TENTERA TINTA

Flag Counter

Saturday, July 22, 2017

KEMBARA LUAR DIMENSI


Sebuah skrip cerita untuk pertandingan bercerita.
Skrip oleh : Hang Nadim
Pada suatu hari burung-burung pun berkicauan pada hari itu. Ada yang bekerja, ada yang bergembira, dan ada juga yang  berlagak seperti Si Tanggang. Amir seorang muda remaja yang telah kaya raya tidak mengakui ibunya sendiri sebagai ibu kandung. Mak Temah amat berkecil hati lantas menadah tangan berdoa.
“Ya Allah Ya Tuhanku, seorang ibu tidak akan tergamak mendoakan sesuatu keburukan kepada anaknya sendiri. Tetapi kau tunjukanlah kekuasaanMu supaya dia kembali ke pangkal jalan.”
            Malangnya Amir tidak mempedulikan doa ibunya malah dia semakin galak menghina ibunya yang miskin hina itu. Petir berdentum, angin bertiup kencang. Amir tiba-tiba menjadi lumpuh separuh badan. Amir meraung kesakitan memanggil-manggil nama ibunya. Amir  benar-benar sedar dengan kesilapannya sehingga telah menitiskan air mata keinsafan. Mendengar rintihan anaknya itu, lantas Si Ibu berdoa untuk kesekian kalinya.
“Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah dosa anakku. Kembalikanlah Amir seperti sedia kala. Aku telah mengampuni dosanya kepadaku”
Petir berdentum lagi, angin bertiup kencang. Pokok bergoyang. Amir kembali ke asalnya. Amir berlari mendapatkan ibunya lantas berlutut memohon keampunan. Kerana kasihnya Si ibu telah mengampunkan Si Anak yang hampir-hampir saja menjadi Si Tanggang. Mak Temah mengajak Amir pulang ke rumah dan dalam keterujaan Mak Temah berjanji untuk memasak makanan kegemaran Amir iaitu telur ikan tembakul masak lemak.
Sedang Mak Temah memberi ayam makan. Amir meminta izin untuk pergi mengembara. Pada mulanya Mak Temah agak keberatan untuk melepaskan Amir pergi mengembara kerana takut Amir lupa diri lagi namun setelah dipujuk akhirnya Mak Temah merelakan jua kepergian Amir mengembara melihat keindahan alam. Sebelum Amir melangkah pergi ibunya telah berpesan supaya Amir sentiasa menghantar pesanan bergambar di laman sosial kepadanya.
Maka bermulalah pengembaraan Amir ke negeri orang untuk merasai banyak garam. Dalam perjalanan, Amir bertemu dua pendekar yang hendak bertarung menunjukkan kehebatan masing-masing. Jebat dan Tuah segera mengangkat raket badminton dan pertarungan pun bermula. Sedang pertarungan badminton di antara Jebat dan Tuah rancak berlangsung, tiba-tiba muncul Amir  dengan kuda kepangnya memberi salam.
Salam Amir disambut mesra oleh dua pendekar yang masih memegang raket badminton itu. Amir melemparkan sekuntum senyuman kepada dua pendekar itu lantas bertanyakan mengenai jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan. Dua pendekar yang segak bergaya berbaju Melayu itu kemudian menunjukkan arah jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan kepada Amir. Setelah mendapat arah jalan ke negeri Pulau Tiga Kanan Amir telah meminta diri untuk meneruskan perjalanannya. Dua pendekar itu kemudiannya telah menyambung kembali pertarungan mereka yang tertunda tadi.
Amir meneruskan perjalannya untuk mencari negeri Pulau Tiga Kanan. Tiba di satu kawasan hutan yang agak redup Amir berhenti berehat dan duduk bersandar di batu yang sangat besar. Sedang Amir merebahkan badan dan terlena, Amir dikejutkan dengan satu suara.
“Sedap kau bersandar kat aku. Hoi.. hoi.. malu kat orang.”
Amir tercengang dan terpinga-pinga. Dia tercari-cari suara yang bergema itu sedangkan tiada sebarang kewujudan mahkluk berhampiran dengannya. Tiba-tiba suara itu mengaku bahawa dialah Batu Belah Batu Bertangkup yang telah memakan Mak Pekan. Batu Belah telah bertanya akan tujuan keberadaan Amir di dalam hutan itu. Amir telah menyatakan bahawa dia  hendak pergi ke negeri Pulau Tiga Kanan untuk mencari ilmu dan singgah sebentar untuk berehat.
Batu Belah telah menghalau Amir supaya segera beredar dari hutan itu dan mengugut untuk menelan Amir jika tidak segera beredar dari hutan itu. Amir tidak mahu ditelan kerana dia belum pun sempat menghantar pesanan bergambar melalui laman sosial kepada ibunya lagi. Lantas Amir beredar meninggalkan Batu Belah yang angkuh itu.
Amir meneruskan lagi pengembaraannya sehingga sampai di sebatang anak sungai yang dikelilingi pokok Sakura. Tiba-tiba dia teringat yang dua pendekar memberitahunya bahawa dia perlu menyeberangi anak sungai itu untuk ke negeri Pulau Tiga Kanan. Tanpa membuang masa Amir telah menyeberangi anak sungai itu. Setelah berhempas pulas meredah anak sungai maka tibalah Amir di negeri Pulau Tiga Kanan.
Amir meletakkan kuda kepangnya di tempat parkiran. Kemudian dia masuk ke kedai tujuh sebelas untuk membeli minuman. Keluar dari kedai tujuh sebelas tiba-tiba kuda kepangnya telah hilang. Amir menjadi cemas, dia tercari- cari kuda kepang kesayangannya itu di merata-rata tempat tetapi tidak berjumpa. Setelah puas mencari Amir telah menemui sebuah gua. Dia mengambil keputusan untuk berhenti berehat seketika di dalam gua itu. Apabila Amir memasuki gua itu dia telah ternampak kelibat kuda kepangnya. Amir menghampiri kuda kepangnya tiba-tiba muncul satu lembaga hitam menghalangnya daripada mendekati kuda kepang itu.
Lembaga hitam telah meletakkan syarat supaya Amir menyerahkan seluruh hartanya jika ingin mendapatkan kuda kepang itu kembali. Amir seperti telah dipukau dan dia hanya menurut sahaja permintaan lembaga hitam itu dengan menyerahkan segala hartanya hanya untuk ditukarkan dengan seekor kuda kepang sahaja. Malangnya lembaga hitam tidak tidak mahu melepaskan Amir pergi malah dia telah Amir sedar inilah balasan kerana dia tidak mengendahkan pesanan ibunya sebelum keluar dari mengembara tempoh hari.
Amir meraung sekuat hati memohon keampunan ibunya. Amir amat menyesal dengan perbuatannya yang mudah melupakan ibunya. Tiba-tiba Amir dikejutkan oleh ibunya untuk bangun ke sekolah. Rupa-rupanya Amir hanya bermimpi...

No comments: