TENTERA TINTA

Flag Counter

Sunday, August 6, 2017

SENYUM, SALAM & SAPA

Skrip sketsa sempena persembahan minggu pelancaran program 3S (Senyum, Salam, Sapa) di sekolah.
Skrip oleh : Hang Nadim©2017
Related image
SITUASI 1
THE POWER OF SENYUM
NAIM
Senyum, senyum selalu. Senyum, senyum denganku. Tiada seindah senyumanmu.
DAIM
Senyum semua.. (Gaya mengambil gambar).
BAIM
Hey kawan apa kamu buat tu?
DAIM
Ambil gambarlah dah tadi kata senyum.
NAIM
Hello, kita bukan jurufoto. Kita ni pahlawan penyebar kebaikan.
BAIM
Senyum itu adalah satu sedekah.
NAIM
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis.” Hadis riwayat muslim.
DAIM
Jadi kita kena senyum sokmo la.
BAIM
Betul tu. Tapi jangan pula senyum sorang-sorang. Nanti orang ingat kita tak betul pulak. Tak pasal-pasal ke Tanjung Rambutan.
NAIM
Senyum itu aura positif. Kalau kita senyum semua orang ikut senyum. Senyumlah senyumlah ah hai cek mek molek.

SITUASI 2
SALAM LEBIH MESRA
BAIM
Apa kamu tahu tentang salam?
DAIM
Hah, saya tahu. Macam ini kan? salam.. (hulur tangan bersalaman)
NAIM
Bukan yang itu. Itu bersalaman-salaman. Macam ni ha salam. Assalamualaikum, selamat sejahtera, ni hao, namaste, aisatsu.
BAIM
Macam tu la baru betul. Mengucap salam itu sebagai tanda hormat-menghormati.
DAIM
Oooo. Barulah saya faham. Kalau macam tu saya pun nak ucap salam jugaklah. Assalamuaikum dunia.. (menyanyi lagu assalamualaikum.)
NAIM
"Daripada Abu Hurairah katanya : "Apabila kamu bertemu dengan saudara kamu (sesama Islam) berilah salam keatasnya ".
BAIM
Sesungguhnya memberi salam itu sunat namun menjawab salam itu wajib. ha ha tak tahu, tak jawab salam dosa..
DAIM
Jadi apa kita perlu buat?
NAIM
Maka ayuhlah sama-sama kita mengamalkan budaya salam.
BAIM
Hah, betul tu. Ingat tau kawan-kawan salam lebih erat.

SITUASI 3
MARI SALING SAPA
DAIM 
Saya ramai kawan, sebab saya ni peramah dan mudah mesra.
NAIM
Baguslah macam tu. Kita memang digalakkan beramah mesra dan bertegur sapa
BAIM
Mesti ingat, sopan dan santun jangan kita lupa!
DAIM
Betul! Betul! Betul!
BAIM
Marilah saling sapa. Sesungguhnya ia dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan.
NAIM
Ya betul tu. Sahabat untuk selamanya, kau dan aku sahabat untuk selamanya. apa khabar? awak sihat ke?
DAIM
Khabar baik sahabat. Alhamdulillah saya sihat-sihat saja.
BAIM
Macam itulah. Tunggu apa lagi, ayuh semua kawan-kawan kita mulakan senyum, salam, sapa.

Thursday, July 27, 2017

SEHATI SEJIWA


Image result for sehati sejiwa
Skrip pentomin sempena persembahan untuk bulan kemerdekaan. Boleh juga digunakan sebagai persembahan sketsa biasa mahupun teater.
Skrip oleh : Hang Nadim©2016


Watak;
0. Tukang Cerita
1. Nasi Lemak – (bijak, tenang,tegas.)  
2. Roti Canai – (penting diri, sombong, kasar.)
3. Yong Tau Foo – (berani, sabar, peramah.)
4. Karipap – (duta kasih sayang, sengal, mudah tersentuh.)
Babak 1
(Di suatu pagi yang hening. Burung-burung berkicauan menyanyi lagu riang secara koir. Restoran Siakap Keli menjadi tumpuan manusia-manusia yang mempunyai deria rasa santai tapi sentap. Dari satu sudut ruang restoran itu, kedengaran sayup-sayup suara hati ‘Nasi Lemak, Roti Canai & Yong Tau Foo’.)
Muzik 2 – Lagu Masuk (lagu lembut)
Roti Canai
Ayoyo. gelap sudah masa depan saya dey.
Yong Tau Foo
Hey apa pasal you cakap itu macam?
Roti Canai
Saya tidak tahan ini macam. Sedikit jam lagi kita akan dimakan. Macam mana saya mahu masuk itu Olimpik.
Nasi Lemak
Yang bernama makanan itu untuk dimakan. Sudah tugas kita terimalah seadanya.
Roti Canai
Ayoyo tengoklah badan dia sasa. habislah  badan saya dikoyak oleh manusia itu. Sia-sialah badan saya yang cantik, menarik, tertarik ni. Tak dapat nak jadi macam itu Dato Lee Chong Wei.
Yong Tau Foo
You jangan risau kawan, itu orang makan nasi lemak saja. Hari-hari sini jugak dia makan. Dato Lee Chong Wei itu suka makan Yong Tau Foo macam saya ma.
Roti Canai
Fuh! selamat.. selamat.. (menarik nafas lega). Nasiblah nasi lemak. Kamu yang akan dimakan dulu. hahaha (ketawa besar)
Nasi Lemak
Suka hati awaklah roti canai. Saya bangga tau ada manusia nak makan saya. Malah saya cukup gembira dapat berbakti kepada manusia.
Yong Tau Foo
Betul cakap nasi lemak ma. Kita patut berbangga tau dapat mengisi perut manusia. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati ma.
Roti Canai
Apa untung kita dapat? tarapapa hey!
Muzik 3 – Lagu keluar (lagu perlahan)

Babak 2
(Roti Canai masih lagi tidak berpuas hati dengan Nasi Lemak dan Yong Tau Foo yang tidak mahu berpihak kepadanya. Sedang Mereka rancak berbahas tiba-tiba datang Karipap yang dibawa oleh seorang Mak Cik ke restoran tersebut. Roti Canai merasakan nasibnya akan dibela oleh Karipap yang baru sampai itu.)
Muzik 4 - Lagu Masuk (lagu semangat)
Nasi Lemak
Tidakkah kamu bangga kita menjadi santapan oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang aman makmur ini.
Roti Canai
Bangga? buat apa mahu bangga?
Yong Tau Foo
Mesti mahu bangga ma. Sini Malaysia orang Cina boleh makan roti canai orang india, orang India boleh makan nasi lemak orang Melayu, orang Melayu boleh makan sayalah.. Semua dapat sama rasa sama suka. Sehati sejiwa ma.
Karipap
Apa kamu semua kecoh-kecoh ni. Hai, apa khabar kawan? Nama saya Karipap. Panggil saja Kar.
Roti Canai
Siapa kawan kamu? Entah datang dari mana mengaku kawan.
Karipap
Tak cukup kasih sayang rupanya. Mari sini duta kasih sayang peluk. Tapi saya laparlah, makan awak pun sedap jugak. Nyum.. nyum.. (mengejar Roti Canai).
Roti Canai
Hey hey. Sudahlah dey jangan kejar saya. Pulau pandan jauh ke tengah,. saya lupa pantun la dey..
Nasi lemak
Roti canai, roti canai tak habis-habis kena buli. (ketawa)
Yong Tau Foo
Itulah sombong lagi. Baru bertemu buku dengan..
Karipap
Hah! pensel..
Yong Tau Foo
Bukanlah. Buku dengan ruaslah ma.
Karipap
Alamak salah lagi..
Nasi Lemak
Jadi kita sebagai makanan ada misi.
Karipap
Misi apa? Misi yang ada di hospital ke?
Nasi Lemak
Ish bukanlah. Lain kali orang tua-tua cakap jangan menyampuk. Misi kita untuk menyumbang tenaga buat manusia. Lihatlah betapa besar sumbangan kita kepada manusia. Siapa kata kita tak penting?
Karipap
Betul! Betul! Betul!
Yong Tau Foo
Apa yang betul?
Karipap
Semua yang betul la betul. Yang salah tu salahlah. (tersengih)
Nasi Lemak
Ingat tau roti canai. Satu untuk semua, semua untuk satu. Kita satu Malaysia. Keturunan kitalah sebenarnya salah satu alat perpaduan yang menghubungkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Roti Canai
Terima kasih nasi lemak, yong tau foo kerana telah menyedarkan saya. saya janji tidak akan pentingkan diri lagi.
Karipap
Dengan duta kasih sayang ni tak nak berterima kasih ke?
Roti Canai
Kamu jugalah. Terima kasih..
Karipap
Kalau macam itu marilah peluk sikit.
Yong Tau Foo
Ini macamlah tak mahu gaduh-gaduh ma.
Roti Canai
Alamak. Apa ini.. kamu kata manusia badan sasa ini suka makan nasi lemak. Kenapa dia mahu makan saya pula. Berani awak tipu saya Yong Tau Foo. Tidakkk!!!
Yong Tau Foo
Dia sudah tukar selara ma. Bye bye.
Karipap
bye, selamat jalan kawan. (sedih)
Nasi Lemak
Selamat berjuang sahabatku..
Muzik 4 – Lagu Keluar (lagu patriotik)
Muzik 5 – Lagu Iringan (lagu perlahan)
(Roti Canai telah selamat berlepas ke dalam perut manusia berbadan sasa. Nasi Lemak, Yong Tau Foo dan Karipap pasti juga akan sama mengikut jejak perjuangan Roti Canai. Generasi mereka begitu berjasa buat manusia seperti kita. Jadi merdekakah kita jika masih lagi dibelenggu dengan pembaziran makanan? Sedangkan masih ada negara-negara lain yang masih tidak cukup makanan sehingga rumput sebagai galang ganti sebagai alas perut mereka untuk terus hidup. Maka nikmat tuhan yang manakah telah kita dustakan?)

Wednesday, July 26, 2017

KEMBARA AMIR


Sebuah skrip teater kanak-kanak yang diadaptasi daripada cerita-cerita rakyat.
Olahan skrip oleh : Hang Nadim©2014                                                           

BABAK 1
Situasi seakan-akan si tanggang. Mungkinkah pisang akan berbuah dua kali? Apakah sejarah itu mungkin berulang?
MAK TEMAH
Amir! Amir! Amir! Anakku, jangan tinggalkan ibu sayang.
AMIR
Siapa Amir? Aku anak orang kaya, aku bukan anak kau. Pergi kau dari sini
AFIF
Ish, Geramnya aku. Sumpah saja dia mak cik.
AIZAT
Betul, betul, betul. Jangan sumpah jadi batu. Mak cik sumpahlah dia jadi emas ke, tak pun sumpah jadi makanan. Boleh saya makan.
MAK TEMAH
Ya Allah Ya Tuhanku, seorang ibu tidak akan tergamak mendoakan sesuatu keburukan kepada anaknya sendiri. Tetapi kau tunjukanlah kekuasaanMu supaya dia kembali ke pangkal jalan.
Petir berdetum, angin bertiup kencang. Amir tiba-tiba menjadi lumpuh separuh badan.
AMIR
Ibu. Ampunkan Amir. Amir banyak berdosa dengan ibu. Amir tak mahu masuk neraka.
SI IBU BERDOA
Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah dosa anakku. Kembalikanlah Amir seperti
sedia kala. Aku telah mengampuni dosanya kepada ku.
Petir berdentum lagi, angin bertiup kencang. Pokok bergoyang. Amir kembali ke asalnya.
AMIR
Ibu... ibu...  ampunkan Amir  ibu. Amir  dah insaf. Amir  tak akan ulang   kesilapan Amir  lagi. (sambil berlari dan berlutut meminta keampunan).
MAK TEMAH
Baiklah anakku, ibu ampunkan.. marilah kita pulang. Ibu masakkan makanan kegemaranmu.
AIZAT
Makanan? Saya laparlah, tapi mak saya masak lagi sedap.
BABAK 2
Mak Temah  sedang memberi ayam makan. Amir meminta izin untuk pergi mengembara.
AMIR
Ibu, Amir rasa Amir ingin pergi mengembara. Boleh ye ibu...
MAK TEMAH
Kamu mahu ke mana? Amir nak tinggalkan ibu lagi?
AMIR
Bukan begitu ibu, Amir cuma mahu mencari pengalaman hidup. Merantau ke negeri orang
untuk melihat keindahan alam.
MAK TEMAH
Pergilah Amir. Ingat asal usulmu dan jangan lupa tweet ibu.
(Latar belakang muzik, muzik perlahan...)
BABAK 3
Pengembaraan bermula.
Maka bermulalah pengembaraan Amir ke negeri orang dan mencari  pengalaman hidup di
tempat orang. Dalam perjalanan, Amir bertemu dua pendekar yang hendak bertarung
menunjukkan kehebatan masing-masing.
HANG TUAH
Hei, Jebat berani kau menderhaka kepada sultan!
HANG JEBAT
Aku bukan menderhaka sahabatku. Aku cuma mahu menegakkan keadilan untukmu. Aku
sangka kamu benar-benar telah dihukum.
HANG TUAH
Sultan itu payung rakyat wahai sahabatku.
HANG JEBAT
Sultan adil sultan disembah, sultan zalim sultan disanggah.
HANG TUAH
Jika begitu perkiraanmu, aku ke sini untuk membuat perhitungan..
HANG JEBAT
Pulau pandan jauh ke tengah, aku lupa pantun.  Haha. Aku gelak macam jin daa. Ayuh.....
Hang Jebat dan Hang Tuah segera angkat bat ping pong dan pertarungan pun bermula. (permainan ping pong)
AMIR
Assalammualaikum tuan hamba berdua.
HANG TUAH, HANG JEBAT
Waalaikumussalam
HANG TUAH
Apa hajat tuan hamba ke mari?
AMIR
Hamba sedang mengembara, bolehkah tuan hamba berdua tunjukkan hamba jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan?
HANG JEBAT
Oh mudah sahaja. Tuan hamba terus sahaja sehingga jumpa sebatang anak sungai. Kemudian tuan hamba ikut sungai mengalir. Maka akan tibalah tuan hamba di negeri Pulau Tiga Kanan.
AMIR
Terima kasih tuan hamba berdua... bolehlah tuan hamba meneruskan urusan tuan hamba.
Amir meneruskan perjalanannya untuk mencari negeri Pulau Tiga Kanan.
BABAK 4
Amir meneruskan perjalanannya. Tiba di satu kawasan Amir berhenti berehat dan duduk bersandar di batu yang sangat besar. Sedang Amir berehat dan terlena, Amir dikejutkan dengan satu suara.
BATU BELAH
Sedap kau bersandar kat aku. Hoi.. hoi.. malu kat orang.
AMIR
(Amir tercengang dan terpingga-pingga) Siapa tu? Kat mana?
BATU BELAH
Aku kat belakang kau ni. Akulah batu belah batu bertangkup.
AMIR
Hah? Kaulah batu yang makan mak pekan yer?
BATU BELAH
Betullah tu. Tapi itu dulu.. sekarang aku dah insaf..kenapa kau berada di dalam hutan ini. Dari
mana nak ke mana?
AMIR
Hamba  hendak pergi ke negeri Pulau Tiga Kanan untuk mencari ilmu. Hamba berhenti sekejap
untuk berehat.
BATU BELAH
Baik kau pergi cepat sebelum aku telan kau. Dah lama aku tak makan orang.
AMIR
Baiklah batu belah kata dah insaf.. daaa......
Amir meneruskan lagi pengembaraannya.
BABAK 5
Amir meneruskan lagi pengembaraannya sehingga sampai di sebatang anak sungai yang dikelilingi pokok Sakura.
AMIR
Agaknya inilah sungai yang dikatakan dua pendekar itu tadi.  
Tanpa membuang masa Amir telah menyeberangi anak sungai itu. Setelah berhempas pulas meredah anak sungai maka tibalah Amir di negeri Pulau Tiga Kanan. Amir meletakkan kuda kepangnya di tempat parkiran. Kemudian dia masuk ke kedai tujuh sebelas untuk membeli minuman. Keluar dari kedai Tujuh Sebelas, tiba-tiba kuda kepangnya telah hilang.
AMIR
(Cemas tercari-cari) Mana? mana? dimana dia sayang hey si kudaku?  
Itu gua. Itu gua. Mungkinkah kudaku di sana?
Apabila Amir memasuki gua itu, dia telah ternampak kelibat kuda kepangnya. Amir menghampiri kuda kepangnya. Tiba-tiba muncul satu lembaga hitam cuba menghalangnya daripada mendekati kuda kepang itu.
LEMBAGA HITAM
Hey, budak. Kalau kamu mahukan kuda ini serahkan semua hartamu kepadaku. (gelak besar).
AMIR
Baiklah lembaga hitam. Aku akan serahkan semua hartaku asalkan kamu memberi kuda itu kepadaku kembali.
LEMBAGA HITAM
Haha. Manusia begitu senang diperdaya. Kamu ingat aku akan lepaskan kamu begitu saja. Tidak, wahai manusia. Kamu akan menjadi santapanku hari ini.
AMIR
Tolong! Tolong! Ibu Amir tak nak dimakan oleh raksasa hodoh ni.
LEMBAGA HITAM
Apa kau cakap? Raksasa hodoh? Tengok ni kacak apa aku ni. (melihat cermin). Dah kemari kau mahu kenyang sebulan aku makan kau ni. Nyum Nyum Nyum.
AMIR
Tak nak! Ibu tolong Amir. Amir menyesal langsung tak tweet ibu sepanjang Amir keluar. (menangis ketakutan).
Tiba-tiba Amir dikejutkan oleh ibunya untuk bangun ke sekolah. Rupa-rupanya Amir hanya bermimpi...
MAK TEMAH
Amir! Amir! Bangun nak.
AMIR
Mak. Amir takut. Ada raksasa nak makan Amir. Habis semua harta Amir dia ambik.
MAK TEMAH
Kamu mimpi tu nak. Dah pegi mandi, nanti lambat pegi sekolah pulak. Aizat dan Afif dah tunggu dekat luar tu. (Aizat dan Afif tersengih seperti kerang busuk).
Amir terpingga-pingga. Jauh di sudut hatinya dia bersyukur kerana semua yang dialaminya itu hanyalah sekadar mimpi. Amir berjanji kepada ibunya bahawa dia tidak akan menjadi budak nakal lagi.

DARI CIKGU KITA BERMULA


Sebuah skrip teater bercerita sempena hari guru.
Skrip Oleh : Hang Nadim ©2016
PEGUAM
Hahaha. Akulah peguam. Putar belit akulah nombor SATU. Bila bicara selalunya akulah yang MENANG.
PENULIS
Belum cukup hebat. Aku lagi berpengaruh. Semua orang percaya buta apa aku tulis. Royalti tak payah cakap mencurah-curah macam air mengalir. Akulah yang digelar penulis TERLAJAK LARIS.
DOKTOR
Hampa semua tak cukup hebat lagi. Nin dia orang yang patut hampa semua banggakan. Bidang perubatan ceq la yang nombor SATU. (Mendabik dada).
AHLI PERNIAGAAN
Ate teman la ahli perniagaan. Satu Malaysia perniagaan teman PEGANG. Umrah tiap tahun teman buat belum lagi bab derma mahu juta-juta teman sedekah gitu je. Baru mike tahu betapa kaya raya teman ni.
PEGUAM / PENULIS / DOKTOR / AHLI PERNIAGAAN
Kamu pula siapa?
PENULIS
Cubalah kamu semua lihat pakaian dia. KUNO.
PEGUAM
Cuba tengok aku ni. Kacak itu sudah semestinya. Pemakaian sentiasa bergaya.
GURU
Saya hanyalah seorang cikgu biasa.
DOKTOR
Cikgu? Apa kelaih hang nak berkawan dengan kami yang hebat-hebat belaka ni. Hahaha. Aku gelak macam JIN daa..
AHLI PERNIAGAAN
Kami semua ni orang-orang ternama. Mike tu keroja cikgu aje. Mana nak setaraf dengan kami. Elok la mike tu pegi main jauh-jauh.
GURU
Bagaimana dan bagaimana mereka boleh lupa akan jasa seorang GURU seperti aku ini.
PEGUAM
Ah, Persetan sahaja kata-kata si GURU itu! Kita semua berjaya kerana usaha kita sendiri.
DOKTOR
Betul kata hang tu. Hampa tengok kita semua dari ataih sampai bawah semua berjenama. Cuba hampa tengok dia SELEKEH habaq hang.
GURU
Beginilah nasibku seorang guru yang dipandang hina oleh mereka-mereka. Tanpa mereka sedar dari mana bermula kejayaan yang mereka gembar gemburkan jika bukan dimula dengan didikan seorang insan yang bergelar CIKGU.
PENULIS
Eleh si guru ni nak berceramah pada kita pula. Kau sedar dirilah sumbangan kau tu kecil sahaja. Lainlah macam kami ni penyumbang utama pembangunan negara.
GURU
Barangkali mereka itu tidak sedar pengorbanan seorang guru yang sanggup bersusah payah mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang berjaya seperti ini. Ya tuan-tuan dan puan-puan cuba lihat memang mereka sudah kaya dan berjaya namun akhlak mereka-mereka ini tuan-tuan dan puan-puan boleh nilai sendiri.
PEGUAM / PENULIS / DOKTOR / AHLI PERNIAGAAN
Ya Allah. Ampunkan kami cikgu. cikgu Ampunkan kami…
SEMUA
Terima Kasih Cikgu. Kerna sesungguhnya dari cikgu kami bermula. Selamat Hari Guru.

Saturday, July 22, 2017

KEMBARA LUAR DIMENSI


Sebuah skrip cerita untuk pertandingan bercerita.
Skrip oleh : Hang Nadim
Pada suatu hari burung-burung pun berkicauan pada hari itu. Ada yang bekerja, ada yang bergembira, dan ada juga yang  berlagak seperti Si Tanggang. Amir seorang muda remaja yang telah kaya raya tidak mengakui ibunya sendiri sebagai ibu kandung. Mak Temah amat berkecil hati lantas menadah tangan berdoa.
“Ya Allah Ya Tuhanku, seorang ibu tidak akan tergamak mendoakan sesuatu keburukan kepada anaknya sendiri. Tetapi kau tunjukanlah kekuasaanMu supaya dia kembali ke pangkal jalan.”
            Malangnya Amir tidak mempedulikan doa ibunya malah dia semakin galak menghina ibunya yang miskin hina itu. Petir berdentum, angin bertiup kencang. Amir tiba-tiba menjadi lumpuh separuh badan. Amir meraung kesakitan memanggil-manggil nama ibunya. Amir  benar-benar sedar dengan kesilapannya sehingga telah menitiskan air mata keinsafan. Mendengar rintihan anaknya itu, lantas Si Ibu berdoa untuk kesekian kalinya.
“Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah dosa anakku. Kembalikanlah Amir seperti sedia kala. Aku telah mengampuni dosanya kepadaku”
Petir berdentum lagi, angin bertiup kencang. Pokok bergoyang. Amir kembali ke asalnya. Amir berlari mendapatkan ibunya lantas berlutut memohon keampunan. Kerana kasihnya Si ibu telah mengampunkan Si Anak yang hampir-hampir saja menjadi Si Tanggang. Mak Temah mengajak Amir pulang ke rumah dan dalam keterujaan Mak Temah berjanji untuk memasak makanan kegemaran Amir iaitu telur ikan tembakul masak lemak.
Sedang Mak Temah memberi ayam makan. Amir meminta izin untuk pergi mengembara. Pada mulanya Mak Temah agak keberatan untuk melepaskan Amir pergi mengembara kerana takut Amir lupa diri lagi namun setelah dipujuk akhirnya Mak Temah merelakan jua kepergian Amir mengembara melihat keindahan alam. Sebelum Amir melangkah pergi ibunya telah berpesan supaya Amir sentiasa menghantar pesanan bergambar di laman sosial kepadanya.
Maka bermulalah pengembaraan Amir ke negeri orang untuk merasai banyak garam. Dalam perjalanan, Amir bertemu dua pendekar yang hendak bertarung menunjukkan kehebatan masing-masing. Jebat dan Tuah segera mengangkat raket badminton dan pertarungan pun bermula. Sedang pertarungan badminton di antara Jebat dan Tuah rancak berlangsung, tiba-tiba muncul Amir  dengan kuda kepangnya memberi salam.
Salam Amir disambut mesra oleh dua pendekar yang masih memegang raket badminton itu. Amir melemparkan sekuntum senyuman kepada dua pendekar itu lantas bertanyakan mengenai jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan. Dua pendekar yang segak bergaya berbaju Melayu itu kemudian menunjukkan arah jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan kepada Amir. Setelah mendapat arah jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan Amir telah meminta diri untuk meneruskan perjalanannya. Dua pendekar itu kemudiannya telah menyambung kembali pertarungan mereka yang tertunda tadi.
Amir meneruskan perjalannya untuk mencari negeri Pulau Tiga Kanan. Tiba di satu kawasan hutan yang agak redup Amir berhenti berehat dan duduk bersandar di batu yang sangat besar. Sedang Amir merebahkan badan dan terlena, Amir dikejutkan dengan satu suara.
“Sedap kau bersandar kat aku. Hoi.. hoi.. malu kat orang.”
Amir tercengang dan terpinga-pinga. Dia tercari-cari suara yang bergema itu sedangkan tiada sebarang kewujudan mahkluk berhampiran dengannya. Tiba-tiba suara itu mengaku bahawa dialah Batu Belah Batu Bertangkup yang telah memakan Mak Pekan. Batu Belah telah bertanya akan tujuan keberadaan Amir di dalam hutan itu. Amir telah menyatakan bahawa dia  hendak pergi ke negeri Pulau Tiga Kanan untuk mencari ilmu dan singgah sebentar untuk berehat.
Batu Belah telah menghalau Amir supaya segera beredar dari hutan itu dan mengugut untuk menelan Amir jika tidak segera beredar dari hutan itu. Amir tidak mahu ditelan kerana dia belum pun sempat menghantar pesanan bergambar melalui laman sosial kepada ibunya lagi. Lantas Amir beredar meninggalkan Batu Belah yang angkuh itu.
Amir meneruskan lagi pengembaraannya sehingga sampai di sebatang anak sungai yang dikelilingi pokok Sakura. Tiba-tiba dia teringat yang dua pendekar memberitahunya bahawa dia perlu menyeberangi anak sungai itu untuk ke negeri Pulau Tiga Kanan. Tanpa membuang masa Amir telah menyeberangi anak sungai itu. Setelah berhempas pulas meredah anak sungai maka tibalah Amir di negeri Pulau Tiga Kanan.
Amir meletakkan kuda kepangnya di tempat parkiran. Kemudian dia masuk ke kedai tujuh sebelas untuk membeli minuman. Keluar dari kedai tujuh sebelas tiba-tiba kuda kepangnya telah hilang. Amir menjadi cemas, dia tercari- cari kuda kepang kesayangannya itu di merata-rata tempat tetapi tidak berjumpa. Setelah puas mencari Amir telah menemui sebuah gua. Dia mengambil keputusan untuk berhenti berehat seketika di dalam gua itu. Apabila Amir memasuki gua itu dia telah ternampak kelibat kuda kepangnya. Amir menghampiri kuda kepangnya tiba-tiba muncul satu lembaga hitam menghalangnya daripada mendekati kuda kepang itu.
Lembaga hitam telah meletakkan syarat supaya Amir menyerahkan seluruh hartanya jika ingin mendapatkan kuda kepang itu kembali. Amir seperti telah dipukau dan dia hanya menurut sahaja permintaan lembaga hitam itu dengan menyerahkan segala hartanya hanya untuk ditukarkan dengan seekor kuda kepang sahaja. Malangnya lembaga hitam tidak tidak mahu melepaskan Amir pergi malah dia telah Amir sedar inilah balasan kerana dia tidak mengendahkan pesanan ibunya sebelum keluar dari mengembara tempoh hari.
Amir meraung sekuat hati memohon keampunan ibunya. Amir amat menyesal dengan perbuatannya yang mudah melupakan ibunya. Tiba-tiba Amir dikejutkan oleh ibunya untuk bangun ke sekolah. Rupa-rupanya Amir hanya bermimpi...

KESEKIAN AMARAH (PISANG BERBUAH DUA KALI)

Sebuah skrip cerita yang diadaptasi daripada telefilem Kampung Semarah Padi.

BABAK 1
Sebuah kampung yang diberi nama Semarah Lembut penduduknya hidup dalam keadaan aman serta harmoni dan saling hormat-menghormati. Kampung Semarah Lembut dikemudi oleh Penghulu Kesot sangat membangun ekonomi masyarakat kampung tersebut dengan hasil tanaman serta hasil tangkapan laut. Penghulu Kesot sangat dihormati oleh penduduk kampung Semarah Lembut kerana sikapnya yang tegas dan mereka menurut benar akan kepimpinan Penghulu Kesot.
Pada suatu hari, Kesuma salah seorang penduduk kampung Semarah Lembut yang sedang sarat mengandung berjalan-jalan di hutan berhampiran dengan rumah Penghulu Kesot. Tiba-tiba Kesuma telah terjumpa sebiji buah cempedak yang gugur lantas Kesuma terus membawa buah cempedak tersebut pulang ke rumahnya kerana pada saat itu dia juga sangat mengidam untuk makan buah cempedak.
Penghulu Kesot tercari-cari buah cempedaknya di sekitar bawah pokok cempedak di kebunnya. Penghulu Kesot bertanya kepada isterinya Mak Kuntum akan keberadaan buah cempedaknya yang hilang itu. Mak Kuntum menjawab main-main dengan suaminya itu dan telah membuatkan Penghulu Kesot mengeluh lagi dengan kehilangan sebiji buah cempedaknya itu. Sedang Penghulu Kesot mengeluh dengan kehilangan buah cempedaknya tiba-tiba datang Tompil yang merupakan orang kanan Penghulu Kesot dengan menyatakan bahawa dia ternampak Kesuma membawa sebiji buah cempedak melintasinya sedikit minit lalu. Mendengar kata Tompil itu telah membuatkan Penghulu Kesot bertambah marah lantas dia membawa Tompil berhadapan dengan Kesuma sebagai saksi kejadian.
BABAK 2
Penghulu Kesot dan Tompil telah bersemuka dengan Kesuma yang sedang menikmati buah cempedak sambil berbuai di hadapan rumahnya. Penghulu Kesot dengan angkuhnya menuduh Kesuma telah mencuri buah cempedak miliknya. Kesuma cuba mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa dia telah menjumpai buah cempedak itu  bukannya mencuri dan menawarkan buah cempedak yang masih berbaki kepada Penghulu Kesot kerana dia hanya memakan secorong daripada sebiji buah cempedak tersebut. Tindakan Kesuma itu telah menaikkan lagi darah Penghulu Kesot kerana baginya tindakan itu adalah satu penghinaan baginya selaku kelasi Kampung Semarah Lembut. Penghulu Kesot telah mengarahkan Tompil membawa Kesuma ke rumahnya untuk sesi perbicaraan atas kesalahan mencuri buah cempedak miliknya. Walaupun Kesuma berkali-kali merayu untuk diampunkan namun hati Penghulu Kesot masih sekeras batu dan menganggap Kesuma hanyalah membawa sial kepada Kampung Semarah Lembut dengan membangkitkan isu suami Kesuma yang mati ditelan ombak.
Pertuduhan telah dibacakan di hadapan penduduk kampung yang lain dan memutuskan hukuman mati terhadap Kesuma atas pertuduhan mencuri buah cempedak milik Penghulu Kesot. Kesuma sekali lagi merayu keras dengan Penghulu Kesot agar mempertimbangkan kembali hukuman ke atas dirinya yang sedang sarat mengandung. Rayuan Kesuma langsung tidak diperdulikan oleh Penghulu Kesot sehinggakan Kesuma telah melahirkan anak pada waktu genting itu juga.
Keesokkan harinya, Kesuma telah dijatuhkan hukuman mati akibat termakan buah cempedak milik Penghulu Kesot. Sebelum mati, Kesuma telah membuat sumpahan bahawa Penghulu Kesot dan penduduk kampung akan menjadi marah semarah-marahnya selama tujuh keturunan. Penghulu Kesot hanya tergelak dan menyindir  akan sumpahan Kesuma itu. Manakala anak yang dilahirkan oleh Kesuma telah dihanyutkan ke laut oleh Penghulu Kesot.
BABAK 3
Sejak kejadian sumpahan oleh Kesuma, penduduk Kampung Semarah Lembut dalam kemarahan dari segi tutur kata, perilaku mereka dalam keadaan marah semata-mata. Itulah cara hidup penduduk Kampung Semarah Lembut.
Selepas 20 tahun terkena sumpahan, penduduk Kampung Semarah Lembut masih lagi hidup dalam keadaan marah semarah-marahnya. Pada suatu hari penduduk kampung telah menyelamatkan Kutip yang terdampar di tepi pantai. Kutip yang berasal dari kampung lain telah di bawa ke rumah Penghulu Kesot.
Sejak itu, Kutip dirawat oleh Penghulu Kesot, isterinya Mak Kuntum dan anaknya Melati. Setelah sembuh Kutip menjadi hairan dengan penduduk Kampung Semarah Lembut, walaupun hati dan perbuatan mereka baik tetapi percakapan mereka sentiasa kasar dan dalam keadaan marah.
Oleh kerana terhutang budi telah diselamatkan, Kutip berniat untuk berbakti kepada penduduk Kampung Semarah lembut dengan mengajar mereka untuk bertutur secara normal dan mengawal kemarahan mereka. Hubungan Kutip dengan Melati anak Penghulu Kesot yang bertambah akrab telah dicemburui oleh Buang yang menyimpan perasaan terhadap Melati tetapi cintanya telah ditolak oleh Melati.
BABAK 4
Kutip telah membuka kelas mengawal kemarahan (anger management) bagi penduduk Kampung Semarah Lembut. Ramai penduduk kampung yang menyertai kelas mengawal kemarahan yang di ajar oleh Kutip termasuklah Penghulu Ketot tiga beranak dan Wak Sawi seorang peniaga warung di tempat penduduk kampung melepak. Dalam pada ramai sambutan namun kelas mengawal kemarahan Kutip tidak mendapat sambutan dariapan buang dan rakan-rakannya. Hal itu tidak mematahkan semangat Kutip untuk terus mengajar penduduk kampung yang lain cara mengawal kemarahan dengan betul.
Kutip telah memperkenalkan pelbagai teknik pernafasan yang betul bagi mengawal kemarahan penduduk kampung. Sedikit demi sedikit kemarahan penduduk kampung dapat dikawal dengan teknik yang diajar oleh Kutip. Penduduk kampung mengamalkan teknik mengawal kemarahan yang diajar oleh Kutip setiap kali mereka berasa marah.
Buang telah diapi-apikan oleh rakan-rakannya dengan memburuk-burukkan Kutip dengan Melati. Buang menjadi semakin iri hati dengan Kutip yang  semakin disanjung oleh penduduk kampung  kerana baktinya yang mengajar penduduk kampung mengawal kemarahan dengan betul. Buang dan anak buahnya telah merancang sesuatu untuk menjatuhkan Kutip.
BABAK 5
Pada suatu malam, penduduk Kampung Semarah Lembut telah diserang oleh orang minyak. Pada mulanya orang minyak telah menyerang di kawasan warung Wak Sawi dengan menakut-nakutkan orang kampung yang sedang melepak di warung tersebut. Pada malam berikutnya orang minyak tersebut telah menyerang rumah Penghulu Kesot dua malam berturut-turut sehingga Penghulu Kesot jatuh pengsan apabila melihat lembaga hitam tersebut. Dan pada malam yang seterusnya orang minyak telah menyerang penduduk kampung yang pergi ke kelas menahan kemarahan Kutip.

Dengan kejadian serangan orang minyak telah memberikan manfaat kepada Buang untuk memfitnah Kutip. Pada suatu pagi Kutip telah menjumpai Penghulu Kesot dan telah meracuni fikiran Penghulu Kesot dengan menyatakan bahawa Kutip adalah orang minyak yang telah menyerang kampung mereka atas alasan Kutip merupakan orang asing di kampung mereka dan kejadian seperti itu belum pernah berlaku sebelum Kutip menjejak kaki ke tanah Semarah Lembut.

Penghulu Kesot percaya bulat dengan dakwaan Buang dan untuk kesekian kali Penghulu Kesot telah membuat tindakan tanpa usul periksa dengan bertindak mengusir Kutip dari Kampung Semarah Lembut. Walaupun cuba dihalang oleh Melati, Mak Kuntum dan Wak Sawi namun Penghulu Kesot tetap dengan keputusan untuk mengusir Kutip.
Sebelum keluar dari kampung Semarah Lembut, Kutip telah membongkarkan satu rahsia yang dia adalah anak kepada Kesuma yang dibunuh oleh Penghulu Kesot 20 tahun yang lalu dan sekembalinya ke kampung itu adalah semata-mata untuk membantu penduduk kampung meredakan sumpahan ibunya dahulu. Namun sikap angkuh dan sombong Penghulu yang bertindak tanpa usul periksa itu telah membuatkan Kutip berasa sungguh terkilan dan kecewa.
Sebelum Kutip mengatur langkah seribu dia telah membuat sumpahan kepada Penghulu Kesot dan penduduk Kampung Semarah Lembut menjadi selembut-lembutnya sehingga tujuh keturunan. Sumpahan Kutip tersebut telah dipermainkan oleh Penghulu Kesot dan Buang untuk kesekian kalinya.
Selepas jasad Kutip lesap dari tanah daerah Semarah Lembut, sekali lagi kejadian aneh telah terjadi kepada penduduk kampung Semarah Lembut apabila semua penduduknya telah menjadi lembut selembutnya secara tiba-tiba. Buang telah mengaku bahawa dia adalah orang minyak yang mengacau penduduk kampung tempoh hari di hadapan Wak Sawi dan orang kampung yang sedang minum di warung Wak Sawi. Penghulu Kesot kesekian kalinya telah menyesali atas keterlanjuran perbuatannya yang telah menghukum dua beranak tanpa usul periksa sehingga membawa kepada bencana kepada kampung tadbirannya sendiri. Namun penyesalan itu tiada guna lagi kerana pisang sudah berbuah untuk kali keduanya. Dan mungkin penduduk kampung Semarah Lembut perlu menanti anak kepada Kutip untuk 20 tahun mendatang bagi meredakan sumpahan terhadap kampung mereka.