TENTERA TINTA

Flag Counter

Saturday, July 22, 2017

KESEKIAN AMARAH (PISANG BERBUAH DUA KALI)

Sebuah skrip cerita yang diadaptasi daripada telefilem Kampung Semarah Padi.

BABAK 1
Sebuah kampung yang diberi nama Semarah Lembut penduduknya hidup dalam keadaan aman serta harmoni dan saling hormat-menghormati. Kampung Semarah Lembut dikemudi oleh Penghulu Kesot sangat membangun ekonomi masyarakat kampung tersebut dengan hasil tanaman serta hasil tangkapan laut. Penghulu Kesot sangat dihormati oleh penduduk kampung Semarah Lembut kerana sikapnya yang tegas dan mereka menurut benar akan kepimpinan Penghulu Kesot.
Pada suatu hari, Kesuma salah seorang penduduk kampung Semarah Lembut yang sedang sarat mengandung berjalan-jalan di hutan berhampiran dengan rumah Penghulu Kesot. Tiba-tiba Kesuma telah terjumpa sebiji buah cempedak yang gugur lantas Kesuma terus membawa buah cempedak tersebut pulang ke rumahnya kerana pada saat itu dia juga sangat mengidam untuk makan buah cempedak.
Penghulu Kesot tercari-cari buah cempedaknya di sekitar bawah pokok cempedak di kebunnya. Penghulu Kesot bertanya kepada isterinya Mak Kuntum akan keberadaan buah cempedaknya yang hilang itu. Mak Kuntum menjawab main-main dengan suaminya itu dan telah membuatkan Penghulu Kesot mengeluh lagi dengan kehilangan sebiji buah cempedaknya itu. Sedang Penghulu Kesot mengeluh dengan kehilangan buah cempedaknya tiba-tiba datang Tompil yang merupakan orang kanan Penghulu Kesot dengan menyatakan bahawa dia ternampak Kesuma membawa sebiji buah cempedak melintasinya sedikit minit lalu. Mendengar kata Tompil itu telah membuatkan Penghulu Kesot bertambah marah lantas dia membawa Tompil berhadapan dengan Kesuma sebagai saksi kejadian.
BABAK 2
Penghulu Kesot dan Tompil telah bersemuka dengan Kesuma yang sedang menikmati buah cempedak sambil berbuai di hadapan rumahnya. Penghulu Kesot dengan angkuhnya menuduh Kesuma telah mencuri buah cempedak miliknya. Kesuma cuba mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa dia telah menjumpai buah cempedak itu  bukannya mencuri dan menawarkan buah cempedak yang masih berbaki kepada Penghulu Kesot kerana dia hanya memakan secorong daripada sebiji buah cempedak tersebut. Tindakan Kesuma itu telah menaikkan lagi darah Penghulu Kesot kerana baginya tindakan itu adalah satu penghinaan baginya selaku kelasi Kampung Semarah Lembut. Penghulu Kesot telah mengarahkan Tompil membawa Kesuma ke rumahnya untuk sesi perbicaraan atas kesalahan mencuri buah cempedak miliknya. Walaupun Kesuma berkali-kali merayu untuk diampunkan namun hati Penghulu Kesot masih sekeras batu dan menganggap Kesuma hanyalah membawa sial kepada Kampung Semarah Lembut dengan membangkitkan isu suami Kesuma yang mati ditelan ombak.
Pertuduhan telah dibacakan di hadapan penduduk kampung yang lain dan memutuskan hukuman mati terhadap Kesuma atas pertuduhan mencuri buah cempedak milik Penghulu Kesot. Kesuma sekali lagi merayu keras dengan Penghulu Kesot agar mempertimbangkan kembali hukuman ke atas dirinya yang sedang sarat mengandung. Rayuan Kesuma langsung tidak diperdulikan oleh Penghulu Kesot sehinggakan Kesuma telah melahirkan anak pada waktu genting itu juga.
Keesokkan harinya, Kesuma telah dijatuhkan hukuman mati akibat termakan buah cempedak milik Penghulu Kesot. Sebelum mati, Kesuma telah membuat sumpahan bahawa Penghulu Kesot dan penduduk kampung akan menjadi marah semarah-marahnya selama tujuh keturunan. Penghulu Kesot hanya tergelak dan menyindir  akan sumpahan Kesuma itu. Manakala anak yang dilahirkan oleh Kesuma telah dihanyutkan ke laut oleh Penghulu Kesot.
BABAK 3
Sejak kejadian sumpahan oleh Kesuma, penduduk Kampung Semarah Lembut dalam kemarahan dari segi tutur kata, perilaku mereka dalam keadaan marah semata-mata. Itulah cara hidup penduduk Kampung Semarah Lembut.
Selepas 20 tahun terkena sumpahan, penduduk Kampung Semarah Lembut masih lagi hidup dalam keadaan marah semarah-marahnya. Pada suatu hari penduduk kampung telah menyelamatkan Kutip yang terdampar di tepi pantai. Kutip yang berasal dari kampung lain telah di bawa ke rumah Penghulu Kesot.
Sejak itu, Kutip dirawat oleh Penghulu Kesot, isterinya Mak Kuntum dan anaknya Melati. Setelah sembuh Kutip menjadi hairan dengan penduduk Kampung Semarah Lembut, walaupun hati dan perbuatan mereka baik tetapi percakapan mereka sentiasa kasar dan dalam keadaan marah.
Oleh kerana terhutang budi telah diselamatkan, Kutip berniat untuk berbakti kepada penduduk Kampung Semarah lembut dengan mengajar mereka untuk bertutur secara normal dan mengawal kemarahan mereka. Hubungan Kutip dengan Melati anak Penghulu Kesot yang bertambah akrab telah dicemburui oleh Buang yang menyimpan perasaan terhadap Melati tetapi cintanya telah ditolak oleh Melati.
BABAK 4
Kutip telah membuka kelas mengawal kemarahan (anger management) bagi penduduk Kampung Semarah Lembut. Ramai penduduk kampung yang menyertai kelas mengawal kemarahan yang di ajar oleh Kutip termasuklah Penghulu Ketot tiga beranak dan Wak Sawi seorang peniaga warung di tempat penduduk kampung melepak. Dalam pada ramai sambutan namun kelas mengawal kemarahan Kutip tidak mendapat sambutan dariapan buang dan rakan-rakannya. Hal itu tidak mematahkan semangat Kutip untuk terus mengajar penduduk kampung yang lain cara mengawal kemarahan dengan betul.
Kutip telah memperkenalkan pelbagai teknik pernafasan yang betul bagi mengawal kemarahan penduduk kampung. Sedikit demi sedikit kemarahan penduduk kampung dapat dikawal dengan teknik yang diajar oleh Kutip. Penduduk kampung mengamalkan teknik mengawal kemarahan yang diajar oleh Kutip setiap kali mereka berasa marah.
Buang telah diapi-apikan oleh rakan-rakannya dengan memburuk-burukkan Kutip dengan Melati. Buang menjadi semakin iri hati dengan Kutip yang  semakin disanjung oleh penduduk kampung  kerana baktinya yang mengajar penduduk kampung mengawal kemarahan dengan betul. Buang dan anak buahnya telah merancang sesuatu untuk menjatuhkan Kutip.
BABAK 5
Pada suatu malam, penduduk Kampung Semarah Lembut telah diserang oleh orang minyak. Pada mulanya orang minyak telah menyerang di kawasan warung Wak Sawi dengan menakut-nakutkan orang kampung yang sedang melepak di warung tersebut. Pada malam berikutnya orang minyak tersebut telah menyerang rumah Penghulu Kesot dua malam berturut-turut sehingga Penghulu Kesot jatuh pengsan apabila melihat lembaga hitam tersebut. Dan pada malam yang seterusnya orang minyak telah menyerang penduduk kampung yang pergi ke kelas menahan kemarahan Kutip.

Dengan kejadian serangan orang minyak telah memberikan manfaat kepada Buang untuk memfitnah Kutip. Pada suatu pagi Kutip telah menjumpai Penghulu Kesot dan telah meracuni fikiran Penghulu Kesot dengan menyatakan bahawa Kutip adalah orang minyak yang telah menyerang kampung mereka atas alasan Kutip merupakan orang asing di kampung mereka dan kejadian seperti itu belum pernah berlaku sebelum Kutip menjejak kaki ke tanah Semarah Lembut.

Penghulu Kesot percaya bulat dengan dakwaan Buang dan untuk kesekian kali Penghulu Kesot telah membuat tindakan tanpa usul periksa dengan bertindak mengusir Kutip dari Kampung Semarah Lembut. Walaupun cuba dihalang oleh Melati, Mak Kuntum dan Wak Sawi namun Penghulu Kesot tetap dengan keputusan untuk mengusir Kutip.
Sebelum keluar dari kampung Semarah Lembut, Kutip telah membongkarkan satu rahsia yang dia adalah anak kepada Kesuma yang dibunuh oleh Penghulu Kesot 20 tahun yang lalu dan sekembalinya ke kampung itu adalah semata-mata untuk membantu penduduk kampung meredakan sumpahan ibunya dahulu. Namun sikap angkuh dan sombong Penghulu yang bertindak tanpa usul periksa itu telah membuatkan Kutip berasa sungguh terkilan dan kecewa.
Sebelum Kutip mengatur langkah seribu dia telah membuat sumpahan kepada Penghulu Kesot dan penduduk Kampung Semarah Lembut menjadi selembut-lembutnya sehingga tujuh keturunan. Sumpahan Kutip tersebut telah dipermainkan oleh Penghulu Kesot dan Buang untuk kesekian kalinya.
Selepas jasad Kutip lesap dari tanah daerah Semarah Lembut, sekali lagi kejadian aneh telah terjadi kepada penduduk kampung Semarah Lembut apabila semua penduduknya telah menjadi lembut selembutnya secara tiba-tiba. Buang telah mengaku bahawa dia adalah orang minyak yang mengacau penduduk kampung tempoh hari di hadapan Wak Sawi dan orang kampung yang sedang minum di warung Wak Sawi. Penghulu Kesot kesekian kalinya telah menyesali atas keterlanjuran perbuatannya yang telah menghukum dua beranak tanpa usul periksa sehingga membawa kepada bencana kepada kampung tadbirannya sendiri. Namun penyesalan itu tiada guna lagi kerana pisang sudah berbuah untuk kali keduanya. Dan mungkin penduduk kampung Semarah Lembut perlu menanti anak kepada Kutip untuk 20 tahun mendatang bagi meredakan sumpahan terhadap kampung mereka.

No comments: