sendiri dengan telatah Uteh yang melucukan. Semua pelakon masuk ke pentas dengan diiringi lagu keluarga bahagia.
______________________________________________

BABAK 3
Tirai dibuka. Pentas menunjukkan ruang tamu rumah banglo dengan setting beberapa set sofa. Kelihatan Raqy dan kawan baiknya Amani sedang rancak berbual mengenai drama korea kegemaran mereka.
Raqy
Kau tengok tak cerita korea semalam?

Amani
Mestilah aku tengok. Kau ni pun macam tak tahu pulak aku ni peminat tegar cerita korea.

Raqy
Tulah kan. Cerita dia baguskan. Hero dalam cerita tu pun kacak jugak kan. Aku suka sangat-sangat hero dia.

Amani
Amboi gatalnya kau ni ya.

Raqy
Hihi. Apa salahnya kalau aku nak berangan. Bukan selalu pun aku dapat berangan macam ni. Asyik-asyik tengok adik aku dengan kucing kurap dia saja. Bosanlah aku.

Amani
Kau ni Raqy, tak baik cakap macam tu tau. Kucing pun ciptaan Allah juga, sama macam kita juga. Cuma kita dikurniakan akal dan fikiran untuk menilai antara baik dan buruk. Kalau kau hina kucing adik kau tu sama saja kau telah menghina ciptaan Allah SWT.

Raqy
Baiklah ustazah Amani. Aku tak cakap macam tu dah.

Sedang  Raqy dan Amani masih berborak tiba-tiba terdengar bunyi loceng dan ketukan pintu dari luar rumah. Raqy bergegas ke pintu dan kelihatan Daiyan dan Raiqal masuk dari luar pentas.

Daiyan
Assalamualaikum. Aishar ada kak?

Raqy
Waalaikumusalam. Ada dalam bilik tu. Kau berdua duduklah dulu nanti aku panggilkan dia.

Raqy
Ishar! Ishar! Kawan kau datang ni.

Raqy
Apasal kau muram ni? tak puas hati dengan aku ke? tadi bukan main lagi kau usap-usap kucing kurap kesayangan kau tu kan.

Aishar
Tak baik akak cakap macam tu. Adik tengah sedih ni.

Raqy
Sedihlah sangat kau ni kan.

Raiqal
Kenapa Ishar? Kenapa? Kenapa?

Aishar
Utam dan Uteh..

Daiyan
Kenapa dengan Utam? Kenapa dengan Uteh?

Aishar
Utam dan Uteh hilang sudah. Wuuaaaa..

Raiqal
Apa? Utam dan Uteh hilang? Oh tidak.. Utam, Uteh jangan tinggalkan daku.

Daiyan
Kenapa awak pulak yang emosi ni Raiqal? Yang hilang tu kucing Ishar.

Raiqal
Ya tak ya jugak kan. Kenapa saya emosi ya. Saya lapar la.

Daiyan
Ada-ada saja awak ni Raiqal. Asyik ingat makan saja. Jangan risau, nanti kami tolong awak cari Utam dan Uteh ya.

Raiqal
Betul tu. Kami akan tolong awak Ishar. Tapi mak saya masak sedap.

Amani
Kak Amani dan kak Raqy pun akan tolong cari sama.

Raqy
Malaslah aku nak cari kucing kurap tu. Biar hilang terus pun tak apa. Taklah menyusahkan aku lepas ni.

Amani
Raqy! Bukan tadi kau dah janji takkan cakap macam tu lagi.

Raqy
Baiklah. Aku tolong cari sama. Puas hati?

Aishar mula kembali senyum setelah mendengar kakaknya ingin turut sama mencari Utam dan Uteh yang hilang. Tirai ditutup dengan iringan lagu kita bersaudara.
_____________________________________________

BABAK 4
Di hadapan pentas. Pentas menunjukkan setting di taman permainan dengan kedudukan bangku panjang di hadapan pentas dan dihiasi dengan pokok-pokok di tepi kiri serta kanan pentas. Lampu disorotkan ke arah dua sekawan kanak-kanak nakal yang sedang menyakiti kucing.

Nathan
Hey Middad, cuba kau tengok ini kucing banyak comel.

Middad
Alah kau ni takkan sudah cair tengok anak kucing dua ekor ni. Ingat kita ni bukan pencinta binatang.

Nathan
Habis tu kita nak buat apa dengan ini kucing?

Middad
Apa lagi, kita siat-siat kulit buat sate.

Nathan
Ayoyo. Kau mahu makan ini kucing ka?

Middad
Weh. Aku ni islam, mana boleh makan daging kucing. Kita ikat kucing ni di pokok lepas itu kita jadikan sasaran. Ada faham tambi?

Nathan
Ayoyo. Cakap awal-awal deh. Bikin aku keliru saja.

Middad
Apa lagi kau tunggu tu. Ikatlah di pokok tu.

Nathan
Wokey bos, siap!
Utam dan Uteh
Meow!  meow! meow!

Middad
Barulah seronok macam ni. Kau tengok kucing dua ekor tu. Nak minta tolong konon. Manalah ada orang faham apa dia cakap.

Nathan
Ayoyo bos. Ini kucing boleh cakap ka? Takut la saya.

Middad
Kau ni lembablah. Kucing mana boleh cakap, sudahlah lastik kucing tu sampai mati.

Middad dan Nathan terus melastik Utam dan Uteh dengan girangnya tanpa mempedulikan sekeliling mereka. Tiba-tiba muncul Seith Tan menegur perbuatan mereka berdua.

Seith Tan
Apa kamu berdua buat ni. Tidak baik kamu seksa binatang seperti ini ma.

Middad
Wah-wah. Ada hati si Seith Tan ni nak nasihatkan aku. Dahlah nama macam setan ada hati nak nasihatkan kita. Betul tak Nathan?

Nathan
Betul tu bos. Tengok muka saja sudah tahu setan tu. Nama Seith Tan, sudah dekatlah dengan setan. Hahaha (Middad dan Nathan ketawa terbahak-bahak)

Seith Tan
Memang wa punya nama Seith Tan, tapi hati wa sama itu sembahyang punya orang tau. Lu nama saja Melayu Islam tapi lu punya perangai macam setan la Middad.

Middad
Weh. Kau siapa nak sekolahkan aku. Baik kau pergi dari sini sebelum aku tumbuk muka kau.

Seith Tan
Wa boleh pergi tapi lu mesti kasi lepas itu kucing dulu ma.

Middad
Aduhai. Banyak cakap pulak apek ni. Nathan kasi belasah si setan ni.

Lampu digelapkan. Semua pelakon bergerak meninggalkan pentas dengan diiringi dengan instrumental sedih.
______________________________________________

BABAK 5
Tirai dibuka. Kelihatan Pak Tam dan Mak Uteh mundar mandir di ruang tamu rumah banglo milik keluarga Aishar. Kelakuan pasangan kucing itu seperti cacing kepanasan.

Mak Uteh
Apalah nasib anak-anak kita di luar sana tu.

Pak Tam
Sabar emak nya. Aishar sedang cari anak-anak kita tu. Kejap lagi baliklah mereka tu.

Mak Uteh
Bapak nya ni tidak risau langsung dengan keadaan anak kita. Entah baik ke entah macam apa keadaan mereka di luar sana.

Pak Tam
Emak nya pun. Usahlah fikir yang bukan-bukan. Anak-anak kita kan kuat.

Mak Uteh
Boleh saja bapak nya buat tidak tahu macam ni. memang dasar lelaki betul. Saya merajuk lima minit.

Pak Tam
Bukan buat tak tahu. Saya yakin Aishar pasti dapat membawa anak-anak kita balik semula ke sini. Alah takkan merajuk lima minit saja?

Mak Uteh
Tak nak cakap. Masih merajuk lima minit.

Pak Tam
Itu sudah cakap. Merajuklah sangat kan.

Mak Uteh
Biarlah.

Pak Tam
Amboi merajuk saja isteri abang yang comel ni.

Mak Uteh
Abang pergilah cari anak-anak kita tu. Saya takut mereka cedera.

Pak Tam
Nantilah dulu. Abang nak tengok drama kegemaran abang dulu ni. Nanti kita cari ya.

Tirai ditutup. Mak Tam mengeheret wajah sugul dengan diiringi instrumental sedih.
______________________________________________

BABAK 6
Di hadapan pentas. Pentas menunjukkan setting di taman permainan. Kedudukan pentas seperti babak 4. Lampu disorotkan kepada kedudukan Middad dan Nathan masih bertengkar dengan Seith Tan.

Seith Tan
Lebih baik kamu berdua lepaskan anak-anak kucing tu. Kalau tidak..

Middad
Kalau tidak apa? Kau nak tumbuk kami ke budak setan?

Nathan
Kamu berani ke nak tumbuk kami yang gagah perkasa ni? (Nathan dan Middad ketawa besar)

Middad
Kau tahu tak inilah perkara yang paling buat aku geli hati. Kau ni memang patut masuk raja lawaklah setan.

Seith Tan
Kamu berdua ni memang tidak pernah berubah. Saya cakap baik-baik ni kamu berdua pulak main-main.

Middad
Di sini aku ketua. Tiada siapa yang boleh lawan aku. Kan Nathan? (Nathan hanya mengangguk)

Sedang Middad, Nathan dan Seith Tan bertengkar, tiba-tiba muncul kelibat Aishar, Daiyan, Raqy, Raiqal dan Amani yang sedang mencari kedua anak kucing Aishar yang hilang.

Aishar
Kak. Ishar ada dengan bunyi Uteh la.

Raqy
Kau ni merepek saja. Aku tak dengar apa-apa pun. Macam mana kau boleh dengar pulak. Mengada betullah kau ni.

Aishar
Betul. Ishar tak tipu. Ini betul-betul, bukan cubaan.

Raqib
Saya laparlah.

Raqy
Ni sorang lagi budak yang buat aku sakit jiwa. Asyik nak makan saja.

Raqib
Tapi mak saya masak sedap.

Raqy
Aduhai. Ada jugaklah budak yang nak jadi mangsa aku ni.

Amani
Sabar Raqy. Budak-budak biasa la tu.

Raqy
Memanglah budak. Aysik nak menyusahkan aku saja.

Daiyan
Tengok tu. Itu kucing awaklah Ishar! (menunjukkan jari ke arah sebatang pokok)

Aishar
Mana? Mana? Mana?

Daiyan
Itu. yang terikat di pokok itu apa.

Raiqal
Sampainya hati mereka ikat kucing awak begitu.

Aishar
Uteh, Utam. (memasuki kawasan adik beradik kucing diikat sambil diikuti oleh Daiyan, Raqib, raqy dan Amani).

Aishar
Kembalikan utam, kembalikan Uteh.

Middad
Hei budak,  baik kau pergi dari sini. Kau nak kena belasah ke?

Aishar
Kita nak ambik kucing kita saja. Takkan itu pun nak belasah.

Middad
Cakap banyak budak ni. geram aku ni. (mengomel sambil menolak Aishar)

Aishar
Aduh, Sakitnya!

Raqy
Kau ni apa hal main tolak-tolak adik aku ni?

Middad
Wah-wah, dia bawak geng la pulak.

Raqy
Sekarang ni kau dah sakitkan adik aku. Cubit peha kanan, peha kiri terasalah. Sekarang ni kau nak selesai macam mana?

Middad
Kita selesai hari rayalah.

Raqy
Hari raya nenek kau. Aku cakap dengan mak kau nanti baru berayalah kau samseng. (mengertak)

Middad
Tolong jangan. Habislah kalau mak aku tahu. Cabut! (Middad lari lintang pukang kemudian diikuti oleh Nathan).

Raqib
Apalah baru sebut Mak sudah lari. Tapi mak saya masak sedap. (ketawa beramai-ramai)

Aishar dan yang lain-lain masih bergelak ketawa sesama sendiri melihat Middad dan Nathan lari lintang pukang. Aishar memeluk Utam dan Uteh dengan begitu agam. Yang lain tersenyum melihat Aishar yang sedang memeluk Utam dan Uteh. Semua pelakon masuk ke dalam pentas dengan diiringi instrumental lagu lembut.

~Selesai~
______________________________________________

~Tercetusnya idea untuk menulis skrip ini ketika aku sedang menonton siri kartun AQIL STORY episod 7 (Kasihkan Binatang).

u/p : Skrip ini belum diedit sepenuhnya bagi tujuan pementasan. Skrip ini hanyalah prototaip sebagai cetusan idea untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk menulis skrip teater, filem & drama dengan lebih mudah.

No comments: